Sunday, May 8, 2011

Ambil Tindakan terhadap Utusan ! - Mohammad Sabu

WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR : Laporan akhbar Utusan Malaysia berhubung dakwaan kononnya ada pihak mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi sangat 'biadap' dan tidak bertanggungjawab.

Demikian tegas Pengerusi Badan Penggerak Demokrasi, Mohammad Sabu ketika ditemui dekat sini hari ini.

"Dalam sejarah Utusan Malaysia inilah kenyataan muka depan yang paling biadap dan kurang ajar terhadap orang Melayu dan adu domba masyarakat dalam hal keagamaan,

"Sedangkan semua orang tahu hal nak menukar perlembagaan khususnya hal agama ini perlukan majoriti dua pertiga, ini tak akan berlaku," katanya yang berang dengan laporan berunsur provokatif Utusan Malaysia itu.

Ujar Mohammad Sabu, laporan itu hanya diambil daripada berita yang disiarkan oleh laman blog yang pro-Umno.

Berita itu sangat tidak bertanggungjawab hingga diletakkan sebagai muka depan akhbar itu, katanya.

Bagi Mohammad Sabu, Umno tidak boleh lari dari fakta kerana inilah akhbar yang saham dimiliki Umno.

"Umno mahu mencetuskan ketegangan dan suasana pergaduhan, bertengek di atas isu ini," katanya lagi.

PAS kesal Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mengambil kenyataan kepada Ketua Penmgarang Utusan Malaysia atas isu berbentuk perkauman, katanya.

"Ini banyak kali telah Utusan buat laporan yang berbentuk demikian.Sebelum ini dakwa Guan Eng (Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang) nak ganti Yang DiPertuan Agong,

"Ini sangat tidak bertanggungjawab, ini yang paling biadap lagi.Ini satu tindakan yang terdesak, main isu orang Melayu, KDN kena ambil tindakan tegas," kata Mohammad Sabu lagi.

Berita mengenai dakwaan kononnya ada langkah untuk menjadikan Kristian sebagai agam rasmi Malaysia dibuat berdasarkan kepada tulisan dalam dua blog pro-Umno - Bigdog.wordpress.com and Marah ku.

Blog itu mendakwa bahawa seorang pemimpin DAP yang juga ahli parlimen Jelutong, Jeff Ooi, telah menghadiri satu pertemuan sulit dengan sekumpulan pastor untuk tujuan tersebut di Pulau Pinang.

Menteri KDN, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein telah menyifatkan dakwaan tersebut sebagai 'satu perkara yang serius' sekiranya ianya benar.

Manakala menteri Penerangan, kebudayaan dan komunikasi, Dato' Seri Rais Yatim pula berkata tulisan tersebut perlu disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Ekoran itu, banyak laporan polis dibuat di seluruh negara terhadap Ooi yang juga ahli jawatankuasa pusat DAP, oleh pertubuhan Melayu seperti Pembela dan PERKASA.

Ooi telah menafikan dakwaan tersebut dan turut membuat laporan polis, mendesak polis menyiasat akhbar tersebut serta blog terbabit.

No comments: