WAN NORDIN WAN YAACOB
(Artikel)
Jika 10 tahun lalu, kelibat ustaz-ustaz PAS sukar untuk menembusi pagar-pagar estate mahupun kuil-kuil Hindu untuk memberi penerangan Islam yang bagaimana dibawa PAS.
Namun sejak kebelakangan ini, ia semakin mudah dan menjadi 'trend' tidak kira semasa pilihan raya atau waktu biasa, golongan ini boleh berceramah hatta bercakap mengenai keadilan Islam yang dibawa PAS.
Beberapa hari mengikuti perjalanan kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, penulis dapat melihat perubahan yang bukan sebuah lakonan, tetapi realiti bagaimana golongan pendakwah PAS ini berjaya menyentuh persoalan hubungan penganut Islam dengan bukan Islam dalam konteks 'insan'.
Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad sendiri merasai bagaimana 'debaran' untuk turun berkempen di Ladang Tenang Stations dekat sini 27 Januari lalu sebagai suatu yang sebenarnya mengujakan.
Tanpa menolak pelawaan dari Makkal Sakti untuk berkempen dan berceramah di estate tersebut, Ustaz Idris membuka jalan dengan menerangkan soal keadilan Islam kepada semua penganut agama lain.
Nada yang dibawakan mudah, dengan membawa contoh bagaimana PAS mentadbir kerajaan Kelantan selama lebih 20 tahun tanpa ada satupun bukan Islam teraniaya atau dibunuh kerana perbezaan agama.
Selama lebih 20 tahun juga garapan keadilan Islam dibawa PAS berjaya memberi peluang kepada bukan Islam untuk menitip kehidupan tanpa paksaan, sebaliknya bebas untuk mengamalkan agama yang dianuti rakyat, telah Ustaz Idris.
Terpesona beberapa anak-anak muda berketurunan India mendengar penerangan mengenai Islam dan keadilan Islam yang sebenar.Ia sangat berbeza dengan Islam versi 'Umno-BN' yang kini ditambah dengan rencah ulama tauliah dari Umno-BN iaitu pimpinan MCA.
Ucapan Ustaz Idris memecah 'gegendang dungu' pengundi India yang sekian lama dibuai oleh propaganda Umno-BN dengan politik sempit memisahkan Islam dan politik.
Wajah dungu pengundi bukan Islam mula melakarkan senyuman membait kepada Islam, bukan untuk mereka dipaksa menerimanya sebaliknya untuk memiliki sebuah 'kefahaman' agar tidak tertipu oleh propaganda Umno-BN.
Tugas yang dijalankan Ustaz Idris mungkin telahpun dilaksanakn terdahulu oleh pimpinan yang lebih tinggi seperti Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Namun 'legasi' ini perlu diteruskan hingga calar-calar terhadap Imej Islam yang dilakukan Umno-BN ini mampu dijernihkan PAS untuk bukan Islam yakin Islam adalah agama yang sangat adil kepada seluruh makhluk di muka bumi ini!
Confidential Document
10 years ago
No comments:
Post a Comment