Wednesday, May 18, 2011

Golongan muda akan 'bertindak' jika harga RON95 dinaikkan - Firdaus

WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR : Golongan muda memberi amaran keras kepada kerajaan Umno-BN agar tidak menaikkan harga minyak RON95 yang menjadi minyak utama digunakan rakyat hari ini.

Demikian amaran Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar mengulas kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan kerajaan tidak mampu lagi menampung subsidi minyak.

Kerajaan juga kini sedang mengkaji kemungkinan untuk menaikan harga RON95 dalam masa beberapa bulan lagi, kata Firdaus ketika ditemui 19 Mei lalu di Jalan Pahang.

Ujar Mohd Firdaus, rakyat kini bergerak hanya dengan minyak RON95 ini, dan jika ianya dinaikkan harga, makan nadi rakyat akan terhenti.

Lebih malang lagi, pergerakan ekonomi rakyat akan semakin melumpuh kerana beban yang pastinya sukar untuk rakyat hadapi setelah beban-beban lain yang menyangkut kehidupan mereka, kata beliau.

"Jangan diusik harga RON95 ini kerana hampir keseluruhan rakyat menggunakan minyak yang murah ini.Ini sahaja yang rakyat mampu, kerana rakyat sudah cukup terbeban dengan kenaikan harga minyak sebelum ini, yang menyumbang kepada kenaikan harga barang, perkhidmatan dan sebagainya," kata beliau yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat.

Mengulas lanjut, Mohd Firdaus berkata sebarang tindakan kerajaan menaikkan harga RON95 hanya akan memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah terutama yang duduk di bandar.

Malah katanya, golongan ini ramai dikalangannya adalah belia yang berumur 40 tahun ke bawah yang kebanyakkannya bergaji rendah.

"Ambil sahaja contoh bagi mereka yang bergaji sekitar RM1000, jika ditolak hutang kereta dan sewa rumah, tidak cukup untuk menampung perbelanjaan harian.

"Inikan pula jika harga minyak naik, maka kerajaan akan dapat melihat lebih ramai lagi mereka yang akan berjalan kaki ke tempat kerja, anak-anak yang berjalan kaki ke sekolah, kakitangan awam yang berjalan kaki ke pejabat dan ramai yang 'mengikat perut'," katanya lagi.


Bagi Firdaus, kerajaan pimpinan Najib hanya memikirkan kepentingan pemimpin sahaja, sedangkan hak dan masalah rakyat langsung tidak diperdulikan.

Rakyat terpaksa membayar pelbagai cukai termasuk cukai pintu, tanah, cukai pendapatan, cukai barangan, dan yang terbaru mahu dikenakan cukai perkhidmatan kerajaan (GST), sedangkan kerajaan menarik subsidi yang selama ini dinikmati rakyat, katanya.

Penarikan subsidi untuk penjimatan kononnya yang sering dilaungkan kerajaan adalah satu alasan yang sebenarnya kerajaan sudah hilang wibawa untuk mentadbir negara dengan baik, kata Mohd Firdaus.

Beliau menyeru kerajaan memikirkan soal kehidupan rakyat dengan tidak menarik subsidi RON95, sebaliknya mengurangkan harga minyak sedia ada.

Jika kerajaan masih berniat meneruskan kenaikan harga minyak dalam masa terdekat, beliau mengajak golongan muda untuk membantah dan bertindak menolak kerajaan BN dalam pilihan raya akan datang, kata beliau.

No comments: