Setelah Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat yang diketuai Dato' Abdul Halim Abdul Rahman (Ahli Parlimen Pengkalan Chepa) mengumumkan senarai nama calon yang layak bertanding jawatan dalam Muktamar PAS ke-57, umum melihat persaingan dalam jawatan nombor dua dan tiga dalam parti semakin sengit.
Bagi jawatan Nombor Dua (Timbalan Presiden), penyandang, Nasharudin Mat Isa (YB, Ustaz) telah umumkan akan mempertahankan jawatan, begitu juga pencabarnya, Mohammad Sabu (Abg Mat) juga bertekad untuk melawan Nasha dalam persaingan itu.
Namun, ramai yang melihat sekiranya Naib Presiden PAS, dato' Tuan Ibrahim Tuan Man 'masuk' bertanding, walaupun sebelum ini mengumumkan tidak akan bertanding jawatan Timbalan, laluan Nasha dan Abg Mat pastinya 'lebih sukar'.
Seorang penganalisis menyebut, undi yang diperolehi Nasharudin pada pemilihan tahun 2009 di Shah Alam akan merosot dan terarah kepada Tuan Ibrahim, jika Tuan Ibrahim menyertai pertarungan Timbalan Presiden.
Ini kerana ada yang mengganggap pencalonan beberapa kawasan yang kini lebih berpecah kepada banyak lagi nama berbanding pemilihan lalu sebagai satu suara 'protes' kepada penyandang jawatan.
Ada pula yang menyatakan, dengan perkembangan itu penyandang jawatan pastinya tidak mendapat pencalonan yang banyak seperti pemilihan lalu, ataupun tidak mencapai 70 peratus sokongan daripada pencalonan daripada kawasan.
"Cuma tak tahulah jika perwakilan akan menyokong bukan berdasarkan kepada pencalonan, kerana trend perwakilan yang akan mengundi dalam PAS ini berbeza dengan parti lain," kata seorang sahabat yang memerhati pemilihan PAS sejak dahulu lagi.
Bagaimanapun, Abg Mat atau Nasharudin masih ada peluang untuk menang sekiranya undi terpecah dengan kemasukan Tuan Ibrahim ataupun Husam (dalam Sinar Harian 19 Mei 2011)yang masih belum membuat keputusan samada bertanding atau sebaliknya.
Jika berlakunya empat penjuru pertandingan kali ini, ianya lebih menarik dan debaran pastinya dirasai, sementara perwakilan akan mempunyai pelbagai pilihan untuk mengundi 'siapa yang harus menjadi pemimpin' nombor dua dalam parti.
Cuma seharusnya perwakilan meneliti dan menilai berdasarkan kepada 'performance' berbanding sentimen.....supaya parti akan dapat maju bergerak lebih progresif, mampu membenam Umno-BN dalam pilihan raya umum akan datang.
Kata seorang rakan lama dalam PAS, pilihlah mereka yang benar-benar 'mampu' dan biasa sudah bertarung menentang Umno-BN.......
Confidential Document
10 years ago
No comments:
Post a Comment