WAN NORDIN WAN YAACOB
KUALA LUMPUR : Masa depan dan politik anak muda di Malaysia lebih selamat tanpa kelibat Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin, kata Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar.
"Saya menyokong tindakan Khairy untuk berehat, ataupun terus berundur dari dunia politik memandangkan beliau (Khairy) adalah seorang yang amat dipertikai kredibilitinya lebih-lebih lagi semasa bapa mertuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri," katanya.
Beliau berkata demikian hari ini mengulas isu kenyataan Khairy yang tidak mahu mempertahankan lagi kerusi Parlimen Rembau yang dimenanginya pada pilihan raya umum lalu dalam pilihan raya akan datang.
Firdaus juga berkata, Pemuda Pakatan Rakyat tidak memerlukan Khairy untuk bersama berjuang, malah katanya tidak mahu kelibat Khairy yang imejnya sangat bertentangan dengan PAS berada dalam Pakatan Rakyat.
"Saya tetap menyatakan Khairy tidak diperlukan anak muda hari ini untuk melakukan agenda perubahan.Biarlah dia berundur dan tumpu kepada perniagaan, keluarga dan jika dia nak sambung pengajiannya, itu adalah lebih baik," katanya.
Khairy pernah membawa imej 'ganas' semasa berkempen di beberapa pilihan raya kecil, dan semasa kempen pilihan raya umum 2008, katanya.
Beberapa adegan yang dicetuskan oleh Khairy berbentuk provokasi masih diingati segenap pemuda yang mencintai keamanan, katanya.
Justeru beliau menentang mana-mana pihak dalam Pakatan Rakyat yang mahu menjemput Khairy menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat.
Sementara itu, Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Rembau, Badrul Hisham Shaharin berkata, Khairy perlu menunaikan semua janji dibuat pada kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu, sebelum penggalnya sebagai Ahli Parlimen Rembau berakhir.
Antara janji yang belum kelihatan hingga sekarang adalah pembinaan sebuah hospital kerajaan, pusat tuisyen, masjid baru, kampus cawangan sebuah institusi pengajian tinggi awam dan lapangan terbang, katanya.
“Selain itu, terdapat beberapa isu dibangkitkan rakyat seperti pengambilalihan tanah untuk projek kerajaan dan keluhan peniaga kecil di daerah ini.
“Sebagai Ahli Parlimen, Khairy sepatutnya memberi perhatian sepenuhnya terhadap isu berkenaan,” ujarnya.
Khairy membayangkan tidak akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada PRU ke-13 akan datang menerusi laman Twitternya, baru-baru ini.
Confidential Document
10 years ago
No comments:
Post a Comment