Wednesday, April 29, 2009

Husam sedia terima pencalonan

di Petik dari Sinar Harian

KOTA BHARU – Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa tidak menolak kemungkinan menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden pada muktamar parti Jun ini sekiranya pencalonan itu menepati tiga faktor utama yang disenaraikan.

Husam berkata, sebelum beliau mengumumkan secara rasmi, beliau perlu mempertimbangkan dan mengkaji beberapa perkara berhubung pencalonan bagi jawatan berkenaan.

Antara faktor yang akan diambil kira dalam pertimbangan itu ialah harapan ahli yang memerlukan beliau berbuat demikian; sebab-sebab kewajaran beliau perlu bertanding jawatan itu; dan arah tuju masa depan Pas terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

“Faktor-faktor ini perlu saya diambil kira sebelum saya buat keputusan muktamad berhubung pertandingan merebut jawatan nombor dua dalam parti,” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang membuat pakaian Nur Abadi Garments Sdn Bhd, di sini, semalam.

Katanya, sekiranya Pas berjaya mencapai kemenangan di atas kerusi-kerusi yang sekarang ini dimiliki oleh Umnomaka Pas boleh keluar sebagai ‘the main anchor’ parti pada masa akan datang.

“Faktor-faktor inilah yang saya kena rundingkan dengan kawasan-kawasan dan ahli-ahli sebelum saya memberikan kata muktamad saya,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pencalonan yang diterima, menurutnya, dia tidak pernah mengambil tahu pencalonan yang diperoleh dan diberikan oleh kawasan kepadanya. “Saya tak berapa consentrate fasal pencalonan. Saya masih belum dapat senarai yang mencalonkan saya. Sekiranya ada, saya hargai pencalonan yang ada. Tapi kalau Kelantan sahaja tidak cukup,” katanya.

Mengulas mengenai tiga calon yang sudah mengesahkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Husam berkata, semua itu masih terlalu awal.

“Rakan-rakan kita tu mungkin kita boleh adakan muqabalah untuk mungkin boleh tarik diri mana-mana yang rasa ada lebih mustahak untuk dimajukan. Masih terlalu awal.

“Kalau muqabalah dengan Umno kita boleh buat, takkan muqabalah dengan pemimpin sendiri kita tak boleh buat,” katanya.

Beliau menegaskan segala tindakannya bergantung kepada kepentingan parti yang mengatasi kepentingan diri.

“Saya percaya kualiti mulia yang diamalkan ahli Pas masih kekal dalam isu pemilihan pucuk pimpinan parti,” katanya.

No comments: