Mesir 'tali barut' Yahudi, PAS kecam tindakan kerajaan Hosni Mubarak
WAN NORDIN WAN YAACOB
KUALA LUMPUR : PAS mengecam keras tindakan Mesir menghalang konvoi viva Palestin dan menahan seorang pelajar Malaysia yang turut serta dalam misi bantuan ke Palestin.
Sebelum ini kerajaan Mesir telah menghalang pasukan konvoi Palestin di Pelabuhan
El-Arish, yang mahu menghantar bantuan kemanusiaan seperti makanan, ubat-ubatan
dan peralatan persekolahan bernilai lebih AS$1 juta kepada rakyat di sana.
Malah sikap biadap Mesir membina tembok batu sepanjang 6 Kilometer membuktikan
negara tersebut 'alat' Yahudi dan wajar dikutuk oleh seluruh dunia Islam, tegas Naib
Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika ditemui sebaik Himpunan Aman di hadapan Kedutaan Mesir dekat sini 8 Januari.
Salahuddin juga kecewa dengan sikap negara yang kononnya sebuah negara Islam,
namun sanggup menjadi tali barut Yahudi untuk mencapai cita-cita memerangi Islam
Palestin.
Tindakan seperti yang dilakukan kerajaan pimpinan Hosni Mubarak telah menyebabkan ramai umat Islam di Palestin menderita, selain terkorban dengan keganasan Israel, katanya.
Baginya, Persidangan Negara-negara Islam (OIC) harus bertindak segera selain mahu
Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak peka terhadap isu umat Islam ini dan tidak hanya menyelewengkan isu agama untuk kepentingan politiknya.
Sementara itu, semasa membacakan inti memorandum, Ketua Pemuda PAS, Ustaz
Nasrudin Hassan pula berkata, tindakan Mesir yang dipimpin Hosni Mubarak membina
tembok besar disempadan Palestin menjadikan umat Islam Palestin 'terpenjara' dengan
tembok itu.
Sambil menyifatkan tindakan itu suatu 'kesengkokolan' Yahudi dan Mesir bagi
membunuh umat Islam Palestin, Pemuda PAS juga mengecam keras kerjasama
tersebut.
Pemuda PAS juga katanya turut mahu Mesir menghentikan usaha membina tembok di
sempadan negara itu yang dilihat sengaja untuk mengepung penduduk Palestin.
Walaupun Mesir telah membebaskan pelajar Malaysia yang ditahan selama 15 jam dan
dikasari keselamatan di sana, selain tidak diberi makan, Pemuda PAS mahu kerajaan
biadap itu tidak lagi menjadi tali barut Yahudi untuk memerangi Palestin.
Ustaz Nasrudin berkata, Yahudi akan terus menggunakan negara Islam seperti Mesir
dalam melunaskan nafsu jahat mereka membunuh umat Islam Palestin.
Sementara itu, beberapa pimpinan lain termasuk Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris
Ahmad; AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mat Akin yang turut berucap semasa himpunan mengecam keras
sikap Mesir yang berlaku kejam terhadap umat Islam Palestin.
Ujar Ustaz Idris, himpunan yang sama juga turut berlaku di beberapa buah negara lain
yang juga mengecam sikap 'jahat' Mesir yang dikudakan Israel untuk membunuh umat
Islam.
Himpunan anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat itu dihadiri kira-kira 3000 penyokong
PAS dan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) selain mahasiswa seluruh Lembah
Kelang.
Himpunan itu antara lain bertujuan menyerahkan memorandum membantah tindakan
kerajaan negara itu yang bersekongkol dengan Israel menindas umat Islam Palestin.
Himpunan yang bermula seusai solat Jumaat itu dimulakan dengan laungan takbir di
perkarangan Kompleks Tabung Haji oleh AJK Pemuda PAS, Ustaz Riduan Mohd
Noor sambil diirigi dengan slogan 'hancur Israel' 'selamatkan Palestin' dan takbir
'Allahuakhbar'.
Selain itu, semasa berarak ke kedutaan Mesir yang terletak lebih 10 kilometer dengan
dikawal rapi oleh petugas Unit Amal, peserta himpunan turut melaungkan slogan
kecaman ke atas kerajaan Mesir dan pemimpinnya, Hosni Mubarak yang dikatakan
menjadi tali barut Yahudi.
Perjalanan memakan masa kira-kira 45 minit itu sedikitpun tidak diganggu polis, selain itu tidak memberi kesan kepada lalu lintas.
Setibanya di hadapan kedutaan, peserta himpunan menguatkan lagi kecaman, ada yang
membawa gambar Hosni sambil beberapa yang lain membakar gambar tersebut
sebagai simbolik mengecam Mesir.
Wakil himpunan, Salahudin, Nasrudin, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Azman
Shapawi Abdul Rani dan Ketua Muslimat, Ustazah Nuridah Salleh telah dibenarkan
menemui Duta Mesir, Hani Abdel Kader Ahmed untuk menyerahkan memorandum.
Sebaik keluar dari kedutaan, Ustaz Nasrudin membacakan inti memorandum, dan
sebaik selesai ucapannya, peserta himpunan diminta mendoakan kesejahteraan umat
Islam Palestin dengan Ustaz Azman Shapawi memimpin doa tersebut.
Kira-kira jam 3.45 himpunan bersurai.
Terdahulu, pada 7 Januari, Pemuda PAS dalam memorandumnya kepada Wisma Putra
mendesak kerajaan mengkaji semula hubungan dua hala di antara Malaysia dan Mesir
ekoran beberapa tindakan kerajaan Mesir akhir-akhir ini yang dilihat mencabar
kesabaran dan prinsip aqidah umat Islam di Malaysia yang mahukan rakyat Palestin
dibela.
Ini termasuk insiden penangkapan seorang pelajar perubatan dari Malaysia yang
menuntut di Universiti Bristol United Kingdom yang menyertai konvoi Viva Palestin
bagi menghantar bantuan kemanusiaan seperti makanan, ubat-ubatan dan peralatan
persekolahan bernilai lebih AS$1 juta kepada rakyat di sana.
Bercakap selepas menyerahkan memorandum di Kementerian Luar Negeri di
Putrajaya, Nasrudin menyifatkan tindakan Kerajaan Mesir membina tembok
penghalang terowong penghubung di Gaza seolah-olah sengaja menghalang rakyat dan
umat Islam Palestin daripada mendapat bekalan makanan, ubat-uabatan dan
kewangan.
Pemuda PAS menggesa kerajaan Malaysia mengkaji semula hubungan dua hala dengan
kerajaan Mesir kerana melihat mutakhir ini Mesir terlalu taat kepada Israel.
“Jika perlu, panggil Duta Malaysia ke Mesir untuk pulang ke tanah air sebagai satu
tekanan kepada Mesir kerana negara-negara Islam yang lain sedang memberi tekanan
kepada Mesir yang dilihat menjadi boneka kepada Amerika dan Israel,” katanya.
Confidential Document
10 years ago
No comments:
Post a Comment