Friday, August 15, 2008

Perak mahu hubungan Pakatan Rakyat dipereratkan

IPOH, 16 Ogos : PAS Perak mahu hubungan erat dalam Pakatan Rakyat sekarang terus dikekalkan bagi memastikan kerajaan negeri yang ada hari ini dipertahankan pada pilihan raya umum akan datang.

Perwakilan Perak, Sidi Ahmad berkata, Pakatan Rakyat yang digagaskan sejak pilihan raya umum 8 Mac lalu terus meniti kejayaan selepas 100 hari pentadbirannya.

"Ini menyebabkan Barisan Nasional (BN) yang menjadi pembangkang di Perak terus menawarkan sesuatu kepada PAS semata-mata mahu memecahkan pakatan yang sedia terjalin sekarang.

"Oleh itu kalau ada sedikit banyak masalah itu merupakan sesuatu yang biasa. Lagi pun Umno yang sudah lebih 50 tahun dalam Barisan Nasional masih berlaku pergolakan di antara mereka," katanya ketika menyokong usul ucapan dasar presiden, hari ini.

Menurutnya juga pihak lawan sentiasa mencari jalan bagi melemahkan kerajaan Pakatan Rakyat yang ada sekarang di Perak.

"Setelah Pakatan Rakyat berjaya menubuh kerajaan di Perak pelbagai serangan dilontarkan kepada kepada pimpinan Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau juga menyokong cadangan Presiden, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang supaya ditubuh Majlis Menteri Besar Pakatan Rakyat bagi melahirkan keputusan bersama untuk membangunkan negeri dan berkongsi sumber kekayaan.

Kata beliau majlis itu boleh menjadi kayu pengukur dan landasan bertindak bagi pemimpin Pakatan Rakyat sama ada yang memegang jawatan di peringkat negeri, kerajaan tempatan atau agensi.

Selain itu juga sebagai satu mekanisme kepada rundingan bersama parti dalam Pakatan Rakyat ke arah mewujudkan kestabilan.

Beliau juga berkata, PAS hendaklah mempertahankan prinsip Islam dalam hubungan bersama kompenan parti Pakatan Rakyat.

Usul itu kemudiannya disokong perwakilan PAS Pahang, Dr Hamzah Jaafar yang mahu sebarang urusan berkaitan dengan pengurusan parti diserahkan kepada pemimpin tertinggi.

Sehingga muktamar berhenti rehat jam 10.35 pagi tadi seramai lima perwakilan mengambil bahagian berbahas. Setiap mereka diperuntukan masa selama 10 minit.

Muktamar pagi ini masih dihadiri ramai perwakilan dan pemerhati biar pun pada masa yang sama berlangsung penamaan calon bagi pilihan raya kecil Permatang Pauh.

No comments: