Tuesday, October 14, 2008

Kemenangan Khairy bakal kuatkan pembangkang, Hasan Malek bakal MB Negeri Sembilan yang baru?

Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR :Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shaharin mendakwa jika Khairy Jamaluddin menang bagi jawatan Ketua Pemuda Umno dalam pemilihan Mac 2009, ia akan menguatkan Pakatan Rakyat.

"Bagi saya dan aktivis muda khususnya di Rembau amat mengharapkan kemenangan Khairy dalam Umno ini kerana ini akan lebih menguatkan keADILan dan memudahkan kita menyerang terus Umno sehingga lumpuh," katanya dalam satu ulasannya mengenai pencalonan pertandingan dalam Pemuda Umno.

Untuk makluman, bahagian-bahagian Pemuda Umno telah mencalonkan Dato' Mukriz Mahathir; Khairy Jamaluddin; Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo dan Zahidi Zainul Abidin bagi jawatan Ketua Pemuda Umno.

Namun, hingga kini hanya Mukriz sahaja yang melepasi had bertanding dengan mendapat 40 pencalonan iaitu melepasi jumlah kelayakan minimum 39 pencalonan.

Manakala Khairy pula baru mendapat 19 pencalonan dan memerlukan 20 lagi untuk layak bertanding.

Hasan Malek bakal MB Negeri Sembilan yang baru?

Sementara itu Badrul Hisham memaklumkan, di Negeri Sembilan juga sudah menjadi cakap terbuka bahawa Ahli parlimen Kuala Pilah, Dato' Hassan Malek kononya bakal menjadi Menteri Besar jika Dato' Seri Najib Tun Razak berjaya menjadi Perdana Menteri.

Ada dakwaan menyatakan bahawa Hassan Malek adalah 'orang Najib' sementara Menteri Besar Negeri Sembilan yang ada kini, Dato' Mohamad Hassan pula 'orang Abdullah Ahmad Badawi', katanya.

"Saya cuma tertawa kalau inilah sifir Hassan Malek.Nampak politiknya taraf ketua cawangan sahaja.Ramai teman-teman Umno Negeri Sembilan khususnya pemuda dah mula nak dekat dan ada yang berani tawar diri nak masuk secara terbuka ke dalam KeADILan," katanya.

Bagi Badrul Hisham apa sahaja yang berlaku samada peralihan kuasa atau siapa sahaja menjadi Presiden Umno, Umno akan tetap menuju kehancuran.

Sementara itu sumber di Rembau menyatakan keputusan bapa mertua Khairy untuk tidak mempertahankan jawatan presiden Umno, dipercayai telah memberi kesan kepada pencalonan untuk menantunya bagi jawatan ketua Pemuda.

Abdullah juga mengumumkan minggu lalu untuk menyerahkan kuasa kepada timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Razak - dari 2010 kepada Mac tahun depan.

Berikutan itu, anak bekas Perdana Menteri Mukhriz kini mendahului pencalonan dan sudah layak bertanding jawatan ketua Pemuda.

Agak mengejutkan lagi, Mukhriz turut mendapat pencalonan dari Perak dan Negeri Sembilan yang memang diketahui menyokong kuat Khairy.

No comments: