Saturday, December 20, 2008

BN sudah umum calon, PAS siapa pula?

Wan Nordin Wan Yaacob

Semalam seluruh rakyat menyaksikan pengumuman calon yang bakal mewakili Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Senator Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh dipertaruhkan BN untuk menentang calon PAS dan Bebas yang akan mengisi borang pencalonan mereka 6 Januari ini.

Pemilihan Wan Farid kononnya dikatakan bersesuaian untuk PRK Kuala Terengganu kerana beliau adalah Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu.

Namun apa yang pasti kata sumber dalaman Umno, Wan Farid adalah 'orang harapan' Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam memastikan lebih ramai lagi 'orang Pak Lah' dalam Dewan Rakyat seterusnya kabinet.

Untuk meletakkan Wan Farid sebagai calon yang boleh diterima pengundi sebenarnya mungkin tidak tepat kerana kata sumber, ramai juga yang mengharapkan calon wanita dipilih untuk memecah tradisi Parlimen Kuala Terengganu.

Walaupun sebelum ini nama Ketua Puteri Umno Terengganu, Nordiana Shafie turut disebut sebagai calon, namun jangkaan itu meleset sebaliknya beberapa hari sebelum pengumuman calon BN, hanya dua nama sahaja yang menjadi 'short listed'.

Mereka ialah, Wan Farid (telah dipilih sebagai calon) dan Zuber Embong yang juga dikatakan antara yang berpotensi untuk diangkat sebagai calon BN.

Paling ketara pemilihan Wan Farid sebenarnya kata sumber masih dibayangi dengan sentimen pro Abdullah selain Wan Farid adalah rakan karib menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin.

Malah dakwaan ini dikuatkan lagi dengan Wan Farid sebelum ini dipilih oleh Abdullah untuk menggangotai kabinet Abdullah sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Kini teka-teki pemilihan calon BN sudah terjawab, namun bagi PAS hari ini adalah tarikh yang dijanjikan untuk mengumumkan calon.

Pastinya pihak media kini sedang berkumpul di Kuala Terengganu bagi menantikan selesainya Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang akan membincangkan dan memutuskan siapa calon mewakili parti ini.

Antara nama yang disebut-sebut sebagai calon PAS ialah Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi; Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Wan Mutalib Embong dan tokoh korporat, Mohd Khazani Abdullah.

Pastinya detik pengumuman ini juga ditunggu oleh seluruh penyokong PAS yang akan mula berkampung di Kuala Terengganu sebaik sahaja 'semboyan' ditiupkan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini.

Siapa pun calon PAS bak kata Ketua Penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman yang juga AJK PAS Pusat, jentera PAS perlu mengutamakan gerak kerja dan jangan sesekali terperangkap dengan sentimen dan propaganda yang akan dimainkan Umno/BN melalui media mereka.

"Siapa pun yang dipilih, yang penting kita perlu bekerja untuk pastikan kemenangan calon PAS," kata Mazlan.

Pastinya Jawatankuasa PAS Pusat telah membincangkan sepenuhnya ciri-ciri calon yang bakal diumumkan hari ini supaya ia tepat dengan kehendak semasa dan dasar parti.

1 comment:

ALI MAIDIN said...

Pas menangguhkan pengumuman calunnya dalam PRK Kuala Terengganu. Maknanya Pas Pusat tidak ada kata sepakat memilih calunnya.

Agaknya terlalu ramai calun yang layak.

Mungkin ramai pelobi kuat menyokong calun proksi mereka.

Dan yang pasti ramai calun yang perasan mereka terlalu hebat dan layak bertanding sehingga tak sanggup menarik diri dari dicalunkan.

Cerita orang Pas berebut-berebut menarik diri dari jawatan politik sudah berlalu. Ha ha.