Monday, October 20, 2008

Skandal Eurocopter, AMK buat laporan polis terhadap Najib



Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR, 20 Okt - Angkatan Muda KeADIlan (AMK) telah membuat satu laporan polis terhadap Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Abdul Razak berikutan dakwaan skandal pembelian Eurocopter semasa menjawat jawatan Menteri Pertahanan.

Menurut Timbalan Ketua AMK, Fariz Musa, laporan polis berkenaan dibuat selepas pendedahan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim di Parlimen baru-baru ini.

Laporan itu merujuk kepada surat rasmi yang dihantar syarikat pembida helikopter, Mentari Services, katanya.

Dalam surat tersebut syarikat berkenaan memberitahu bahawa kerajaan telah bersetuju membeli 10 unit Eurocopter yang lebih mahal daripada pembida lain yang menawarkan helikopter yang berkeupayaan yang sama pada nilai yang lebih murah dan menjimatkan.

Menurut Fariz Musa, Najib mengulangi 'perangai' buruknya sebelum ini dengan melibatkan diri di dalam skandal komisyen jet pejuang Sukhoi dan kapal selam Scorpene.

Kes ini sama dengan skandal komisyen jet pejuang Sukhoi dan kapal selam Scorpene, justeru AMK mahu ianya disiasat dan diambil tindakan, ujarnya ketika membuat laporan itu di IPD Dang Wang hari ini.

Pada 26 September lalu, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan kerajaan akan menggantikan angkatan helikopter Nuri kepada Eurocopter Cougar EC725 buatan Perancis.

Bagi tujuan tersebut, kerajaan memperuntukkan sekurang-kurangnya RM1.93 bilion untuk membeli 12 unit helikopter baru.

Harga tender yang ditawarkan Eurocopter bagi 10 helikopter itu adalah RM2.317 bilion dan adalah harga yang paling tinggi.

Mentari Services, melalui syarikat induk Kelowna Flightcraft menawarkan helikopter buatan Rusia Mi-172 KF pada harga RM898 juta, manakala syarikat pembuat Nuri, Sikorsky dari Amerika Syarikat, menawarkan helikopter alaf baru S-92 pada harga RM1.452 bilion.

Fariz yang hadir bersama dengan Timbalan Ketua AMK Terengganu, Muzafeq Muhammad menambah ,semua AMK setiap negeri akan membuat laporan polis di setiap negeri pada 22 Oktober ini bagi menuntut Calon Presiden Umno itu disiasat dan diambil tindakan.

No comments: