Monday, May 9, 2011

NIlailah pimpinan bagaimana yang perlu menjadi pilihan?

WAN NORDIN WAN YAACOB

Sejak dari awal lagi mesyuarat PAS Kawasan dan di peringkat negeri berjalan, cerita-cerita pemilihan adalah fokus yang paling hangat diperkatakan.

Malah semasa kempen Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sarawak 6 hingga 16 April lalu juga, isu pemilihan dalam PAS sudah mula diperkatakan.

Turun sahaja pimpinan tertentu berkempen di Sarawak di kawasan tertentu, ada yang menggambarkan 'nampak seperti mahu bertanding, ada juga yang menyatakan, seolah-olah mahu kekal dalam jawatan yang disandang'.

Nah pelbagai persepsi mula timbul, dan kini setelah lebih 100 kawasan bermesyuarat di seluruh Malaysia, mula timbul pula soal siapa bakal menjadi pimpinan tertinggi parti bermula daripada AJK PAS Pusat, Ketua-ketua Dewan, hinggalah kepada jawatan tertinggi dalam parti, Presiden, Timbalan dan Naib-naib.

Setakat hari ini, penyandang jawatan Presiden, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan kekal selaku Presiden dengan tiada pencabar walaupun Kawasan Bukit Bintang mencalonkan Dato' Paduka Husam Musa selaku Presiden.Namun Husam awal-awal menolak.

Di peringkat Timbalan, penyandangnya, Ustaz Nasharudin Mat Isa bakal berdepan dengan bekas pencabarnya, Haji Mohammad Sabu, sementara Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man serta Salahuddin Ayub juga mendapat pencalonan bagi kerusi Timbalan.

Sebelum ini Tuan Ibrahim telah menolak untuk bertanding Timbalan walaupun kini beliau mendapat 17 pencalonan.Mohammad Sabu menggungguli pencalonan dengan 70 kawasan memberi sokongan kepadanya, sementara penyandang, Nasharudin Mat Isa ditangga kedua dengan 39 pencalonan.

Di peringkat Naib Presiden pula, Tuan Ibrahim, Salahuddin, Dato' Mahfuz Omar, Dato' Nik Amar Nik Abdullah, Mujahid Yusof Rawa, Dato' Seri Nizar Jamaluddin dan Dato' Takiyuddin Hassan dicalonkan.

Namun, setakat ini hampir pasti Mahfuz, Salahuddin, Tuan Ibrahim akan mempertahankan jawatannya, sementara Nik Amar dan beberapa nama yang lain masih belum memberi persetujuan bertanding.

Perihal pertandingan ini bakal memeriahkan lagi suasana demokrasi dalam PAS.PAS sebagai sebuah parti Islam bakal sekali lagi berdepan dengan perhitungan untuk memilih saf depan parti bagi dipertaruhkan kepada rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Ada suara sahabat kalangan pengamal media memperincikan, jika PAS mahu berdepan dengan Umno, tokoh yang harus membarisi saf depan PAS adalah tokoh yang mampu, dan berani menentang Umno-BN.

Ada juga kalangan sahabat sekampus belajar dahulu yang kini sudah menjadi pensyarah di kampus-kampus awam mencadangkan agar, perwakilan PAS memilih orang yang benar-benar teruji akan perjuangannya untuk berentap dengan Umno-BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Ada pula kalangan sahabat yang baru pulang dari pengajian di Timur Tengah mencadangkan agar perwakilan memberikan amanah kepada orang yang bergama.

Tertarik penulis kepada telahan seorang aktivis lama PAS sewaktu berbual semalam, katanya "ORANG YANG MASUK PAS NI SAHABAT, SEMUANYA ORANG YANG SAYANGKAN ISLAM, YANG NAK KEPADA PERJUANGAN ISLAM KERANA PAS PARTI ISLAM, "

Tambah sahabat itu lagi, soal ahli itu bukan berlatarbelakangkan agamawan sebenarnya tidak perlu timbul kerana yang menyertai PAS sejak dahulu adalah orang yang sanggup berdepan dengan Umno BN untuk menyatakan ISLAM harus didaulahkan!

No comments: