Monday, March 8, 2010

Dua Tahun Pakatan Rakyat, catat pembaharuan dalam pentadbiran, ketelusan dan kebajikan


Dua tahun Pakatan Rakyat dipenuhi kebajikan, ketelusan khidmat untuk rakyat

WAN NORDIN WAN YAACOB
(Fokus Pakatan Rakyat)

KUALA LUMPUR : Tanggal 8 Mac 2010, genaplah pemerintahan dua tahun Pakatan
Rakyat di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor selain Kelantan yang mencecah 20 tahun
kegemilangan Negeri Serambi Mekah.

Dalam pada Pakatan Rakyat meraikan sambutan dua tahun pemerintahannya ditiga
negeri, media-media pro-Umno mula menggambarkan kononnya tiada kesepakatan
dalam pakatan dengan rencah ditambah lagi dalam isu beberapa ahli Parlimen Pakatan
Rakyat keluar parti.

Sejak Mac 2008, Pakatan Rakyat tidak sunyi dari serangan-serangan oleh media dan
pimpinan Umno/BN yang mahu seberapa segera kerajaan-kerajaan milik rakyat ini
tumbang, dan pada Februari 2009, Perak jatuh ke tangan BN semula dengan adegan
rampasan kuasa.

Desakan demi desakan dibuat agar pilihan raya kecil negeri Perak diadakan semula
bagi memilih semula kerajaan yang sah, namun ianya tidak diendahkan dan pada 10
Februari lalu, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan bersetuju dengan rampasan
kuasa itu sebagai sah.

Bagaimanapun, rakyat tentunya sudah matang dalam kerenah Umno/BN yang susah
mengiktiraf pemilihan rakyat secara sah, rekod pentadbiran Menteri Besar Pakatan
Rakyat Perak, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dengan penuh kebajikan
dan telus menjadi aset yang berharga untuk pilihan raya akan datang.

Walaupun hanya setahun memerintah, Nizar menunjukkan komitmen yang tinggi
membanting tenaga membantu rakyat.

Sementara tidak boleh dinafikan fakta bahawa tiga kerajaan negeri yang baru
mencecah dua tahun pemerintahan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang menunjukkan
peningkatan yang sangat luar biasa dalam pentadbirannya berbanding pemerintahan
sebelum ini.

Menyentuh prestasi kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat ini, Ketua
Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim melihat secara umumnya Pakatan Rakyat
secara tuntas memperlihatkan kerjasama dan muafakat utuh demi memasti serta
menjamin kemaslahatan rakyat.

Kesimpulan itu dibuat dalam satu sidang medianya dekat sini 8 Mac lalu bersama
pimpinan Pakatan Rakyat sempena sambutan dua tahun Pakatan Rakyat,Antara
pimpinan yang hadir ialah, Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar dan Salahuddin
Ayub, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Naib Presiden KeADILan, Azmin
Ali dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim.

Mengulas lanjut Anwar berkata, Pakatan Rakyat dalam meneruskan dasar-dasar dan
kerjasama antara tiga parti ini akan sentiasa menjunjung prinsip-prinsip Perlembagaan yang menjamin hak orang Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan,
kedudukan istimewa Raja-raja Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Negeri-negeri Pakatan menunjukkan prestasi ekonomi yang memberansangkan jika
dibandingkan dengan negeri yang ditadbir umno-barisan nasiona, katanya.

Kedah

Mengulas kejayaan Kedah, di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato' Seri Azizan
Abdul Razak pula, pelaburan adalah penyumbang kepada pembangunan ekonomi
negeri.

Kedah telah mencatatkan pelaburan keseluruhan lebih RM839 juta bagi tempoh
Januari hingga September 2009, dengan nilai pelaburan tempatan sebanyak RM279.4
juta dan pelaburan asing sebanyak RM559.8 juta, ujar Anwar.

Ujar Anwar, kini dengan keluasan 1,000 hektar kerajaan mendapat hasil RM16.7 juta,
tidak termasuk cukai/tan metrik bila balak dikeluarkan dari hutan.

Sedangkan di bawah pentadbiran Umno/BN, dengan keluasan yang sama, hanya
mampu mengutip RM3 hinggga RM4 juta sahaja termasuk cukai kayu pertan metrik,
katanya.

Anwar menyimpulkan kejayaan Kedah di bawah PAS meningkatkan pendapatan ini
merupakan hasil dari pelaksanaan dasar yang telus serta tidak berkompromi dengan
rasuah.


Selangor

Di Selangor setakat ini mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM 6.76 billion pada
tahun 2009 dan mencipta sebanyak 20753 peluang pekerjaan, kata Anwar.

Dari jumlah pelaburan tersebut, RM 2.752 billion(40.8 peratus) merupakan pelaburan
tempatan. Manakala Projek Industri yang diluluskan di Selangor berjumlah 278, ianya
merupakan yang tertingi dicatatkan di Negara ini.

Kerajaan Negeri Selangor juga mensasarkan enam hingga tujuh peratus pertumbuhan
dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini daripada penguncupan
sebanyak 3.87 peratus tahun lepas, kata Anwar.

Selangor juga mencatatkan penurunan indeks jenayah sebanyak 5.3 peratus iaitu
sebanyak 54,339 kes sepanjang tahun 2009 berbanding 57,704 kes pada tahun
sebelumnya, ujarnya.

Kerajaan Negeri juga memperuntukkan kira-kira RM6 juta kepada Sekolah Agama
Rakyat (SAR) di negeri ini bagi menjalankan aktiviti pendidikan dan pembelajaran
berteraskan Islam sepanjang 2010.

Peruntukan ini diberikan kepada SAR yang tidak pernah mendapat sebarang
peruntukan kewangan dan peralatan pembelajaran dari Kerajaan Negeri mahupun
sumbangan individu sebelum ini, kata Anwar.

Pulau Pinang

Sementara mengumumkan kejayaan Pulau Pinang, Anwar berkata kerajaan pimpinan
Lim Guan Eng telah meluluskan sebanyak 104 projek industri yang mana ketiga tertingi
berbanding negeri lain.

Pulau Pinang membuka lembaran baru dengan 'Dasar CAT' (daya saing, pertanggungjawaban dan ketelusan) menjadi pemangkin kepada kejayaan negeri ini
dalam merekodkan lebihan belanjawan (surplus) sebanyak RM 88 juta berbanding
jangkaan defisit sebanyak RM 35 juta pada Belanjawan 2008, kata Anwar.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga mewujudkan 200 ekar hub pendidikan untuk
menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat pendidikan terunggul, sementara pengiktirafan
serta bantuan kewangan (pemberian tunai) kepada pelajar terbaik SPM dan STPM
serta para huffaz (golongan hafiz), ujarnya.

Kerajaan Pulau Pinang yang diterajui DAP, telah menambah dua kali ganda peruntukan
untuk halehwal agama Islam, kepada RM24.3 juta dalam bajet 2010, berbanding
peruntukan BN pada 2008.

Kerajaan negeri juga memberi bantuan kewangan kepada SAR berjumlah RM 97 ribu
satu sekolah, RM 60 ribu kepada setiap sekolah Cina dan RM63 ribu kepada setiap
sekolah Tamil dengan jumlah keseluruhan ialah RM 11.3 juta, katanya.

Kerajaan negeri juga berjaya membasmi kemiskinan tegar dalam masa satu tahun dan
menjamin setiap keluarga mendapat RM 500 sebulan, ujarnya.

Kelantan

Membicarakan kejayaan Kelantan sebagai negeri paling lama ditawan PAS, Anwar
berkata sejak 20 tahun lepas Kerajaan Kelantan secara berterusan dianaktirikan akan
tetapi Kelantan tetap berjaya dengan program negeri berkebajikan.

Program Kifalah untuk anak yatim, golongan miskin, ibu tunggal dan orang kurang
upaya telah menjadi contoh kepada banyak negeri, katanya.

Begitu juga dengan program Perbadanan Ladang Rakyat yang membantu golongan
marhaen, Bandar Baru Tunjung dibina menjadi pusat komersil satelit kepada Kota
Bharu, katanya.

Kerajaan Negeri berjaya mengambil alih bekalan air daripada Thames Water kepada
Air Kelantan, selain Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) menjadi agensi
pelaburan utama negeri yang sebelum ini gagal di bawah pemerintahan BN sebelum
1990.

Kerajaan Negeri berjaya menguruskan 20 sekolah agama bantuan penuh kerajaan
negeri yang cemerlang dan menjadi saingan kepada sekolah premier di bawah
Kementerian Pendidikan.

Kemahiran pelbagai syarikat multinasional adalah bukti kuasa beli rakyat Kelantan
terus kukuh. Sepanjang 20 tahun pemerintahan ekonomi tempatan dibina secara kendiri
tanpa bantuan stimulus dari kerajaan Pusat, katanya.

Secara keseluruhannya, kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat dimana tiga yang
baru dua tahun diperintah telah menunjukkan perkembangan positif dalam membina
kebajikan dan pembangunan rakyat.

Kejayaan ini akan lebih dapat dirasai jika bantuan kerajaan pusat tidak disekat, selain kerajaan tidak bermain wayang dalam isu Royalti Minyak yang seharusnya diberikan kepada Kelantan untuk membangunkan negeri dan rakyat.

Begitupun, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor yang turut mendapat pujian
dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 akan terus mengharungi pencapaian yang
lebih baik jika dasar-dasar ketelusan dikekalkan dan dipertingkatkan.

No comments: