Friday, August 15, 2008

'PAS Untuk Semua' jadi hala tuju perjuangan

Dipetik dari : Harakahdaily.net

IPOH, 15 Ogos (Hrkh) - 'PAS untuk semua' menjadi halatuju perjuangan PAS tahun ini apabila ia dijadikan inti ucapan dasar Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang pada muktamar tahun ini. Iklan



Muktamar kali ini sebenarnya diselimuti dengan suasana pilihan raya kecil Permatang Pauh yang bermula dengan penamaan calon esok.

Malah ia membayangkan kepada rentasi politik baru negara kepada sistem dwi parti yang merupakan lanskap baru politik negara ini.

Presiden memulakan ucapan dengan sayu dalam suasana PAS semakin gagah mengharungi politik negara selepas melalui pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lalu dengan penuh bergaya bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Lebih mengarukan lagi dengan kehadiran ramai tokoh gerakan Islam dari seluruh dunia termasuk Dr Amman Said dari Jordan, Dr Amir Hidayah mewakili Parti KeADILan Sejahtera Indonesia, Sri Lanka, Maldives dan Pakistan.

Kesemuanya meliputi seramai 25 tetamu dari luar negara yang memeriahkan lagi muktamar PAS yang dilangsungkan di Stadium Indera Mulia, hari ini.

Presiden berkata, muktamar PAS kali ke-54 diadakan di Perak sebagai satu penghormatan kepada tempat PAS memulakan langkah pertamanya dalam lipatan sejarah perjuangan PAS.

"Di negeri inilah tertubuhnya Hizbul Muslimin pada 1948 di Maahad Ihya As-Syarif, Gunung Semanggol.

"Di sini jugalah pada 1955 PAS mula mengenal erti demokrasi pilihan raya setelah wakil rakyat pertama iaitu Tuan Guru Ahmad Tuan Hussein yang bertanding memenangi Kerusi Majlis Undangan Persekutuan Krian.

"Di Perak jugalah Dewan Ulamak PAS ditubuhkan secara rasmi di Batu 20, Bagan Datoh pada 1957," katanya pada ucapan dasar.

Beliau berkata, sejak bermula 57 tahun lalu PAS masih utuh dan teguh, walaupun berhadapan dengan pelbagai jenis cabaran dan tribulasi yang sentiasa mendatang.

Katanya, PAS tidak pernah mengalah untuk terus berjuang menerusi lunas demokrasi yang ada dalam negara walaupun dikepung dari pelbagai sudut menerusi akta-akta yang zalim.

"Marilah kita memperteguh dan memacu jamaah kita berhadapan dengan pelbagai jenis cabaran yang akan sentiasa ada di hadapan kita.

"Kita juga sama-sama mengikhlaskan niat dan amal perbuatan kita semata- mata kerana Allah untuk melaksanakan tugas dan amanah yang amat berat di muka bumi ini," katanya.

Beliau juga berkata, tema PAS Untuk Semua berteraskan kepada keyakinan yang tinggi bahawa perjuangan kita merupakan suatu amanah untuk memakmurkan alam ini.

Katanya, perjuangan PAS adalah bersifat universal untuk seluruh umat manusia membawa keadilan sejagat, sebagaimana yang termaktub dalam Bab Ketiga, Fasal 6, Perkara (8), (9) dan (10), Perlembagaan PAS.

Antara usaha-usaha PAS kata beliau memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam.

Selain itu memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian kaum.

"Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan-badan lain bagi mengekalkan keamanan dan menjamin hak-hak asasi manusia serta manghapuskan segala macam kezaliman, kepalsuan dan perhambaan," katanya.

No comments: