WAN NORDIN WAN YAACOB
Analisa
Tiada jalan atau ruang kepada rakyat untuk mengetahui maklumat sahih jika semua media tidak kira arus perdana mahupun alternatif masih terus dicengkam dengan Akta-akta yang menyekat kebebasan.
Seperti kata Pengarah Strategik KeADILan, Tian Chua bahawa apa yang diucapkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak agar media bebas mengkritik hanya satu retorik.
Walhal, Najib sendiri masih meneruskan cengkaman kepada media dengan akta-akta yang menyekat kebebasan masih dipatri sebagai asas kepada penerbitan laporan, katanya.
Memang bagi penggiat media arus perdana yang dipunyai oleh tauke-tauke Umno/BN akan mengiakan apa yang dikatakan Najib dengan menggunakan hujah bahawa 'kita lebih kreatif sekalipun ada akta menyekat kebebasan akhbar'.
Namun, hasilnya media arus perdana seperti kata Tian Chua lagi menyuburkan laporan-laporan yang berbentuk fitnah, tidak tepat dan menyelindungkan fakta sebenar.
Terlalu banyak isu penyelewengan, kronisme dan salah guna kuasa berlaku yang akhirnya dilaporkan media mengikut selera pemiliknya sahaja, katanya.
Hakikat ini bertentangan dengan apa yang diperkatakan Najib selaku 'tauke' terbesar ketika ini kepada seluruh perjalanan media arus perdana di negara ini.
Longgokan 'fitnah' kepada Pakatan Rakyat tatkala pilihan raya berlangsung menampakkan wajah sebenar media arus perdana yang kononnya meraikan kebebasan dalam masa yang sama menerima Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.
Cadangan bekas Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar sebelum melepaskan jawatannya agar akta yang menyekat kebebasan akhbar dimansuhkan akhirnya terus sunyi dari menjadi buah mulut kalangan kepimpinan baru kerajaan.
Hari kebebasan akhbar akan tiba, tanggal 3 Mei pastinya akan diraikan seluruh penggiat akhbar tidak kira arus perdana mahupun akhbar 'nyamuk'.
Pastinya rakyat sekali lagi akan mendengar retorik dari pemimpin negara yang turut akan meraikan hari bersejarah buat penggiat media ini.
Namun sampai bila akta yang menyekat kebebasan akhbar ini akan terus berkuasa menyekat kebebasan akhbar terutama kepada akhbar seperti Harakah dan Suara Keadilan, gerakan memansuhkannya perlu diperkuat dan dipergiat.
No comments:
Post a Comment