Wednesday, June 24, 2009

Polemik kerajaan perpaduan, cermin dan ujian yang mematangkan pimpinan PAS!



WAN NORDIN WAN YAACOB (analisis)


Polemik isu kerajaan perpaduan mungkin telah terungkai dan akhirnya terhenti sejak 22 Jun lalu selepas satu kenyataan bersama Majlis Presiden Pakatan Rakyat di Tingkat 14 Bangunan Parlimen.


Secara rasminya seperti kata mantan Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang idea Kerajaan Perpaduan tidak pernah dibangkitkan dalam PAS apatah lagi untuk membincangkannya.


Ianya tidak lebih dari lontaran idea Presiden Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang seperti yang beliau sendiri pernah membuat kenyataan mengenainya.


Lontaran idea itu dibuat beliau semasa pimpinan Kerajaan di bawah pentadbiran Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (sekarang Tun) yang menjanjikan untuk membasmi amalan rasuah.

Beliau menyuarakan idea dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan itu dapat dilakukan reformasi terhadap Suruhanjaya Pilihanraya dan Suruhanjaya Kehakiman yang selama ini dilihat semakin terhakis kepercayaan rakyat kepada kedua-dua suruhanjaya itu.


Bagaimanapun tidak ada perbincangan rasmi dengan pimpinan Umno mengenai perkara ini dan tidak ada sebarang keputusan dibuat.

Seperti kata Ahmad Awang, beliau difahamkan lontaran idea ini pernah disampaikan kepada Abdullah (sahaja) ketika hampir-hampir berlaku peralihan kuasa kepimpinan negara kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak.


Khabarnya Abdullah berminat dengan idea tersebut (bukan cadangan), mungkin kerana takut orang-orang beliau akan tersingkir apabila Najib menjadi Perdana Menteri, bukannya kerana idea kerajaan perpaduan itu, kata Ahmad Awang.


Namun tidak ada apa-apa perkembangan lanjut sehingga peralihan kepimpinan negara berlaku dengan perletakan jawatan Pak Lah pada 29 Mac lalu.


Namun setelah pada 22 Jun lalu, Majlis Presiden Pakatan Rakyat membuat ketetapan bahawa perbincangan mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan mesti dihentikan segera, akhirnya isu ini 'dilihat' selesai.


Walaupun, pimpinan Umno menyatakan mereka tidak terkesan dengan keputusan PAS untuk terus bersama Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan persekutuan pada pilihan raya umum akan datang, namun hingga kini mereka masih 'mengulas' isu kerajaan perpaduan.

Ugkapan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mungkin mempalitkan Umno 'kekecewaan' apabila beliau dengan tegas menyatakan 'Umno telah mempermaikan isu kerajaan perpaduan seolah-olah hendak menggambarkan PAS bahawa akan meninggalkan Pakatan'.


Meskipun sebelum ini media pro Umno giat melaporkan usaha-usaha ke arah pembentukan kerajaan perpaduan melaga-lagakan PAS dengan Pakatan Rakyat, akhirnya 'permainan jahat' Umno ini disedari pimpinan PAS yang diketuai Presiden.


Keputusan itu tepat pada masanya kata beberapa pimpinan PAS lain yang menyambut kenyataan Presiden dengan 'kelegaan' dan mengharapkan ia adalah jalan penutup.

Kenyataan Presiden PAS pastinya satu tamparan hebat kepada Umno yang hanya mahu menggunakan kesempatan dalam mengungkap isu kerajaan perpaduan demi 'menyelamatkan' moral Umno yang sudah 'karam' selepas PRU-12.


Walhal pelawaan oleh Presiden PAS itu sememangnya ikhlas mahukan pembaharuan berlaku tatkala negara diambang krisis dengan segala macam penyelewengan dan kekufuran.


Buah yang disangkakan Umno jatuh dari tangan PAS akhirnya 'tergantung' menyebabkan Umno 'umpama orang koma yang terputus bekalan oksigen' bak kata Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar.


Perihal isu kerajaan perpaduan ini pasti satu pengalaman yang sangat berharga kepada seluruh kepimpinan PAS, dalam menilai sejauhmana sebenarnya Umno ikhlas dalam berbincang.

Pastinya, di sebalik 'persetujuan' mahu kerajaan perpaduan Umno akan menjalankan propagandanya untuk membaham rakan-rakan PAS agar semuanya berpecah, dan untungnya hanya kembali kepada Umno/BN.


Riak sebegini telah dibaca oleh kepimpinan yang telah memutuskan talian hayat Umno itu danakhirnya meredakan semula kekeliruan di kalangan ahli PAS.

Penegasan Presiden amat berharga, seluruh kepimpinan kembali duduk semeja bagi membincangkan perihal membangunkan parti dengan kondisi yang ada.


Pandangan ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifly Ahmad ada benarnya dimana PAS kini berada di tahap paling kukuh dan kuat, Umno sebaliknya sedang berada di tahap paling lemah dalam laluan usia politiknya.


Benar kata Ketua Umum KeADILan, Anwar Ibrahim bahawa pimpinan PAS ternyata lebih pintar dan pastinya berpaut kepada prinsip perjuangan seperti, 'istiqamah' yang disebut oleh Tuan Guru Nik Aziz.


Malah tambah Anwar, memperkukuh institusi kenegaraan seperti "membanteras rasuah, memperbaiki badan kehakiman serta Suruhanjaya Pilihan Raya yang bebas dan adil" yang diucapkan oleh Tuan Guru Abdul Hadi adalah tepat.


Justeru menjaga amanah ahli dan penyokong seperti yang pernah dilontar Presiden dalam wawancara Harakah sebelum Muktamar ke-55 ada kesannya.

Sindiran 'pedas' Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat kepada kepimpinan parti diawal polemik kerajaan perpaduan ada kesannya.

Jiwa rendah diri dan kasih sayang Mursyidul Am jelas terpancar selepas beliau sanggup turun bertemu dengan kepimpinan sebaik sahaja polemik kerajaan perpaduan selesai.

Huluran tangan dan penarikan kembali kenyataan kepada Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa sesungguhnya menunjukkan Mursyidul 'marah marah sayang' kepada saf kepimpinan yang dianggap sebagai anak.

Nah kini laungan 'Mengkuburkan Umno/BN' perlu dijadikan tumpuan oleh kepimpinan PAS dalam usaha menerjah misi membangunkan masyarakat yang telah lam ditindas rejim yang ada.

Kekufuran dan penzaliman yang dilakukan rejim pastinya perlu menjadi sasaran untuk dihentikan, pilihan raya ke -13 adalah medan terbaik mengkuburkan Umno/BN.

Saf perlu dikembalikan sebaris menuju ke hadapan, dan PRK Manik Urai adalah tempat tautan semula ukhuwah, justeru satu episod baharu dalam perjuangan lantas bakal dilakar semula.

Amanat Presiden PAS pada Muktamar ke-55 perlu dihadam sebaiknya, sengketa sementara yang berlaku sebelum ini harus dilupakan terus, rapatkan saf perjuangan menuju kejayaan.



No comments: