Friday, January 16, 2009

PRK Kuala Terengganu, Penyokong BN mengganas di Bukit Losong

Beberapa penyokong PAS menyuarakan rasa kesal mereka dengan tindakan pekerja BN yang didakwa mereka bersikap agresif dengan menarik tangan pengundi yang tiba untuk mengundi di Sekolah Menengan Bukit Losong dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam.

Mereka mendakwa, sebaik sahaja pengundi keluar kereta, penyokong BN itu terus memegang tangan mereka dan menunjukkan poster calon BN ke arah muka mereka.

Seorang penyokong PAS, Hanafiah Mat memberitahu Malaysiakini kejadian berlaku sejak jam 7.45 tadi dan berlarutan hingga sekarang.

Hanafiah berkata, penyokong BN terbabit dipercayai dari Kelantan.

"Kami nampak penyokong BN Terengganu tidak berbuat demikian," tambahnya.

Menurutnya, tindak tanduk penyokong BN telah menimbul kemarahan di kalangan pengundi berkenaan, tetapi tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

"Ini kerana, ada masanya, poster calon BN yang dipegang, hampir terkena muka pengundi," katanya.

Sementara itu, calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut antara yang terawal mengundi pagi ini.

Wan Ahmad Farid merupakan pengundi pertama mengundi di Sekolah Kebangsaan Pusat Bukit Besar pada jam 8.02 pagi.

Beliau ditemani isterinya, Toh Puan Intan Baizura Abdul Wahab, yang turut mengundi di pusat yang sama.

Manakala calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut pula mengundi di Sekolah Kebangsaan Pusat Chabang Tiga jam 8.07 pagi.

Calon bebas Azharudin Mamat atau Adam bagaimanapun tidak mengundi di kawasan Parlimen itu kerana beliau merupakan pengundi berdaftar di Parlimen Petaling Jaya Utara.

Cuaca di sekitar Kuala Terengganu adalah baik dan pengundi dilihat sudah mula keluar ke tempat mengundi masing-masing untuk menunaikan tanggungjawab.

Sebanyak 143 saluran di 36 pusat mengundi dibuka mulai pukul 8 pagi ini bagi membolehkan 80,229 pengundi menunaikan tanggungjawab

No comments: