Friday, August 15, 2008

Ezam jangan hanyut dalam arus deras 'kerajaan tiga beranak'

Sejak laporan mengenai tindakan bekas Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Ezam Mohd Noor menyertai semula Umno, telefon bimbit saya tidak sunyi dari panggilan dan sms rakan-rakan yang bertanyakan sebab Ezam menyertai parti lamanya. Iklan



Ramai yang menyatakan bahawa mereka terperanjat dengan laporan tersebut kerana bagi mereka Ezam adalah antara Ketua AMK yang paling lantang mengkritik kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi.

Ini termasuk membuat laporan terhadap Abdullah dan anak-anaknya kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengenai pengagihan kontrak kerajaan sekitar akhir tahun 2006 yang mengejutkan ramai pihak.

Ramai juga yang tidak menyangka Ezam yang dahulunya dihujani dengan pelbagai tindakan ke atasnya oleh kerajaan Umno/BN sewaktu membela nasib, Dato' Seri Anwar Ibrahim kini menyertai kerajaan yang menganiayanya suatu ketika dahulu.

Selepas menerima sms demi sms dan panggilan demi panggilan dari rakan-rakan yang bertanyakan mengenai Ezam, saya mula mengirimkan sms kepada Ezam dan rakan karibnya, Abdul Ghani Haroon bertanyakan status Ezam.

Ghani ketika mula membalas sms saya hanya menyatakan 'tunggu' penjelasan Ezam mengenai kemasukan semula ke dalam Umno.

Saya mengirimkan sms kepada Ghani kerana beliau adalah orang yang paling hampir dengan Ezam selain Badrul Hisham Shaharin dan sanak saudara Ezam.

Hari berikutnya (sehari selepas Ezam masuk Umno) saya ikuti lagi perkembangannya, dan laporan dalam Buletin Utama TV3 mendedahkan Ezam menyertai Umno kerana merasakan kini beliau berada pada landasan yang betul untuk terus berjuang.

Namun sms tidak putus-putus mengunjungi telefon bimbit saya hingga lemas percutian saya bersama keluarga tatkala berada rumah dan di rumah sanak saudara.

Kisah seorang ayah

Paling kecewa dengan keputusan Ezam menyertai semula Umno ialah ayah saya (Wan Yaacob) yang dahulunya cukup meminati ceramah-ceramah Ezam termasuk pernah menganjurkan ceramah di markas berhampiran rumahnya dan menjadikan rumahnya sebagai rumah tempat tetamu kehormat termasuk Ezam menjamu selera.

Ketika menonton laporan dalam Buletin Utama berhubung kenyataan media Ezam, ayah saya dengan spontan menyebut 'apa lah dulu kata lain sekarang dah kata lain, ini orang yang tak ada prinsip'.

Namun saya melegakan kemarahan ayah saya dengan berkata ' mungkin Ezam ada agendanya yang tersendiri'.

Begitupun bapa saya membalas selamba 'apa yang nak diperjuangkan kalau kita dah tahu parti yang kita sertai itu sendiri penuh dengan rasuah, penyelewengan, kronisme dan menipu rakyat'.

Terdetus di hati saya dengan kata-kata bapa saya seorang ahli PAS seumur hidup yang cukup cekal dengan perjuangan PAS sejak muda lagi.

Ayah penulis adalah antara penduduk terawal yang menjadi pendokong utama PAS di kawasannya bersama teman-teman seperjuangannya antaranya Ahmad Reduan Ashaari dan Allahyarham Ali Ashaari.

Perjuangannya tidak pernah luntur malah semakin membara walaupun usianya kini sudah menjelang senja.Tiap kali ada ceramah di Seremban, Johol, Batu Kikir, Jempol, Rembau mahupun Tampin, beliau tetap akan pergi.

Jika dalam keadaan uzur sekalipun jiwanya tetap meronta mahu mendengar ceramah apatah lagi jika penceramah 'favourite' nya yang berceramah.

Antara penceramah yang diminati termasuklah Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar dan tidak ketinggalan Ezam Mohd Noor yang kini telahpun menyertai Umno.

Bertanyakan Ezam

Semasa pilihan raya umum lalu, ayah berada dalam keadaan yang sangat tidak mengizinkan beliau untuk bergerak ke sana ke mari mendengar ceramah mahupun berkempen bersama teman-temannya kerana keuzurannya.

Beberapa kali beliau menelefon penulis bertanyakan tentang jadual-jadual ceramah PAS dan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) sekitar Negeri Sembilan.

Namun ayah tidak pernah lupa bertanyakan sama ada Ezam ada berceramah atau tidak untuk pilihan raya umum ke-12.

Penulis hanya mampu menyatakan kepada ayah bahawa Ezam ketika itu bukanlah pemimpin KeADILan atau mana-mana parti politik sebaliknya memimpin Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) satu badan yang menjalankan agenda menggempur rasuah.

Ayah cukup memberi penghargaan kepada Ezam apabila Gerak dalam satu laporan Harakah menganugerahkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar paling bersih.

Katanya, jika Ezam tak berceramah sekalipun tak mengapa, tetapi memberi sumbangan sedemikian sudah cukup memadai bagi membantu perjuangan rakyat menggempur kezaliman Umno/BN selama ini.

Secebis kisah

Demikian kisah ayah penulis yang cukup prihatin ke atas sebarang perkembangan Ezam.Namun mungkin ini secebis kisah (kisah bapa penulis) dari seorang peminat Ezam yang tidak membawa kesan kepada tindakan Ezam menyertai semula Umno.

Ramai lagi di luar sana yang sebenarnya meminati ceramah-ceramah yang disampaikan Ezam sebelum ini yang cukup lantang dan bermaklumat mengenai kepincangan urustadbir negara.

Apakan daya Ezam kini berada dalam parti yang peranh dikritiknya dahulu yang mengamalkan dasar kronisme, yang melahirkan kepimpinan 'kerajaan tiga beranak' dan yang memperbodohkan rakyat dengan cabaran 'saya pantang dicabar'.

Persoalannya mampukan Ezam yang katanya dalam sms kepada penulis pada 29 Mei lalu antaranya berbunyi "matlamat akhirnya adalah untuk perjuangan ummah" terus menelan arus deras 'kerajaan tiga beranak' yang terus diungguli menantu Presiden Umno, Khairy Jamaluddin?Renungkanlah.

No comments: