Wednesday, June 17, 2009

Kerajaan Perpaduan : Nik Aziz minta Nasha letak jawatan, Ustaz Halim kata K perpaduan tak pernah bincang

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini meminta Nasharuddin Mat Isa melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Presiden parti dan sebagai Anggota Parlimen Bachok jika berhasrat meneruskan agenda kerajaan perpaduan.

"Isu kerajaan perpaduan bukannya datang daripada PAS, ia adalah lontaran (idea) peribadi.
Perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam kertas sebagai agenda PAS mahupun dalam kertas pakatan pembangkang.

"Kalau benar Nasharuddin nak setuju (dengan kerajaan perpaduan) lebih baik dia masuk Umno, letak jawatan timbalan (presiden PAS) dan di Bachok. Apa buat sampah, menyusahkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Katanya cadangan mengenai kerajaan perpaduan antara pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN) adalah satu perkara yang dilontarkan oleh "boneka Umno" untuk menimbulkan kecelaruan dalam PAS serta pakatan pembangkang.

Nik Abdul Aziz mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang yakin terhadap keikhlasan PAS berhubung cadangan kerajaan perpaduan seperti mana yang dicetuskan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata beliau mengamalkan sikap terbuka dan sedia mendengar serta menimbang apa jua cadangan yang akan dikemukakan oleh PAS.

Sebagai reaksi, Nasharuddin berkata PAS berpendirian terbuka untuk perbincangan tentang perpaduan dan bukannya kerajaan perpaduan kerana parti itu melihat ada peluang untuk memberikan cadangan-cadangan baik kepada kerajaan bagi membantu menyelesaikan kemelut politik, ekonomi dan sebagainya.

Nik Abdul Aziz berkata beliau kesal dengan pendirian Nasharuddin kerana PAS di Kelantan telah menerimanya sebagai calon untuk bertanding di Bachok pada pilihan raya umum 2008.

Katanya PAS dan pakatan pembangkang kini telah masuk perangkap Umno berhubung isu kerajaan perpaduan sehingga menimbulkan pecah-belah dalam kalangan mereka.

"Orang Umno sekarang ini sedang berpesta kerana PAS sedang berpecah dan pakatan pembangkang sedang berpecah," katanya.

Beliau juga berkata jika agenda kerajaan perpaduan itu benar-benar ingin dijadikan satu realiti, BN seharusnya melantik pemimpin daripada pakatan pembangkang untuk jawatan menteri.

"Kalau semua setuju...PAS jadi menteri, DAP jadi menteri dan Keadilan jadi menteri," katanya.

Nik Abdul Aziz juga berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Utusan Malaysia berhubung satu laporan pada 15 Jun lepas yang memetik beliau sebagai berkata bahawa "nasihatnya mesti didengar".

"Saya nafi sekeras-kerasnya penggunaan "mesti". Semuanya itu selain daripada pembohongan adalah hasutan untuk menghina saya, supaya masyarakat dan mufti benci kepada saya.

"Saya sangat dukacita dan malu sampai dikerah mufti untuk membincangkan kenyataan saya," katanya.

Nik Aziz berkata beliau telah melantik peguam untuk mengambil tindakan itu.





Ustaz Halim tegaskan tidak pernah bincang kerajaan perpaduan
Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR, 17 Jun : Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini menegaskan persoalan kerajaan perpaduan tidak pernah dibincangkan dalam Majlis Syura Ulama sebelum ini.

Ketika menjawab soalan dari ahli Parlimen BN Putatan, Marcus Mojinggoh di Dewan Rakyat, Ustaz Halim (PAS Pengkalan Chepa) menyatakan, adapun kenyataan balas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa adalah kenyataan peribadi dan bukan mewakili parti.

Untuk makluman, Ustaz Halim berbahas hari ini dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pindaan 2009.Isu kerajaan perpaduan dijawab selepas memberi respon kepada Marcus yang bertanyakan isu tersebut dalam perbahasan semalam.

Beliau merujuk pertanyaan beberapa ahli Parlimen BN yang mahu penjelasan mengenai kenyataan Ustaz Nasharudin yang dilaporkan berkata beliau positif ke atas kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mengenai isu kerajaan perpaduan.

Kenyataan Ustaz Halim kemudian disambut oleh beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat, antaranya Lim Kit Siang (DAP Ipoh Timur) yang menyifatkan kenyataan Najib adalah hanya untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat sahaja.

Kit Siang seterusnya menyatakan, kenyataan Najib itu sebenarnya tidak terkesan kepada Pakatan Rakyat, sebaliknya hanya umpan sahaja.

Semalam, Timbalan Presiden PAS, dilaporkan menyambut baik kesediaan Najib mengadakan perbincangan mengenai isu kerajaan perpaduan.

Katanya, merupakan reaksi serius pertama dari perdana menteri terhadap cadangan kerajaan perpaduan itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak dapat bercakap bagi pihak PAS tetapi perlu membawa perkara itu kepada presiden dan pihak parti.

Namun begitu, katanya, PAS terbuka untuk mengadakan sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak.

Terdahulu, Najib Razak berkata beliau melihat PAS ikhlas dalam cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan seperti yang disuarakan oleh Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Perdana Menteri berkata beliau tidak menolak sebarang kerjasama yang boleh memberi kebaikan untuk negara.

"Umno sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk mendengar dan menimbang apa-apa cadangan yang dikemukakan oleh PAS," katanya selepas merasmikan Persidangan Menteri-menteri Pelajaran Negara-negara Komanwel ke-17 di ibu negara semalam

Ditanya sama ada beliau yakin dengan cadangan itu, Najib berkata ini adalah satu titik permulaan tetapi beliau perlu juga melihat terlebih dahulu bentuk kerjasama yang sesuai antara kedua-dua parti itu.

1 comment:

Politiksukusakat said...

Saya melaporkan apa yang dikatakan sahaja ketika saya berada di Parlimen dalam kes Ustaz Halim, Sementara dala kes Tok Guru, semua media melaporkan hal demikian, terpulang kepada pembaca untuk menilainya....