Thursday, September 10, 2009

Pilihan raya untuk pilih pemimpin yang amanah, bertanggungjawab dan berakhlak!

WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR : Belumpun tarikh pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad sudah mula melatah.

Dalam akhbar Sinar Harian keluaran 11 September, Isa Samad menyelar Pakatan Rakyat yang menyerang beliau berhubung isu skandal rasuah semasa pemilihan Naib Presiden Umno tiga tahun lalu.

Isa Samad mendakwa, serangan pembangkang berhubung isu itu tidak boleh dijadikan modal sekiranya beliau bertanding di Bagan Pinang nanti.

Mengulas kenyataan Isa Samad itu, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifly Mohamed Omar berkata, perkara pokok yang sebenarnya perlu dilihat dalam persoalan mengapa pilihan raya diadakan ialah persoalan memilih pemimpin atau wakil rakyat.

Beliau berkata demikian kepada Harakah ketika dihubungi pada 11 September lalu.
Bagi PAS, pemilihan pemimpin perlulah berdasarkan kepada wibawa kepimpinannya, kejujuran, moral yang baik dan bersih dari sebarang bentuk salah laku rasuah mahupun penyelewengan, katanya.

Perihal ini ujarnya, amatlah penting dalam menentukan sejauhmana pemimpin yang dipilih itu nanti benar-benar mewakili rakyat dan mampu memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat.

"Ini adalah tanggungjawab, PAS melihat ini sebagai amanah yang penting yang akan digalas nanti untuk menjadi wakil rakyat.Jika seseorang pemimpin itu tidak bersih bagaimana mahu mewakili rakyat sekaligus menjadi 'role model' kepada rakyat yang diwakilinya," katanya.

Beliau yang enggan melayan 'kenyataan gelabah' Isa Samad itu berkata, Umno/BN sebenarnya dalam dilema untuk memilih wakil-wakil mereka.

Ini kerana ujarnya, apa yang berlaku dalam Umno/BN ialah wujudnya kumpulan-kumpulan atau blok-blok tertentu yang mewakili kepentingan seseorang pemimpin yang disokong.

Amatlah sukar kepada mereka (ahli Umno/BN) untuk menerima seseorang yang dicalonkan jika individu itu bukanlah dari kalangan kumpulan mereka, katanya.

Beliau tidak menafikan hal ini berlaku sejak dahulu lagi dalam Umno/BN, dan isu ini juga berlaku dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) selepas pilihan raya umum ke-12 yang lalu.

Di Permatang Pasir katanya, calon yang kononnya bersih, Rohaizat Othman yang mewakili kumpulan tertentu di kalangan pemimpin Umno akhirnya dikaitkan dengan dakwaan terbabit dalam penipuan wang pekebun kecil.

"Umno tidak boleh elak maslaah calon sebab mereka bersaing antara satu sama lain antara kelompok-kelompok yang wujud.Ia berbeza dengan PAS yang mana jika siapa sahaja yang dipilih mewakili parti, pastinya semua akan menerima," ujarnya.

PRK Bagan Pinang getir?

Sementara itu Zulkifly tidak menolak dakwaan bahawa PAS dan Pakatan Rakyat menghadapi pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang dengan penuh waspada dan 'getir'.

Beliau tidak menolak kemungkinan BN akan memanipulasi undi pos yang ada sekitar 5000 undi kerana ia adalah talian hayat Umno/BN di sini.

Beliau juga mengakui kebimbangan yang dilahirkan oleh Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua bahawa 'DAP jangka pilihan raya Dun Bagan Pinang laluan sukar kepada PAS" juga berdasarkan kepada jumlah undi pos yang terlalu banyak.

Namun berdasarkan kepada perkembangan dan trend undi Dun Bagan Pinang yang dilihat dalam keputusan pilihan raya umum 2008 lalu, peningkatan undi kepada calon PAS, Ramli Ismail amat baik.

"Jika tanpa undi pos, pastinya PAS boleh menggerakkan kemenangan kerana besa undi jika tanpa undi pos hanya sekitar 400 undi, dan jika undi pos dijalankan dengan telus termasuk membenarkan pengiraan undi dijalankan pada hari yang sama, membenarkan polling dan counting agent bersama, pastinya undi tentera akan terarah kepada PAS," ujarnya.

Namun, beliau yakin dengan perkembangan 'kemelut' dalaman Umno Negeri Sembilan, ditambah peningkatan sokongan Melayu dan bukan Islam mutakhir ini kepada PAS, Dun Bagan Pinang bakal dirampas PAS.

"Cuma kita kena kerja keras lah," ujarnya.

Sebelum itu, Mohd Isa Samad menegaskan kes disiplin membabitkan beliau sebelum ini bukanlah isu yang boleh dimainkan pembangkang, sekiranya beliau dicalonkan bertanding pada pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang.

Ini kerana katanya, kes yang mengheret kepada hukuman penggantungan keahliannya selama tiga tahun hanya membabitkan kesalahan disiplin parti dan bukan jenayah.

“Saya tengok, pembangkang keluar penjara pun jadi calon. Ada dalam penjara pun boleh jadi calon. Jadi, apa masalahnya?

“Saya cuma dikenakan tindakan disiplin dan bukan jenayah. Tapi pembangkang, yang dipenjara, didakwa dan masih dalam pendakwaan pun boleh bertanding. Cita-cita besar lagi.... Takkan saya tak boleh?” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mesyuarat Umno Bahagian di Port Dickson Golf Country Club, 10 September lalu.

Lembaga Disiplin Umno sebelum ini menggantung keahlian Mohd Isa bermula 24 Jun 2005 sehingga 23 Jun 2008 kerana terbabit dengan amalan politik wang pada Perhimpunan Agung Umno 2004 selepas memenangi jawatan Naib Presiden.

No comments: