Tuesday, September 23, 2008

Kegigihan Mak Andak, Hidayu (ISA) menyentuh perasaan

Wan Nordin Wan Yaacob

Semalam (23 September), penulis bersama rakan wartawan, Azamin Amin dan, Penyunting, M.Khaleel melangkah kaki ke

Simpang Durian, Jelebu, Negeri Sembilan, satu-satunya kampung dimana orang Melayu dahulu berkubu daripada ancaman komunis.

Jarak perjalanan dari Kuala Lumpur ke Simpang Durian mengambil masa kira-kira empat jam jika pemanduan sekitar 80 km.

Maklumlah perjalanan dalam musim perayaan ini memaksa penulis memperlahankan kenderaan, kurangkan memotong dan cukup berhati-hati ketika mahu mencelah.

Semalam juga Ops Sikap dilancarkan di seluruh negara yang mana polis dan JPJ ditugaskan mengawal seluruh trafik.

Misi kami ke Kampung Simpang Pertang untuk menyampaikan bantuan hari raya kepada seorang isteri tahanan ISA, Hidayu Kamaruzzaman yang mana suaminya, Mohammad Amir Mat Hanafiah ditahan pada 5 April 2007.

Hidayu kini tinggal dengan bapanya, Kamaruzzaman Mat Kilau yang hanya bekerja sebagai Penoreh Getah, sementara Hidayu terpaksa bekerja sebagai Guru Kafa dengan gaji hanya RM500 sebulan.

Setibanya kami di rumah Hidayu, tiga anaknya, Fathur Rahman Al-Ghazi; Uwais Al-Qarani dan Ubaidah Al-Harith menyambut kami dengan mesra malah seakan telah mengenali kami seperti bapa saudara mereka.

Bapa Hidayu (Kamaruzzaman) membuka pintu pagar rumah yang telah usang dengan memandang tepat ke arah muka kami sambil menghulurkan salam.

Pelukan erat
Menitis airmata penulis apabila melihat, anak sulong Hidayu, (Fatur Rahman) meluru ke arah penulis memeluk erat penulis bagaikan memeluk bapa sendiri.

Terpancar di wajah Fatur Rahman kerinduan yang amat sangat malah adik-adiknya turut mendakap penulis, seakan tidak mahu kami segera beredar.

Dalam pertemuan selama kira-kira setengah jam itu, sempat kami berkongsi pengalaman Hidayu, seorang isteri yang masih muda yang terpaksa menempuhi ranjau hidup sendirian tanpa suami di sisi.

Walaupun Hidayu rancak berbual dengan kami mengenai pengalamannya, namun dari sayu matanya, terpancar perasaan yang amat mendalam, kesengsaraan hidup dengan suami terpisah di tembok besi kejam binaan kerajaan.

Sebaris kata HIdayu yang tidak dapat penulis lupakan "Abang kata, tak mengapa sabarlah dengan dugaan, insyaAllah Allah akan membalasnya di akhirat".

Renungan sayu wajah Hidayu dan anak-anaknya sememangnya memberikan satu lagi pengalaman yang cukup sedih kepada penulis yang hanya mampu menukil kisah beliau hanya dalam tulisan.

Apakah perasaan sebenar Hidayu tatkala berhadapan dengan sengsara ciptaan ISA ini, hanya Hidayu dan anak-anak serta ayahnya yang telah tuan sahaja yang mengetahui.

Tidak redha

Sedetik tidak pernah Hidayu menyesali dugaan itu, tetapi di hatinya jelas terbayang betapa beliau tidak redha suaminya diperlakukan sedemikian tanpa perbicaraan di mahkamah untuk membuktikan kesalahan.

Sesungguhnya tuduhan terbabit dengan kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) menjadi alasan kerajaan untuk menahannya, namun sehingga kini Hidayu pelik mengapa tuduhan sahaja yang dilemparkan sedangkan proses pembuktian tidak pernah berlaku.

Hidayu pasrah dengan dugaan itu, namun hatinya sesekali tercuit dengan suara anak-anak yang meminta bertemu dengan Abi (Ayah) yang masih terpenjara di Kem Tahanan Kamunting.

Biarpun rakan-rakan sebaya dengan anak-anaknya kini cukup gembira menyambut Aidilfitri, namun ujar Hidayu, anak-anaknya lebih merindui Abi yang entah bila akan dibebaskan.

Hiba perasaan penulis tatkala Hidayu menyatakan anak sulongnya sukar untuk menjawab pertanyaan rakan-rakan di Tadika apabila rakan bertanyakan di mana ayah mereka.

Entah bilakah Fatur Rahman, Uwais dan Ubaidah akan dapat mendakap tubuh bapa mereka, hanya Allah yang tahu.

Sebelum pulang, penulis telah menyampaikan bantuan berupa wang Rm1000 untuk persiapan hari raya kepada Hidayu.

Namun terdetik di hati penulis, apalah sangat bantuan RM1000 berbanding berat resah dan hiba kerinduan Hidayu dan anak-anak terhadap Mohammad Amir yang hanya akan beraya di tirai besi.

Kisah ini hanya secebis kisah malang isteri-isteri tahanan ISA yang merana selepas suami mereka ditahan tanpa bicara, namun kisah ini tidak pernah menjadi pedoman kepada pemerintah untuk menghapuskan undang-undang rimba ini.

Sayang Mak Andak

Pulangnya kami menyusuri jalan Simpang Pertang melalui Kuala Pilah untuk ke Seremban dan Kuala Lumpur.

Dalam perjalanan pulang, penulis dan rakan sempat singgah sebentar di Madrasah Ittiba As-Sunnah, Jalan Seremban Lama di Kuala Pilah.

Hanya satu tujuan kami singgah di madrasah tersebut untuk menemui Mak Andak (Ibu Azamin) yang menjadi tenaga pengajar di madrasah tersebut sejak 18 tahun lalu.

Walaupun dalam usia 62 tahun, Mak Andak (Azizah binti Jasin) cukup menyantuni penulis, panggilan sayang kepada kami cukup menyentuh hati.

Jarang sekali dapat penulis rasa, perkenalan pertama dengan seseorang hingga menyemai kasih sayang yang cukup mendalam.

Mak Andak, walaupun saya bertemu hanya sekitar 2 jam, namun saya cukup dapat merasakan kasih sayang yang tidak luak dari Mak Andak.

Suara loghat utaranya masih basah dalam tekak, kegigihan Mak Andak duduk sendirian di madrasah tersebut cukup mengkagumkan.

Saya hati ketika mahu meninggalkan Mak Andak yang wajahnya cukup bersih, ikhlas dan jelas terpancar kasihnya.

Entah bila lagi dapat bertemu, Mak Andak hanya berkata 'InsyaAllah, sayang berdoalah banyak-banyak', hari ini pun kita bertemu kerana doa'.

1 comment:

al-brangi Online said...

nitis air mata saya. semoga allah memberkati tuan. orang2 yg teraniaya dan mak andak.

moga allah balas setimpal dgn perlakuan zalim org2 brtangunggjawab
memenjarakan org tanpa bukti kedalahan