Sunday, November 7, 2010

Banjir Kedah, media arus perdana gelapkan fakta, MB sendiri turun padang

WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR 8 NOV: Sejak dari hari pertama banjir berlaku di Kedah terutamanya di Padang Terap,Pendang, Pokok Sena dan di Alor Setar wakil-wakil rakyat PAS adalah pihak yang paling awal sekali turun padang bagi memberi bantuan kepada mangsa di sana.

Menceritakan pengalaman membantu mangsa, Ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Mohd Nasir Zakaria berkata, sebaik mendapat panggilan dari PAS Kawasan ketika beliau sedang bersidang di Parlimen seminggu lalu, beliau terus bergegas pulang ke Padang Terap.

Tujuannya satu, hanya untuk mengerakkan bantuan seberapa daya bertemu mangsa banjir bagi menghulurkan bantuan disamping menjaga aspek keselamatan mangsa.

Setibanya di Padang Terap beliau terus menziarahi mangsa banjir dilebih 30 kampung di bawah Parlimen Padang Terap yang dilanda banjir sejak akhir Oktober.

"Malah MB sendiri turun padang, sampai ke kawasan saya di Padang Terap, beliau beri bantuan kepada penduduk di sini, nak tahu tanyalah penduduk di sini.Tak logik langsung depa (Umno/BN) melalui media tuduh kami tak turun padang, walhal kami turun sebaik berlaku banjir.

"Kami pun bukan mendapat liputan mana-mana media arus perdana, sebab itu mudah mereka (Umno/BN) mempropagandakan isu kononnya kami (PAS Kedah dan Kerajaan Negeri) tak peduli," katanya.

Sambil menyifatkan ia satu lagi propaganda jahat Umno/BN, beliau yang juga Exco Pemuda PAS Pusat berkata, apa yang penting rakyat di semua pusat pemindahan tahu apa yang berlaku sebenarnya.

Beliau juga menyifatkan apa yang dilaporkan media Umno/BN kononnya tiada bantuan segera hanyalah satu lagi siri penghinaan ke atas Pegawai-pegawai kerajaan yang sejak dari awal bersengkang mata membantu.

"DO, Penghulu, pegawai-pegawai kerajaan negeri semuanya bertungkus lumus membantu.Apa yang disiarkan oleh media sebenarnya menghina pegawai-pegawai ini," ujarnya.

Katanya mungkin ada seorang dua dari kalangan ahli Umno yang ditemui oleh
akhbar arus perdana untuk mendapatkan respons, dan apa yang dilaporkan
hanyalah sekadar 'propaganda' dan tuduhan tidak berasas.

Mengulas mengenai laporan kononnya hanya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sahaja yang membantu mangsa, Mohd Nasir berkata apa yang dilaporkan itu sebenarnya 'bertentangan dengan semangat federalisme'.

Dalam membicarakan soal bantuan banjir ini, JKM adalah agensi yang antaranya dipertanggungjawabkan membantu dengan fungsinya juga dibantu oleh negeri-negeri, katanya.

Ujar Nasir JKM sebenarnya adalah agensi bersama negeri dan pusat, sementara peruntukannya adalah dari kerajaan negeri Kedah yang setakat ini berjumlah RM1 juta.

"Kita turun terus kepada mereka yang menjadi mangsa, bukan setakat macam pimpinan Umno/BN yang turun hanya sehari dua, lepas tu bagi bantuan sedikit, masuk surat khabar, yang kami beri bantuan sejak dari awal," katanya hampa.

Jumlah penduduk yang dipindahkan kerana banjir di Kedah meningkat kepada 39,512 orang pagi ini berbanding 32,990 orang malam7 November berikutan peningkatan mendadak mangsa banjir di Kubang Pasu dan Alor Setar.

Bagaimanapun, semakin ramai mangsa banjir di Daerah Padang Terap yang dibenarkan pulang.

Mangsa di tiga daerah iaitu Kubang Pasu, Kota Setar dan Pendang terus meningkat. Di Kubang Pasu, jumlah penduduk yang dipindahkan meningkat kepada 21,111 orang melibatkan 5,740 keluarga manakala di daerah Kota Setar, seramai 15,736 orang (4,047 keluarga) dan di daerah Pendang pula 241 orang (60 keluarga).

Mangsa banjir di Padang Terap berkurangan kepada 657 orang berbanding 2,279 orang pada 7 November melibatkan 204 keluarga dan daerah Pokok Sena juga menunjukkan penurunan daripada 1,868 orang kepada 1,767 orang melibatkan 313 keluarga.

Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata sehingga pukul 8 pagi 8 November, 100 pusat penempatan mangsa banjir dibuka dan daripada jumlah itu, 50 adalah di Kubang Pasu, 10 di Padang Terap, 32 di Kota Setar, tujuh di Pokok Sena dan satu di Pendang.

Katanya keadaan di Padang Terap bertambah baik dengan 2,722 orang daripada 339 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat manakala 10 pusat pemindahan ditutup.

No comments: