Friday, February 11, 2011

TERAJU hanya kayakan kroni, Najib dicabar kembalikan MECD

WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR : Tindakan kerajaan pimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak melancarkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang kononnya memperkukuhkan agenda pembangunan golongan bumiputera hanyalah sekadar retorik semata.

Sebaliknya tegas Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ianya sekadar sebuah lagi projek kerajaan Umno-BN untuk menkayakan kroni dan elitis Umno-putera.

Beliau berkata demikian 11 Februari lalu ketika mengulas pelancaran Teraju yang disempurnakan Perdana Menteri 8 Februari lalu.

Perdana Menteri melncarkan Teraju yang merupakan salah satu agenda Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) di Bangunan Perdana Putra.



"Mengapa tidak dikembalikan sahaja Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) yang usatu ketika dahulu sebaik Najib menerajui negara dihapuskan?

"Jika benar kerajaan mahu membangunkan usahawan, saya fikir baik dikembalikan sahaja kementerian terbabit.Jika tidak saya fikir Teraju ini sekali lagi akan menjadi projek pembaziran wang rakyat," ujarnya.

Sebelum ini kata Salahuddin, beberapa agensi telah ditubuhkan kononnya dalam membantu usahawan bumiputera khasnya kaum Melayu untuk membangunkan perniagaan mereka.

Ketika Dasar Ekonomi Baru (DEB) ditubuhkan sekitar tahun 70-an, akhirnya matlamat murni yang dicetuskan oleh Tun Razak Hussien ketika itu tidak kesampaian.

Malah program-program di bawah DEB tidak mencapai sasaran pencapaian 30 peratus ekuiti bagi bumiputera, kata Salahuddin.

Namun, segalanya gagal kerana Umno-BN mengamalkan dasar kronisme dan kerap kali berlakunya penyelewengan dalam pemberian apa-apa bantuan, katanya.

"Saya cabar jika benar Najib mahu memacu ekonomi usahawan bumiputera, langkahnya kembalikan sahaja MECD untuk membantu usahawan," ujarnya.

Ketika MECD dihapuskan dan diletakkan hanya di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, ramai kalangan usahawan bumiputera mempertikai keputusan itu, katanya.

Malah ramai yang menyifatkan langkah Najib tu seolah-olah membunuh masa depan usahawan kalangan bumiputera, katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri berkata, Teraju akan berfungsi bagi meneraju, mengurus serta memacu penyertaan golongan Bumiputera dalam ekonomi melalui pelbagai inisiatif baru serta sedia ada.

Teraju akan memberi tumpuan kepada lima perkara iaitu keusahawanan dan penciptaan kekayaan; pembiayaan; pendidikan dan penggajian; penilaian institusi dan instrumen polisi serta pengurusan stakeholders, katanya

Najib juga mengumumkan lima lagi syarikat bumiputera dijangka disenaraikan di Bursa Malaysia tahun ini dengan nilai keseluruhan modal pasaran diyakini meningkat melebihi paras RM1 bilion.

Najib berkata, beliau berharap nilai itu dapat digandakan kepada RM2 bilion pada pertengahan tahun depan menerusi penubuhan Unit Teraju yang dilancarkan 8 Februari lalu.

Menurutnya, Teraju yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Husni Salleh akan menerajui, menyelaras serta memacu penyertaan bumiputera melalui pelbagai inisiatif baru dan sedia ada.

Kata beliau, Teraju juga akan memastikan keberhasilannya dalam jangka masa pantas meliputi tindakan efektif yang boleh meraih kejayaan.

Ini termasuk mengkaji sama ada terdapat pertindihan dengan pelbagai badan dan institusi masa kini serta melihat keberkesanan program yang sedang dilaksanakan.

"Husni yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Modal Teroka Malaysia (MAVCAP) mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pelaburan serta Modal Teroka," katanya.

No comments: