Monday, January 24, 2011

Sidang Dun Selangor dedah wajah sebenar 'penderhakaan' Umno-BN kepada Raja Melayu?

WAN NORDIN WAN YAACOB

Analisis

Walaupun kerajaan Selangor gagal meminda Undang-undang Tubuh Selangor 1959 dala Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) 24 Januari lalu, namun sidang itu memberi kesan besar kepada usaha mengembalikan kedudukan Raja-raja Melayu.

Pindaan yang dicadangkan itu antara lain bagi memberikan kuasa kepada Sultan dan Menteri Besar, malah lebih besar lagi sidang tersebut setidak-tidaknya adalah ruang Pakatan Rakyat membuka tembelang sebenar Ummno-BN.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berpendirian pindaan itu dicadangkan supaya generasi akan datang tidak lagi tertanya-tanya dan tiada pihak yang berani melanggar kuasa kerajaan negeri dan Sultan.

Pakatan Rakyat memberikan komitmen menjunjung perlembagaan negara dan undang-undang tubuh negeri serta Rujun Negara, yang menjadi asas kepada kerajaan Selangor hari ini.

Pindaan dibuat selepas satu krisis besar berlaku dalam isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, dimana Ketua Setiausaha Negara (KSU) Tan Sri Sidek Hassan mengumumkan Dato' Mohammed Khusrin Munawi selaku SUK menggantikan Dato'
Ramli Mahmood yang bersara.

Pelantikan itu pada asasnya bagi Pakatan Rakyat tidak mendapat nasihat dan pandangan kerajaan negeri dengan pendirian individu yang dilantik seharusnya mudah bekerjasama dengan kerajaan negeri.

Meskipun pelantikan Khusrin telah mendapat perkenanan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Ibni Almarhum Sultan Idris Shah, namun persoalan yang lebih besar persoalan pindaan Undang-undang Tubuh Selangor membawa semangat mengembalikan hak Sultan dan Negeri dalam pelantikan jawatan penting.

Ia juga selaras dengan hasrat Pakatan Rakyat menegakkan kedudukan dan peranan Raja-raja Melayu yang dinyatakan dalam perlembagaan persekutuan.

Secara teknikal, pengundian lewat jam 6.00 petang sememangnya tidak memberi keselesaan kepada Pakatan Rakyat untuk menang dengan hanya 34 Adun mengundi bersetuju dengan pindaan itu manakala 20 lagi mengundi menentangnya.

Kerajaan Selangor memerlukan 38 undi iaitu sokongan 2/3 undi majoriti bagi membolehkan undang-undang itu diluluskan.

Sebanyak lima wakil rakyat penyokong kerajaan membahaskan rang undang-undang itu iaitu Mohamed Azmin Ali (KeADILan-Bukit Antarabangsa), Saari Sungib (KeADILan-Hulu Klang), Shuhaimie Shafiei (KeADILan-Sri Muda), Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) dan M. Manoharan (DAP-Kota Alam Shah).

Mewakili pembangkang pula perbahasan dimulakan oleh Ketua Pembangkang Dato' DR Mohamad Satim Diman (BN-Sri Serdang), Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang), Dato' Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) dan Abdul Shukor Idrus (BN-Kuang).

Krisis 'merentap' kekebalan Raja-raja Melayu bermula padatahun 1993, dimana Umno-BN melalui Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohammad menggunakan kedudukan dan majoriti besar di Parlimen untuk menaggalkan kekebalan Raja-raja Melayu.

Umno-BN sebelum ini mengungkit isu kononnya pindaan yang dicadangkan kerajaan Selangor sebagai satu penderhakaan kepada Sultan Selangor.

Namun Umno-BN lupa, seperti kata Azmin, walaupun Umno-BN boleh menukar fakta menggunakan media arus perdana, mereka tidak boleh mengubah sejarah.

Hujah Azmin mudah, Umno-BN sudah lama menikmati kekebalan bawah pentadbiran 'Mamak Bendahara' (Perdana Menteri) dan pihak eksekutif setelah pindaan pada tahun 1993 berjaya dilakukan.

Rakyat pastinya tidak dapat melupakan, tercetusnya sejarah penderhakaan ini apabila hubungan tegang Umno-BN dengan Raja-Raja memuncak pada hujung 1992.

Ketegangan itu membataskan peruntukan mengenai kuasa mengampun Raja-Raja dan keistimewaan imuniti. Maka, berlakulah Pindaan Perlembagaan Persekutuan 1993 dan penubuhan Mahkamah Khas Raja-Raja.

Ketika krisis itulah Umno-BN menggunakan kesempatan untuk membuat pindaan yang tidak ada kena mengena dengan isu yang menjadi punca terhadap masalah ketika itu.

Azmin membawa beberapa petikan hujah wakil-wakil rakyat Umno-BN di Parlimen pada persidangan Parlimen tahun 1993 antaranya ucapan Dato' Othman Abdul (BN Pendang) yang mencurahkan 'api' penderhakaan kepada institusi beraja.

Garapan hujah Menteri Besar lagi menarik, dengan memetik beberapa kenyataan Dr Mahathir ketika pembentangan usul pindaan pada 18 Januari 1993 yang selepas itu didapati beliau telah memungkirinya.

Dr Mahathir ketika membentangkan usul pindaan di Parlimen antara lain menyatakan :

"Kelulusan ( pindaan Perlembagaan 1993) secara ini terhad kepada perkara- perkara yang tidak menyentuh hak-hak dan keistimewaan-keistimewaan Raja-Raja. Untuk meminda peruntukan Perlembagaan yang menyentuh Raja-Raja, Majlis Raja-Raja perlu memberi persetujuan".

"Di peringkat negeri, tidak ada pindaan dibuat kepada Perlembagaan negeri. Dengan itu tidak ada undang-undang yang boleh diluluskan tanpa ditandatangani oleh Raja. Ini bermakna kuasa Raja-Raja di negeri-negeri mengatasi kuasa Dewan-Dewan Undangan Negeri yang mewakili rakyat".

Mahathir berhujah, "Justeru itu dalam sejarah Malaysia yang merdeka, tindakan Raja-Raja dan pihak-pihak yang berlindung di belakang Raja yang melampaui hak dan keistimewaan Raja, semakin lama semakin serius. Kemungkinannya ialah ia akan menjadi lebih serius lagi di masa-masa hadapan. Jika tidak ada pindaan undang-undang, seperti yang dicadangkan ini, tidak syak lagi bahawa perkara-perkara yang lebih buruk akan berlaku yang mana ini akan menyebabkan institusi Raja dibenci oleh rakyat.

Bukanlah mustahil jika satu hari kelak tuntutan dibuat untuk menghapuskan Sistem Beraja sama sekali walau apa pun yang diperuntukan oleh Perlembagaan".

Apa yang disebutkan Mahathir ini menjadi 'sejarah mengkuburkan imuniti Raja-raja Melayu' yang melebar kepada persoalan kuasa Eksekutif membelakangkan kuasa Raja-raja Melayu.Pindaan-pindaan ini menimbulkan banyak persoalan politik dan undang-undang.

Persoalannya termasuklah pelanggaran syarat yang dikenakan oleh Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan, iaitu ia dengan jelas menyatakan bahawa "Tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja".

Hujah Menteri Besar Selangor, perkara 38(4) menjadi batu penghalang kepada hasrat Dr Mahathir pada 1983 dan 1993.Mungkin kerana itulah beliau tidak peduli dan tidak membawa pindaan 1994 itu kepada Raja-Raja.

Meskipun pindaan 1994 belum dibawa ke mahkamah, namun ada kalangan sarjana undang-undang yang berpendapat bahawa pindaan yang dibuat pada 1994 itu tidak sah kerana melanggar Perlembagaan; khususnya Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun gagal, pindaan yang dicadangkan Kerajaan Selangor pimpinan Khalid kali ini setidak-tidaknya menukilkan satu lagi sejarah, Umno-BN menolak hasrat mengembalikan kuasa Raja-raja Melayu.

Dalam erti kata lain, seperti yang diisytihar Azmin ketika berhujah menyokong pindaan yang dibawa Khalid bahawa "Umno Penderhaka sebenar' kepada Raja-raja Melayu.

No comments: