Tuesday, October 7, 2008

Biar apapun keputusan Abdullah, Umno akan terus bergolak?

Wan Nordin Wan Yaacob

Awal bulan September hingga Oktober, rakyat dan ahli Umno disajikan dengan segala macam gelagat dalam isu pemilihan jawatan tertinggi Umno.

Dari jawatan peringkat Majlsi Tertinggi hinggalah sayap-sayap Umno, semunya menyaksikan perbalahan antara kelompok anak menantu dan gerakan perubahan.

Walaupun pemilihan telah ditangguh kepada Mac 2009, namun kegilaan pelbagai lapisan pemimpin mengadudomba selain membuat kejutan berhubung pemilihan memberikan satu lagi dampak 'kalut' dalam politik Umno.

Sementara Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pula masih terus berteka-teki mengenai kedudukannya yang diidamkan Najib Tun Razak.

Kelemahan Abdullah menyelesaikan 'birokrasi dalaman dirinya' menyebabkan pelbagai lapisan pemimpin Umno mula bertindak agresif menawarkan diri bertanding jawatan tertinggi parti walaupun berdasarkan warisan 'merit' dalam Umno mereka tidak layak untuk bertanding jawatan terbabit.

Paling mengejutkan Ahli Parlimen Pulai, Dato' Nur Jazlan Tan Sri Mohamad Rahmat sekonyong menawarkan diri bagi jawatan Timbalan Presiden Umno.

Beliau mengiringi Naib Presiden Umno Dato' Seri Mohd Ali Rustam dan MT Umno, Dato' Zahid Hamidi serta beberapa orang lagi yang 'mengintai' peluang menduduki jawatan nombor dua parti.


Senario itu antara lain mampu membuatkan Umno semakin parah dan terus berpecah yang mana jika diamati kalangan mereka yang menawarkan diri ada antaranya terdiri daripada golongan anti bekas Presiden, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mereka ini dianggap boleh memecahkan undi yang boleh dimiliki oleh calon senyap ' Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini mendapat perhatian Mahathir dan calon Presiden, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Sementara kegopohan Nur Jazlan untuk mendaki tangga secara 'pantas' dengan alasan orang muda boleh menarik sokongan semula akan hanya menyebabkan undi Muhyiddin di Johor 'sedikit' goyah.

Keghairahan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Taib pula untuk turut serta bertanding (jika Abdullah tidak berundur) akan memberi kesan kepada undi Umno di Selangor.

Abdullah pula dilihat sesetengah pemimpin bawahan cuba mengatur strategi baru untuk melumpuhkan usaha pihak tertentu menentang beliau jika pelan peralihan terus dijalankan.


Malangnya, hingga kini kemelut dalaman Umno ini hanya menjadi hidangan 'pembuka selera' sahaja kepada Abdullah sementara beliau terus meratah 'poket' wang negara melalui sanak saudaranya.

Jawatan-jawatan penting dalam GLC, kementerian tertentu dan pertubuhan tertentu semuanya kini sedang mula dicaturkan untuk diisi oleh proksinya sebagai langkah keselamatan jika berundur, beliau masih boleh meratah wang rakyat.

Namun ada yang melihat, biar apapun keputusan Presiden Umno, pastinya parti nasionalis itu akan terus bergolak kerana perebutan bukan hanya atas dasar jawatan, sebaliknya menguasai 'kekayaan' kantung negara.

No comments: