Monday, July 9, 2012

Umno-BN Johor di ambang kejatuhan!


ANALISIS
Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB

Johor disebut-sebut antara negeri yang 'bolah sahaja' jatuh ke tangan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) yang bakal diadakan paling lewat sebelum April 2013.


Mengapa Johor boleh jatuh ke tangan Pakatan Rakyat?Faktor paling besar yang boleh sahaja menjadi penyebab Umno-BN di sana boleh tersungkur ialah komposisi Dun yang memiliki pengundi yang
'marginal' (campuran) adalah faktor terbesar yang boleh menyumbang ke arah itu.



Johor memiliki lebih 60 peratus kawasan Dun yang bersifat marginal pengundinya dimana antara 30 ke 40 peratus pengundi bukan Melayu dan selebihnya antara 50 ke 60 peratus Melayu.



Melihat kepada perkembangan sokongan semasa bukan Melayu terhadap Pakatan Rakyat, Johor merupakan negeri yang agak kritikal kepada Umno-BN.



Meskipun beberapa pemimpin Umno Johor dan pusat menafikan andaian itu, namun mereka tidak boleh terlepas daripada hakikat sokongan rakyat yang mula teralih kepada parti-parti dalam Pakatan Rakyat.



Paling dibimbangi Umno-BN ialah kawasan-kawasan Dun dan Parlimen di Bandar serta pinggir bandar seperti Johor Bahru, Pasir Gudang, Gelang Patah, Pulai, Bakri, Segamat dan Kluang yang memiliki
peratusan pengundi Cina yang tinggi khasnya.



Sebagai contoh di Parlimen Pulai yang dimenangi Dato' Nur Jazlan Mohammad (anak kepada bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Mohammad Rahmat), peratuskan pengundi Cinanya melebihi 40 peratus, boleh sahaja menyumbang kepada kejatuhan BN.

Meskipun pada pilihan raya umum 2008 lalu, Johor masih menjadi 'kubu kuat Umno', dengan pergerakan undi kaum cina hanya sekitar 40 ke 45 peratus keseluruhannnya, namun kini 'mood' sokongan sudah berbeza.

Seperti kata Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kayat, ketika PRU 2008, pengundi Cina di Johor masih lagi berhati-hati dan tidak terlalu menzahirkan kemarahan mereka terhadap Umno-BN.

Pada PRU 2008, pembangkang hanya menang satu kerusi Parlimen di Bakri melalui Er Teck Hwa, kerana pergerakan undi Cina yang kurang memberansangkan.

Sementara PAS menang di dua kerusi Dun iaitu di Maharani dan Sungai Abong selain DAP di 4 kerusi iaitu Bentayan, Mengkibol, Skudai, Senai.

Bagi pilihan raya umum ke 13, mood pengundi Cina di Johor tidak lagi sama seperti pilihan raya 2008.

Mood itu beralih kerana sikap rasis Umno-BN dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mirip kepada Umno-BN seperti Perkasa dan Jati.

Di seluruh Malaysia, fenomena kemarahan orang Cina terhadap Umno ini disedari rakyat, malah kepimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak yang mencanangkan liberalismepun gagal untuk mengekang kemarahan
pengundi Cina.

Pengundi India pula tidak banyak berubah,Pada PRU-12, sokongan kaum India kepada pembangkang agak tinggi, meskipun sekitar tahun 2010 hingga 2011 mula beralih semula kepada Umno-MIC, namun kata
Suhaizan situasi terkini memperlihatkan pengundi India masih bernisbah 50-50.


Ia belum ditambah lagi dengan perpecahan yang sedang berlaku di beberapa bahagian Umno di Johor selain kemelut Pemuda Umno Johor mengenai ketidakpercayaan terhadap Ketua Pemudanya.



Hanya orang Melayu menjadi harapan Umno di Johor dengan sokongannya juga sukar untuk diagak mana-mana pihak samada Pakatan rakyat mahupun BN.

Namun begitu, terdapat perubahan orang Melayu terutama di kalangan generasi muda dan pengundi Bandar dan kemenangan PAS di Sungai Abong dan Maharani adalah bukti orang Melayu berubah.

Purata undi Melayu kepada PR masih di antara 10 hingga 35 peratus, dan kata Suhaizan ianya dijangka meningkat menjelang PRU-13 kepada 40 peratus.

Mungkin telahan Pengerusi Pusat Khidmat Rakyat Zon Permas, Syed Osman Syed Abdullah boleh menjadi indikator bahawa Johor mampu melakar perubahan dimana sokongan pengundi Cina kepada PR hari ini
boleh berada pada tahap 80 peratus khususnya di kawasan bandar.

Bagi kawasan yang ditandingi beliau pada PRU-12 sebelum ini, Dun Permas, Syed Osman hanya kalah sekitar tidak sampai 3000 undi tatkala sokongan pengundi Cina hanya pada 30 peratus pada ketika
itu.

Sekiranya melihat kepada mood sekarang, Syed Osman mungkin sahaja boleh menang di Permas jika dipilih PAS untuk mewakili parti dalam PRU-13 kerana pengundi Cina mula menunjukkan sokongan yang meningkat mendadak.


Bagi kerusi DUN , Umno-BN cukup berada di dalam kedudukan bahaya di kira-kira 30 kerusi DUN dan 10 kerusi Parlimen yang mengandungi pengundi Melayu di bawah 50 peratus.

Jika tsunami deras melanda Johor pada PRU-13, pastinya sudah banyak membantu PR menuju Nusajaya (pusat pentadbiran Kerajaan Negeri Johor) dan menambah kekuatan untuk ke Putrajaya.









No comments: