Sunday, October 5, 2008

Tawar perubahan atau menanti 'signal' Pak Lah yang malap?

Wan Nordin wan Yaacob (Analisis)

Salam Aidilfitri buat semua pembaca politiksukusakat, salam ukhuwwah dan salam perjuangan.Pastinya kini semua pembaca masih dalam mood raya kerana Syawal baharu sahaja menjengah hari yang ke enam.

Namun akhbar-akhbar arus perdana tidak terus merayakan kehangatkan Aidilfitri, sebaliknya cerita sensasi perebutan jawatan dalam Umno terus menyegarkan ruang laporan mereka.

Tidak lagi tidak bukan persoalan jawatan nombor satu dan dua dalam Umno terus dibicarakan.

Politik dalaman Umno semakin bercelaru dan tidak stabil walaupun air muka Presidennya, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak menunjukkan keresahan.

Namun ramai yang menanti-nantikan pengumuman penting Abdullah sehari sebelum mesyuarat bahagian Umno bermula 9 Oktober ini, samada mahu mempertahankan jawatan Presiden atau sebaliknya.

Nada-nada desakan supaya melepaskan jawatan segera terus dilontarkan kepada Abdullah sementara menantu kesayangan, Khairy Jamaludin pula yang kini mahu merebut jawatan Ketua Pemuda Umno bagai 'bernafas dalam lumpur'.

Paling mengejutkan, kesediaan beberapa ahli MT Umno menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno dengan motto kononnya membawa perubahan.

Anak bekas Setiausaha Agung Umno (Mohamad Rahmat), Dato' Nur Jazlan Mohamad sendiri melakukan kejutan dengan menawarkan diri bertanding jawatan nombor dua parti walaupun sebelum ini beliau tidak pernah ada dalam senarai antara yang berpotensi untuk bertanding.

Sementara kesediaan Dato' Ahmad Zahid Hamidi untuk turut serta bertanding jawatan yang menjadi perhatian Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi gambaran bahawa Umno kini mula berpecah kepada banyak kumpulan.

Walaupun ketika menawarkan diri untuk bertanding masing-masing menggunakan istilah menyuburkan demokrasi dalam Umno, namun pastinya umum melihat betapa 'dahaganya' mereka untuk memperbaiki Umno mengikut selera yang dirasakan merekan sebagai sesuai.

Sementara tidak ketinggalan bekas Menteri Besar Perlis, Dato' Seri Shahidan Kassim dalam satu interbiu dengan TV3 menyatakan sokongan terbuka kepada Zahid Hamidi untuk
bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden Umno.

Shahidan yang dikenali sebagai antara yang lantang bersuara turut menawarkan diri untuk jawatan Naib Presiden Umno dan juga menyatakan kesediaan memastikan kemenangan Zahid yang dianggapnya paling layak dalam membawa perubahan di dalam Umno.

Namun pastinya ahli Umno tidak akan lupa dan curiga bahawa Zahid adalah antara rakan karib bekas Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang pada bila-bila masa boleh menukar haluan kepada ketua lamanya itu.

Seorang lagi yang dilihat mempunyai kekuatan ialah Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam yang setakat ini sudah buat pengumuman menawar diri untuk jawatan Timbalan Presiden Umno.

Mohd Ali antara yang digeruni kerana berjaya menundukkan lawan-lawan yang agak hebat ketika pemilihan jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan yang lalu.

Seorang lagi yang memang sudah pasti akan menawarkan diri untuk jawatan itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyidin Yassin.

Namun Muhyiddin yang dilihat menunggu signal daripada Abullah tetap masih memasang strategi bersama Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) untuk berganding bahu bagi menewaskan pakatan Najib-Abdullah sekiranya Abdullah mahu mengekalkan jawatan nombor satu parti.

Begitupun, ramai penganalisis politik yang menjangkakan Muhiyiddin adalah calon 'heavyweight' untuk jawatan itu buat masa ini dengan berbekalkan kedudukannya sebagai Naib Presiden paling senior.

Namun ada yang mengakui dalam keadaan politik yang penuh dengan serba kemungkinan perubahan angin boleh berlaku menjelang pemilihan parti pada bulan Mac tahun depan yang boleh memberi kelebihan kepada mana-mana calon.

Banyak faktor dikira akan menjadi perharian para perwakilan kelak.Apa yang dikatakan paling mempengaruhi suasana mestilah siapa yang kelak akan menjadi regu Dato' Seri Najib Tun Razak.

Paling menjadi sasaran mereka yang menawar diri jawatan nombor dua ialah, jawatan Timbalan Presiden Umno sebagai lesen untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya menjadi pengganti kepada Perdana Menteri dalam jangka masa tertentu.

Namun hakikat yang paling tidak boleh lari dari pemikiran perwakilan ialah, sejauh mana individu yang mereka pilih membantu kepada perubahan selepas Umno 'kelemasan' akibat pentadbiran kucar kacir Abdullah serta anak menantunya.

Apa-apa pun mata-mata politik kini pastinya masih menunggu signal Abdullah yang sukar ditafsir samada mahu kekal atau sebaliknya, dan jika Abdullah berkeras mahu kekal sebagai Presiden Umno sementara menanti Jun 2010, pastinya Umno akan terus bergolak dengan lebih dahsyat.

No comments: