Tuesday, November 18, 2008

Jika Shahrizat lawan Rafidah, Kamilia dapat untung?

Wan Nordin Wan Yaacob

Perang antara kelompok Ketua Wanita Umno dengan Naibnya, masih berterusan, malah terbaru Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil dikatakan bakal mengumumkan akan bertanding menentang ketuanya, Dato' Seri Rafidah Aziz Mac ini.

Pengumuman yang dilaporkan Bernama dari sumber tertentu menyatakan esok (khamis) Shahrizat bakal membuat pengumuman tersebut yang sekaligus menamatkan Pelan Peralihan Kuasa Jun 2009.

Sumber-sumber itu berkata Shahrizat juga didorong oleh keputusan anggota exco Wanita Dato' Kamilia Ibrahim untuk bertanding jawatan Naib Ketua yang disandang Shahrizat
sekarang.

Kamilia berulang kali berkata beliau tidak menyetujui pelan peralihan Jun itu dengan alasan ia bertentangan dengan perlembangaan Umno.

"Malah pendirian tegas Datuk Kamilia itu tidak memberi pilihan kepada Datuk Seri Shahrizat selain daripada bertanding jawatan ketua Wanita Umno.

"Pada masa yang sama ia telah juga memudahkan beliau membuat keputusan itu," kata sumber-sumber itu. Shahrizat, menurut sumber-sumber itu lagi, telah memberitahu keputusannya kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Rafidah buat pertama kali mengumumkan pelan peralihan kuasa itu pada Ogos lalu dan mesyuarat exco Wanita Umno minggu lalu mengambil keputusan menyokong pelan itu dan menolak gesaan Shahrizat yang dibuatnya sehari sebelum mesyuarat itu agar pelan berkenaan diselaras dengan pelan peralihan Umno induk.

Kamilia tidak hadir pada mesyuarat itu sebagai tanda beliau tidak menyetujui pelan berkenaan.

Pelan peralihan itu juga dianggap oleh ramai pihak sebagai tidak logik kerana jika Shahrizat mengambil alih jawatan daripada Rafidah pada Jun mengikut pelan itu, beliau akan hanya menjadi pemangku ketua Wanita sehingga pemilihan Umno yang diadakan tiga tahun selepas Mac depan.

Ramai yang menduga hal ini bakal berlaku, kerana Shahrizat sendiri hilang kekuatan untuk menempatkan diri di peringkat tinggi dalam Umno apabila kalah dalam pilihan raya umum lalu di tangan Nurul Izzah Anwar di Lembah Pantai.

Sementara Rafidah memiliki kekuatan apabila menang di Parlimen Kuala Kangsar, dan sekaligus mempunyai 'resume' yang lebih tinggi meritnya berbanding Shahrizat.

Shahrizat hanya mendapat belas ihsan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menjawat penasihat, sedangkan jawatan itu bukanlah point besar kepada 'resume'
yang boleh dihidang kepada perwakilan wanita untuk memancing undi.

Umum juga mengetahui, Shahrizat terpaksa menawarkan diri akhirnya untuk menentang Rafidah kerana dengan cara ini, beliau boleh meniti jawatan nombor satu dengan peluang 50-50.

Dengan tindakan agresif yang dilakukan seorang lagi calon Naib Ketua Wanita, Dato' Kamilia Ghazali yang sejak beberapa bulan lalu menggesa Shahrizat bertanding, akhirnya hal ini bakal menjadi kenyataan.

Kamilia seperti diketahui membuat serangan terhadap Rafidah dan menekan Shahrizat adalah untuk memastikan kerusi Naib Ketua dimenangi dengan mudah (tanpa bertanding).

Hal ini sebenarnya merisaukan Shahrizat, kerana jika menentang Rafidah, beliau bakal hilang kerusi Naib Ketua dan peluang untuk menang Ketua Wanita samar kerana pastinya
kelompk Rafidah akan berkempen bermati-matian mempertahan 'iron lady'.

Sementara jika akur dengan pelan peralihan kuasa Jun 2009, pastinya jawatan Ketua Wanita yang bakal diberikan kepadanya hanya berstatus 'pemangku' yang lansung tidak mempunyai pengaruh.

Nah di sinilah kebijaksanaan Kamilia terserlah sebagai seorang peguam, beliau berjaya mendepani arus deras perteliangkahan dalam Wanita Umno dengan melakukan desakan bertali arus kepada Shahrizat supaya menentang Rafidah.

Akhirnya, jika benar esok Shahrizat membuat keputusan akan menentang Rafidah, Kamilia bakal diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Naib Ketua.

No comments: