Wednesday, May 25, 2011

KASE lancar 'Gelombang Ketiga' bantahan Saman Ekor pada Muktamar PAS ke-57

WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR : Jawatankuasa Anti Saman Ekor KASE akan melancarkan kempen bantahan yang dinamakan 'Gelombang Ketiga' pada Muktamar PAS ke-5 di Kuala Lumpur Jun ini.

Menurut Pengerusi KASE, Dato' Mahfuz Omar, kempen tersebut adalah kempen untuk mengajak rakyat Malaysia melaungkan slogan 'Satu Saman Ekor, Satu Malaysia Unidi Protes'.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakah 24 Mei lalu di Kuala Lumpur bagi memaklumkan pelancaran kempen tersebut.

Majlis pelancarannya akan berlangsung selepas Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyampaikan Ucapan Dasar Sempena Muktamar PAS ke-57 yang akan diadakan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), katanya.

Pelancaran akan disempurnakan Presiden PAS dan sejurus selepas itu, KASE akan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan mencipta slogan dan logo kempen KASE, katanya.

Selain itu, semasa pelancaran itu, KASE juga akan melancarkan pelekat khas kempen Mansuhkan Saman Ekor yang akan dijual kepada perwakilan, tetamu dan pengunjung Muktamar PAS ke-57.

Kempen ini tidak akan terhenti setakat pelancaran sewaktu muktamar, sebaliknya ianya akan disebarluaskan bermula di Pantai Timur dan ke Selatan beberapa minggu selepas muktamar, katanya.

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS berkata, kempen ini bertujuan menggesa kerajaan menghapuskan 15 juta senarai notis saman ekor yang masih kekal dalam data yang disimpan pihak berkuasa.

No comments: