Friday, August 15, 2008

Cari kawan dalam musuh, buang musuh cari kawan - Pemuda PAS

Harakahdaily.net

IPOH, 16 Ogos (Hrkh) - Perwakilan daripada Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi menyarankan agar PAS menggunakan pendekatan 'cari kawan dalam musuh dan buang musuh dalam kawan' bagi memantapkan agenda perpaduan parti. Iklan



Beliau berkata demikian ketika ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden PAS pada pembukaan sidang muktamar pada kali ini. "Suasana perpaduan kini perlu diperluaskan sekalipun terpaksa merempuh benteng musuh.

Pendekatan 'cari kawan dalam musuh dan buang musuh dalam kawan' perlu digunakan," ujar Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat itu. Bahkan beliau mengharapkan agar seluruh ahli memberikan kepercayaan kepada kepimpinan parti untuk membentuk muzakarah atau muqabalah dengan mana-mana pihak

"Dalam suasana kemenangan ini, kita perlu memberikan tsiqah atau kepercayaan kepada pimpinan dalam bentuk muzakarah atau muqabalah kerana kita mahu kemenangan ini harus berpaksi kepada Islam bagi mengatasi ideologi ciptaan manusia,"katanya.

Beliau turut menyatakan sokongan kepada penegasan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa kemenangan yang tidak diisi dengan Islam tidak mempunyai sebarang makna.

Nasrudin juga memohon kepada semua ahli khususnya perwakilan agar tidak merosakkan ukhuwah jamaah setelah timbul kepelbagaian pandangan apabila sesuatu isu melanda.

"Dewan Pemuda PAS memohon sungguh-sungguh agar kita berbeza dalam mana- mana isu sehingga tidak merosakkan ukhuwah. "Marilah kita berbahas atas semangat kasih dan sayang kerana sayangkan jamaah ini," katanya.

Beliau turut memberi penekanan terhadap Revolusi Tarbiyah kedua khususnya dalam konsep as-sam'u wat tho'ah yakni dengar dan taat.

Selain itu, Nasrudin turut mengumumkan bahawa Pemuda PAS Pusat akan menubuhkan Institusi Syarahan Perdana Fadzil Noor sebagai usaha menyuntik budaya intelektual pada setiap pemuda.

"Ia sekaligus berupaya untuk melahirkan individu yang mampu mengolah dan menjawab pelbagai isu semasa dengan berpandukan hujah dan nas yang berkesan dan bijaksana," katanya lagi.

Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-54 diteruskan pada hari kedua pagi ini pada agenda perbahasan ucapan dasar presiden. Ia merupakan hari kedua selepas pembukaannya semalam, 15 Ogos oleh Presiden PAS.

No comments: