Friday, August 15, 2008

Anwar akui PAS mahu PM yang boleh laksanakan Islam

Dari : Harakahdaily.net

IPOH, 15 Ogos (Hrkh) - PAS akan menerima sesiapa sahaja sebagai Perdana Menteri asalkan calon tersebut melaksanakan Islam, demikian ujar Penasihat KeADILan, Dato Seri Anwar Ibrahim. Iklan



Tegasnya, beliau menghormati pendirian yang dibuat oleh parti Islam itu dalam usaha Pakatan Rakyat menyelesaikan isu pelantikan Perdana Menteri selepas kerajaan BN ditumbangkan.

"Mereka (PAS) akan menamakan sesiapa sahaja yang dilantik sebagai Perdana Menteri asalkan dia melaksanakan Islam," katanya ketika ditemui media hari ini.

Tambahnya, beliau telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin PAS bagi membincangkan beberapa perkara khususnya berkaitan pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai ucapan Dasar Presiden PAS, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PAS atas sokongan yang diberikan kepadanya dalam pilihan raya kecil itu nanti.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Ustaz Hadi atas penegasan mengenai arahan yang diberikan kepada ahli-ahli PAS dalam ucapan dasarnya hari ini.

"Ia adalah penting bagi Pakatan Rakyat ke arah perundingan yang lebih matang," ujarnya.

Tambahnya, beliau yakin bahawa PAS akan memberikan sokongan penuh kepadanya untuk menghadapi pilihan raya kecil itu nanti.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut menyatakan pihaknya telah melakukan persiapan yang lengkap bagi menghadapi hari penamaan esok, 16 Ogos.

Namun beliau tetap yakin pihak Umno-BN akan menggunakan segala apa yang mereka ada bagi memenangi pilihan raya di Permatang Pauh.

"Kita yakin bahawa BN akan menabur wang yang banyak nanti," katanya lagi.

Anwar beserta isterinya, Dato' Seri Dr wan Azizah adalah antara tetamu khas yang hadir ke Muktamar Tahunan PAS ke-54 di Dewan Indera Mulia, Ipoh Perak.

No comments: