Wednesday, October 22, 2008

Kak Halimah 'perwira di medan derita'



Wan Nordin Wan Yaacob

Halimah Ishak, mungkin nama ini tidak pernah meniti dibibir menteri-menteri, wakil rakyat mahu pun kalangan mereka yang bergelar penguasa dan pemerintah.

Namun nama ini boleh lah dianugerahkan sebagai 'perwira di medan derita' tatkala terpaksa berhadapan dengan kesengsaraan yang mencengkam apabila suami tercinta kini meringkuk di Kem Tahanan Kamunting di bawah ISA masuk tahun yang ke tujuh.

Bukan mudah menjadi 'Halimah' isteri kepada Mohd Khider Khadran yang lebih mesra di panggil Kak Halimah yang kini terpaksa membesarkan anaknya hanya dengan menjual air soya.

Dahulu kehidupan Kak Halimah tidak separah ini ketika Khider menjadi kepala keluarga sepenuh masa dengan pekerjaan yang cukup hasilnya untuk menyediakan keperluan hidup lapan anak mereka.

Halimah kini tinggal di sebuah rumah kedai yang agak uzur dengan atap yang bocor dan ruang depan cuma dilengkapi perabot serba sederhana.

Penulis sempat berbalas sms dengan beliau pada 19 Oktober lalu bertanyakan khabar Kak Halimah yang khabarnya mula sakit-sakit sejak akhir-akhir ini.

Sebelum ini penulis mengunjungi beliau di rumahnya pada tahun lalu dan sehari sebelum hari raya Aidilfitri baru-baru ini untuk menghulurkan bantuan kepadanya.

Dari riak mukanya, Halimah sudah nampak lebih tabah berbanding beberapa tahun lalu kerana pengalaman tujuh tahun tanpa suami sesungguhnya memberi kekuatan kepadanya.

Namun apalah nasibnya hingga terpaksa menghadapi 'kemelut dalam diri' tatkala ibu-ibu seperti beliau membesarkan anak dengan bantuan suami, sedangkan beliau terpaksa memikulnya sendiri.

Begitupun, dalam keperitan yang payah ini Kak Halimah mampu membantu orang lain yang lebih susah darinya.

Beliau kini menjalankan usaha menjual dan menyediakan air soya dengan seorang ibu tunggal juga yang mana suami rakannya itu meninggal dan terpaksa menjaga tujuh orang anak.

"Dia pun orang susah juga, jadi kira akak tolong dia, dan dia tolong akak lah.Alhamdulillah.....dengan niat untuk membantu seorang, Allah buka peluang untuk kami untuk membantu seorang lagi pula," katanya.

Kak Halimah sebenarnya sri kandi yang berjaya menjadi panglima perang yang musuhnya bukan calangan orang, penguasa gila yang rakus dengan kuasa di tangan.

Meskipun suami tercinta nun jauh berada di Kem Tahanan Kamunting (Kemta) menikmati hidup di dalam tirai besi yang tak tahu bilakan dibebaskan, namun Halimah tetap menjalankan tanggungjawabnya tanpa keluh kesan.

Malah tanggungjawab menziarahi bapa mertuanya yang berada di Keratung 5, Pahang tidak pernah diabaikan sejak suami dipenjara tanpa pengadilan.

Walaupun tabah, namun terdetik di hati Kak Halimah bilakah lagi suami tercinta akan dipulangkan semula kepadanya untuk beliau mengecapi kebahagiaan yang dirampas akta zalim sejak tujuh tahun lalu.

2 comments:

al-brangi Online said...

Bila agaknya ISA berkubur sekali dengan pengasasnya

Unknown said...

bole wasap alamat kak halimah nie..urgent..