Monday, September 8, 2008

Usaha bentuk kerajaan Pakatan Rakyat, Anwar optimis

Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR, 8 Sept - Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim optimis bahawa Pakatan Rakyat akan dapat membentuk kerajaan baru bagi menggantikan kerajaan Umno-BN.

Ketika ditemui selepas mesyuarat Pakatan Rakyat di Pejabat KeADILan di Mercant Square pada 8 September lalu, Anwar menegaskan sekurang-kurangnya 40 ahli Parlimen BN akan menyertai kerajaan baru itu.

Turut serta dalam mesyuarat itu ialah, Naib Presiden PAS, Dato' Paduk Husam Musa; Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar; AJK PAS Pusat, Dr Zulkifly Ahmad dan Dr Syed Azman Syed Ahmad.

DAP pula diwakili, Penasihatnya, Lim Kit Siang; AJK DAP, Teresa Kok Suih Sim; Penasihat Seumur Hidup DAP, Chen Ma Hin dan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Loke Siew Fook.

KeADIlan pula disertai, Ketua Umumnya, Presiden parti, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan, Dr Syed Husin Ali; Naib Presiden, Azmin Ali dan
beberapa Ahli Majlis Tertinggi.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha itu tidak dijalankan dengan umpan wang atau kuasa, sebaliknya ia adalah berasaskan kepada kesedaran untuk memulihkan pentadbiran negara yang musnah kerana Umno-BN.

Secara mantiknya beliau menyatakan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri tertekan dengan perkembangan ini dengan mengeluarkan kenyataan bahawa usaha menubuhkan kerajaan baru oleh Pakatan Rakyat tidak akan berlaku.

"Perlu apa beliau (Abdullah) berkata demikian kalau beliau tidak tertekan, ini menunjukkan mereka kini dalam keadaan tertekan dengan perkembangan ini,"
ujarnya.

Katanya lagi, kerajaan yang bakal ditubuhkan ini bukanlah bergantung kepada tarikh yang disebutkan iaitu 16 September, tetapi ia sebagai satu permulaan yang mana usaha itu semakin hampir mencapai kejayaannya.

Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan baru yang bakal dibina ini tidak akan mengesampingkan soal Islam, malah mempertahankan hak Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Persoalan perbezaan antara PAS dan DAP seperti yang dimainkan media sebenarnya tidak timbul kerana masing-masing ada dasarnya yang perlu dihormati, ujarnya.

Beliau turut membayangkan bahawa usaha itu kini hanya menungu masa sahaja untuk diterjemahkan, cuma katanya lagi, pihak Umno-BN kini akan menggunakan segala kaedah untuk menghalang usaha Pakatan Rakyat.

Sementara itu Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musayang ditemui bersama Anwar selepas mesyuarat tersebut pula menyatakan bahawa PAS tidak terikat dengan mana-mana tarikh berhubung pembentukan kerajaan baru.

"Seperti kata Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz bahawa kita tidak terikat dengan tarikh 16 September, kerana mungkin ada halangan-halangan dari segi teknikal untuk menggagalkan capai tarikh tersebut, tetapi yang lebih penting ialah usaha itu sedang berjalan.

"Dan berdasarkan kepada keadaan hari ini adalah jelas mood rakyat di seluruh negara harapkan pembentukan kerajaan baru," katanya.

No comments: