Monday, August 27, 2012

Kenyataan Tun Mahathir cepatkan kejatuhan Umno


Analisis oleh WAN NORDIN WAN YAACOB

Bukan sekali mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad membuat kenyataan yang agak mengecutkan Umno-BN berdepan sebarang kemungkinan perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Terkini, bekas Presiden Umno itu dalam blognya dan beberapa portal lain menyebut kononnya peralihan kuasa kerajaan pusat adalah sebesar-besar bahaya.Lebih menghairankan, Mahathir seolah-olah sudah mula meroyan dan tidak segan menyatakan "Lebih baik syaitan yang anda kenali dari
malaikat yang anda tidak kenal".

Pada penafsiran biasa, rakyat akan melihat bahawa syaitan yang dimaksudkan Mahathir mungkin sekali adalah BN kerana pada frasa ayatnya jelas menyatakan bahawa lebih baik memilih syaitan yang anda
kenal daripada malaikat yang anda tidak kenal.

Rakyat tidak merasakan ia suatu yang sangat pelik kerana Mahathir juga pernah menyebut Umno itu busuk hingga ke ususnya.Begitupun, perkembangan itu membawa kegusaran kepada Umno-BN.

Malah, Mahathir juga kini terdedah 'kulat-kulat' kronismenya yang diamalkan dizaman beliau yang membelenggu sistem pemerintahan hari ini.

Namun, Mahathir sentiasa bongkak dan hanya menyalahkan penggantinya, Tun Abdullah Abhmad Badawi kononnya zaman pemerintahan Ahli Parlimen Kepala Batas itu sebagai pemusnah kepada keyakinan rakyat terhadap BN khasnya Umno.

Bekas Perdana Menteri yang pernah menerajui negara selama 22 tahun itu tidak perasan akan kenyataan beliau itu juga penanda bahawa beliau akur dan mengakui trend sokongan rakyat tidak mampu
dibendung lagi.

Keresahan Umno-BN melalui 'old-timer' mereka ini menggambarkan keresahan seluruh koloni Umno-BN yang mana kapal mereka kini semakin berat dan akan tenggelam bila-bila masa sahaja. Telahan Mahathir ini ada benarnya kerana melihat kepada usaha rakyat yang meneruskan fasa kebangkitan tsunami 2008 yang menyaksikan empat buah negeri BN tumbang pada PRU-12.

Malah, kemaraan rakyat tidak mampu dibendung dengan 'gula-gula' Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), bonus kakitangan awam dan segala jenis bantuan rakyat atau program turun padang babitkan Najib dan
kabinetnya.
Ramai yang melihat bahawa keresahan Umno-BN ini bukan kerana bimbang akan masa depan generasi akan datang, namun mereka resah jika kes-kes penyelewengan, skandal dan segala jenis kronisme akan
dibongkar lagi selepas mereka hilang kuasa.

Lebih-lebih lagi Mahathir kini terpaksa menelan malu kerana terdedahnya isu kaitan pembekal minyak kepada MAS yang dikaitkan dengan syarikat Petron-San Miguel yang sahamnya dimiliki Mirzan
Mahathir.

Mahathir juga resah dengan kebangkitan rakyat di Sabah dan Sarawak dalam beberapa bulan kebelakangan ini setelah beberapa tokoh besar seperti bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,
Dato' Seri Lajim Ukim dan Ahli Parlimen Tawau, Wilfred Bumburing yang keluar BN dan menyokong Pakatan Rakyat.

Malah terdahulu, bekas orang kuat PBB di Sarawak suatu ketika dahulu, Dato' Salleh Jaafarudin telah menyertai PAS dan menyerahkan borang kepada Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
menambah keresahan Umno.

Umum mengetahui, Sabah dan Sarawak adalah simpanan tetap BN yang berjaya mengekalkan BN berkuasa terus pada pilihan raya umum yang lalu meskipun hakikatnya BN tewas di Semenanjung.

Situasi inilah yang menjadikan Mahathir semakin resah dan gelisah apakah usia tuanya nanti akan tersembam di tirai besi setelah semua kes-kes yang berlaku dizamannya berkuasa akan didedahkan.Maka terkeluarkan kenyataan berbaur ugutan dan cubaan menakutkan pengundi datang dari mulut seorang yang bernama Mahathir.

Bak kata Pegarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Riduan, mungkin Mahathir terlupabahawa limakerajaan negeri telah berubah pada Mac 2008 dengan peralihan kuasa kerajaan negeri ini berlaku dengan aman, tiada kucar-kacir.

Jika ada pun kucar-kacir, ia hanya berlaku pada malam kemenangan Barisan Rakyat (Kini Pakatan Rakyat) di mana staf kerajaan negeri yang tiba-tiba bertugas pada malam tersebut bertungkus lumus melupuskan dokumen 'rahsia' ke dalam mesin 'shredder'.

Tidak cukup dengan itu, dokumen yang telah terkirai itu dibakar pula bagi menghilangkan 'bukti' dan bagi Edy Noor kejadian seumpama ini mungkin berlaku pada malam pengiraan undi PRU-13 dengan lebih panik
kucar-kacirnya di Putrajaya sekiranya BN tumbang.

Bak kata Edy Noor, nyata sekali kenyataan Mahathir kononnya bahaya menukar kerajaan pusat adalah umpama ugutan dari 'ular sawa lumpuh kekenyangan' yang dihimpit usia dan tidak perlu ditakuti oleh rakyat
yang kian celik membuat perhitungan.

Rakyat sudah semakin celik dan dicelikkan lagi dengan keangkuhan Umno-BN mempertahan sistem rasuah, penyelewengan dan kronisme  yang berpanjangan.

Tidak salah jika analisis bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir bahawa Umno-BN akan kalah dalam PRU-13 boleh sahaja menjadi tepat kerana bunga-bunga kejatuhan sudah mula berserakan.

No comments: