Saturday, January 10, 2009

KeADILan kecam polis tahan 21 aktivis anti-Israel

Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA TERENGGANU, 11 Jan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua mengecam tindakan polis menahan seramai 21 orang aktivis anti-Israel dalam himpunan vigil anjuran Gabungan Anti Perang di Kuala LUmpur semalam.

Tindakan tersebut sebenarnya mengundang kebencian kerana seluruh dunia kini mengadakan himpunan aman mengecam keganasan Israel ke atas Palestin, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berceramah di Markas KeADILan Cabang Tiga dekat sini semalam.

Beliau memberi amaran kepada kerajaan BN agar tidak mengambil isu tersebut hanya untuk kepentingan politik semata.

Sebaliknya semua pihak perlu bersama-sama untuk memberi tekanan kepada Israel dan Amerika Syarikat supaya menghentikan serangan ke atas Palestin, katanya.

Dalam perkembangan mengenai isu tangkapan 21 aktivis, Norlaila Othman salah seorang aktivis yang turut ditahan berkata, pihak polis telah membuat provokasi sehinggakan kumpulan yang berhimpun tidak berkesempatan untuk bersurai.

Harakahdaily dimaklumkan para peserta perhimpunan telah berhimpun di sekitar bangunan Majlis Peguam dan mula berarak ke Dataran Merdeka.

Ketika menghampiri kawasan Dataran Merdeka, para aktivis mula memasang lilin dan membuka 'banner' 'anti perang' tetapi telah dihalang oleh pihak polis atas alasan perhimpunan tersebut adalah perhimpunan haram dan tidak mendapat permit.

Ketika itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Adun Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim cuba untuk berunding tetapi tidak dilayan.

Sementara itu, anggota cawangan khas yang turut berada di lokasi perhimpunan telah mula membuat provokasi dengan membuat bising,marah-marah dan merampas 'banner' yang dibawa.

Tambah Norlaila, setelah itu, seluruh kawasan tersebut telah dikepung oleh pihak polis dan tidak memberi peluang untuk para aktivis beredar.

Katanya, pihak polis kemudian telah mengeluarkan arahan untuk menangkap semua yang berkumpul.

Antara yang ditahan dan dibawa ke Balai Polis Dang Wangi ketika ini ialah Charles Santiago, Dr Nasir, Norlaila, Ahli Parlimen Kuala Langat,Abdullah Sani;Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM),S Arutchelvan;Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan,Kamaruzaman Mohamad; Aktivis PSM, Nashita dan anaknya Ammar._

No comments: