Monday, December 20, 2010

PRK Tenang 'gendang perang' menuju PRU-13 - Salahuddin

WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR : Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mahu Pilihan Raya Kecil Dun Tenang yang akan diadakan tidak lama lagi menjadi 'ladang' kepada Pakatan Rakyat memperkuatkan jentera bagi berdepan pilihan raya umum ke-13.

Semasa ditemui di sini semalam, beliau melahirkan harapan agar jentera tidak kira dari PAS mahupun parti-parti dalam Pakatan Rakyat yang lain menumpukan sepenuh perhatian membantu calon PAS untuk menentang Umno/BN di sana.

Ujar Salahuddin, tugasan 'mengejut' ini sebagai tanggungjawab kepada PAS dan Pakatan Rakyat amnya dengan menganggap PRK Tenang ini sebagai satu bermulanya 'gendang perang' (war footing) pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Inilah kesempatan terbaik semua pihak seluruh jentera di negara ini menjadfikan PRK Tenang ini sebagai latihan politik berdepan PRU-13, dan inilah satu 'test ground' yang baik semua parti menguji keupayaan masing-masing, katanya.

"Saya merayu komitmen diberikan jentera PAS seluruh negara, dan ini sangat penting dan jangan anggap PRK ini suatu PRK yang terasing, kecil yang dipaksakan tetapi ia suatu menandakan bermulanya perang pilihan raya dengan Umno," katanya.

Beliau juga mahu petugas tidak melihat PRK Tenang ini sebagai isu Johor sahaja, tetapi ia isu nasional dan petugas perlu lakukan gerak kerja terbaik sebelum menghadapi PRU-13.

Beliau juga merayu sumbangan kewangan dan tenaga dihulurkan oleh petugas, penyokong dan pendukung Pakatan Rakyat bagi memastikan PRK Tenang menjadi 'PRK yang tidak tenang' kepada Umno/BN.

Kena beri sumbangan kepada kita soal kewangan dan tenaga untuk menghadapinya.Pilihan Raya Kecil Dun Tenang merupakan pilihan raya kecil yang ke-14 diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-12 yang menyaksikan pelbagai episod kalah menang parti memerintah mahupun pembangkang.

Negara bakal menyaksikan lagi pertarungan sengit antara PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, dan Umno yang mewakili Barisan Nasional dan selaku penyandang Dun Tenang sejak dahulu lagi.

Johor merupakan kubu kuat Umno/BN, namun pada pilihan raya umum lalu, PAS berjaya menempa sejarah menang di dua kerusi iaitu di Dun Maharani dan Sungai Abong.

Meskipun sebelum ini Johor dikatakan aset tetap Umno/BN, namun PRU-12 yang lalu membuktikan Johor bukanlah sebuah negeri yang mampu dipertahan Umno dari dimasuki pembangkang.

Setakat ini pilihan raya kecil terakhir di Johor adalah hampir 21 tahun yang lalu di Dun Tambatan dalam Parlimen Pulai pada 5 Ogos 1989 berikutan kematian Adun kawasan tersebut, Allahyarham Mahmood Daud.

Untuk pengetahun, Dun Tenang terletak di dalam Parlimen Labis berdekatan dengan Segamat.

Mengikut rekod, jumlah pemilih di Dun tersebut dalam daftar pemilih Tahun 2008 adalah seramai 14 511 orang pengundi dengan pecahannya iaitu 49.59 peratus daripadanya adalah pengundi Melayu,38.24 peratus Cina dan 12.07 peratus India.

Dalam dua pilihan raya umum yang lalu (2004 dan 2008), Dun Tenang menyaksikan pertembungan antara dua calon yang sama iaitu calon BN, Allahyarham Dato' Sulaiman Taha dan calon PAS, Mohd Saim Siran.

Keputusan dua PRU yang lalu menyaksikan yang terakhir PAS berjaya menaikkan sokongan rakyat di kawasan berkenaan dimana Saim berjaya menyusutkan majoriti besar Sulaiman Taha dari lebih 4000 pada PRU-11 kepada 2,492 undi.

Dari sudut komposisinya, Dun berkenaan mempunyai 13 buah daerah mengundi iaitu Kampung Redong,Pekan Ayer Panas,Ladang Labis Utara,Bandar Labis Timor,Bandar Labis Tengah,Labis,Felda Tenang,Sawah Bahru,Tenang Station,Ladang Bukit Dato,Chemplak Barat dan Chemplak.

Penduduk kawasan Tenang terdiri daripada peneroka,pekerja ladang,pekebun dan peniaga.Untuk rekod,terdapat tiga buah kawasan tanah rancangan FELDA di Dun Tenang iaitu Chemplak,Chemplak Barat dan Felda Tenang.

Kawasan majoriti pengundi Cina pula terletak di kawasan peti undi Bandar Labis Timor,Bandar Labis Tengah dan Labis,di mana rata-rata mereka adalah peniaga dan pekebun.Pengundi India pula kebanyakannya terletak di kawasan ladang seperti Ladang Bukit Dato dan Ladang Labis Utara.

Dengan komposisi Melayu, Cina dan India yang tidak jauh peratusannya, apa juga keputusan dalam PRK nanti bakal memberikan gambaran awal terhadap kecenderungan pengundi dalam PRU-13.

Apakah sokongan kaum Cina kepada PAS yang dikatakan semakin meningkat sejak 2008 akan dapat berterusan, dan apakah sokongan Melayu kepada Umno masih boleh diharapkan, Tenang boleh dijadikan 'test ground' kepada dua parti besar dalam negara ini.

Dalam PRU-12, 'tsunami politik' yang melanda negara turut melanda Parlimen Labis dimana calon MCA, Chua Tee Young yang juga anak kepada Presiden MCA, Chua Soi Lek hanya mampu mendapat majoriti sebanyak 4094 undi berbanding 10 729 undi pada tahun 2004.

Maklumat dalam statistik pergerakan undi menyaksikan, MCA mengalami penyusutan undi majoritinya sebanyak 44.76 peratus.

Apa yang pasti dalam PRU-12 calon PAS mampu memperoleh undi sehingga 50 hingga 67 peratus,sementara di kawasan India pula hampir 50 peratus undi di kawasan Ladang Labis Utara.

Namun persoalan peningkatan sokongan kaum Cina perlu dijana dengan baik dengan PAS memerlukan bantuan dari DAP dan KeADILan untuk memunggah seberapa banyak undi kaum tersebut di sana.

Walaupun PAS memiliki Dewan Himpunan Kelab Penyokong PAS (DHPP) namun, kerjasama mantap antara tiga parti ini pastinya boleh membuahkan hasil dalam PRK Tenang.

Di peringkat PAS sendiri, kelibat Pengerusi ANAK, Mazlan Aliman seharusnya dipentingkan dalam menggerakkan kempen kerana kawasan Tenang memiliki tiga Felda dengan jumlah undi yang boleh disangkutkan membantu PAS.

Isu-isu yang bersangkutan dengan Felda seperti isu wang caruman tanam semula boleh sahaja dibawa ke Dun Tenang kerana ia sesuai dengan dampak masyarakat di sana.

Perlu diingatkan bahawa bukan semua warga Felda adalah boleh disifatkan sebagai 'simpanan tetap' Umno/BN.Warga Felda sendiri kini ramai yang menyaman kembali majikan.

Samada PAS mampu mencuri undi warga Felda di Dun Tenang ianya juga bergantung kepada sejauhman aisu yang dibawa PAS nanti benar-benar boleh menyentuh sanubari warga Felda.

Bagi Mazlan sendiri, formulanya ialah untuk memenangi Dun Tenang,PAS sendiri perlu menembusi kawasan Felda dengan sebaiknya. Pada PRU yang lalu undi PAS di kawasan Felda Tenang hanya sekitar tidak sampai 20 peratus.

Apapun yang berlaku, PAS perlu menguasai kempen, setidak-tidaknya untuk memastikan penambahan jumlah pengundi yang mengundi PAS dapat ditingkatkan.

1 comment:

tungkaran hati.blogspot said...

Saya masih mengharapkan perjuangan PAS seperti dahulu, perjuangan yang jelas untuk diperjuangkan...tetapi kini setelah Nik Aziz menjadi penentu, dasar perjuangan PAS telah tersasar jauh....! juga jauh dihati saya.
Berdirilah PAS dengan bermaruah tanpa PKR dan DAP terutamanya, janganlah diperbodohkan oleh mereka...! kembalilah pada perjuangan asal semoga kita rakyat Malaysia dapat keberkatan daripada perjuangan PAS.
Kembalilah kepada perjuangan asal....sebuah negara Islam yang berdaulat!