Wednesday, February 29, 2012

Ucapan Sayyid Ali Khamenei: Persidangan Antarabangsa Pemuda Dan Kebangkitan Islam

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Saya ucapkan selamat datang kepada kesemua para tetamu kehormat kami, para belia, yang menjadi pemangkin kepada masa depan yang gemilang buat umat Islam. Setiap daripada kamu adalah lambang kepada kenikmatan hidup yang berkekalan. Apabila para belia bangkit di sesebuah negara, maka harapan kepada kebangkitan secara menyeluruh di negara itu akan meningkat. Pada hari ini, belia-belia dikalangan kita telah bangkit di seluruh dunia Islam. Terdapat begitu banyak jerat yang menanti di hadapan mereka, namun belia-belia Islam yang beriman dan punya kesungguhan yang luar biasa ini telah berjaya melepasi segala halangan tersebut.Lihatlah sendiri kepada apa yang berlaku di Tunisia, Mesir, Libya, Yemen dan Bahrain serta pergerakan yang telah mula menapak di negara-negara Islam yang lain. Jelas sekali segalanya ini adalah lambang kepada kegemilangan yang bakal dikecapi.

Apa yang ingin saya sampaikan kepada kamu, wahai anak-anakku, adalah kamu seharusnya tahu bahawa sejarah dunia dan juga sejarah kemanusiaan sudah sampai ke titik perubahan. Ini adalah permulaan kepada sebuah era baru di seluruh dunia. Sebuah tanda yang besar dan jelas kepada era ini adalah kepekaan kepada Yang Maha Esa serta memohon kepada sumber kuasaNYA yang tidak terbatas dan kebergantungan kepada kalimah-kalimahNYA yang suci.


Minda manusia sudah melangkaui pemikiran dan ideologi yang berasaskan semata-mata kepada materialistik. Hari ini, Marxisme sudah tiada daya tarikannya, begitu juga demokrasi liberal ciptaan barat, lihatlah sendiri apa yang sedang berlaku di negara-negara kelahiran demokrasi liberal ala barat ini, di Amerika dan Eropah, mereka telah menjadi punca kepada kejatuhan mereka sendiri, begitu juga dengan figur-figur sekular nasionalis yang tidak lagi menjadi tarikan.

Hari ini, tarikan yang paling tinggi dikalangan umat Islam adalah agama Islam itu sendiri, iaitu kepada kitab suci Al-Quran, kepada agama Ilahi kerana Allah telah menjanjikan bahawa Islam dan kalimah-kalimahnya yang suci mampu membimbing manusia ke arah kesejahteraan. Apa yang berlaku kini adalah sebuah fenomena yang amat penting dan bermakna.


Di negara-negara Islam pada hari ini, warganya telah bangkit menentang diktator-diktator boneka barat, yang menjadi lambang kepada kebangkitan ke atas pemerintahan diktator global di peringkat antarabangsa iaitu rangkaian pemerintahan daripada rejim Zionis dan kuasa-kuasa bongkak yang zalim dan tidak amanah.


Dewasa ini, mereka telah memaksakan sistem diktator mereka ke atas seluruh dunia melalui berbagai cara dan kaedah. Apa yang sedang kamu lakukan di Mesir, Tunisia, Libya, Yemen dan Bahrain, motif-motifnya semakin jelas terserlah di negara-negara lain. Ia adalah suatu perjuangan menentang pemerintahan diktator yang merbahaya dan juga memudharatkan yang telah menjadi punca kepada berbagai kesengsaraan manusia sejak dua kurun yang terakhir ini. Detik bersejarah yang saya sebutkan ini, adalah titik perubahan daripada dominasi kuasa diktator kepada kebebasan negara-negara berasaskan kepada nilai-nilai pemerintahan berbentuk spiritual dan Ilahiyyah yang pasti akan menjelang tiba, janganlah sesekali ragu terhadapnya.


Ini adalah antara janji Allah bahawa “Allah akan membantu sesiapa sahaja yang membantuNYA.” Allah swt ingin menekankan bahawa jika kamu membantu di dalam kerja-kerja agamanya, maka Allah juga akan membantu kamu. Perkara ini mungkin agak mustahil di dalam kaedah pemikiran bersifat biasa dan materialistik. Walaubagaimanapun, banyak perkara yang kelihatan mustahil, namun kini menjadi kenyataan. Pernahkah terlintas di pemikiran kamu setahun yang lalu, bahawa si zalim yang memerintah di Mesir akan diaibkan serta dijatuhkan sedemikian rupa ?


Jika ada sesiapa pada waktu itu yang menyatakan bahawa rejim Mubarak yang zalim akan runtuh, kamu pasti meraguinya, namun ia telah benar-benar berlaku. Jika ada sesiapa yang mendakwa bahawa kejadian-kejadian yang pelik akan berlaku di Afrika Utara, maka pasti ramai akan meraguinya.


Jika ada sesiapa yang mengatakan bahawa di dalam sebuah negara kecil seperti Lebanon, sekumpulan pemuda beriman akan mengalahkan rejim Zionis dan juga tenteranya yang lengkap dengan senjata moden, tiada siapa akan mempercayainya, namun ia telahpun menjadi kenyataan.


Jika ada sesiapa yang mengatakan bahawa Republik Islam ini akan mampu bertahan menghadapi segala bentuk tekanan daripada timur ke barat dan malah mampu untuk menjadi lebih kuat, progresif dan berdaya maju, tiada sesiapapun yang akan mempercayainya, namun ia telah benar-benar berlaku.”Allah telah menjanjikan kamu berbagai bentuk ganjaran yang mampu diperolehi, dan DIA telah mengurniakannya kepada kamu sebelum ini, dan DIA telah mencegah tangan-tangan manusia daripada kamu, agar ia menjadi tanda kepada orang yang beriman, dan agar DIA membimbing kamu ke jalan yang benar.”


Kejayaan-kejayaan ini adalah suatu tanda Ilahiyah, ini adalah tandanya kekuasaan Allah yang tiada tolok bandingannya, yang sedang ditunjukkan kepada kita semua. Sebaik sahaja kita masuk ke medan perjuangan, medan perjuangan yang telah kita jejaki pada waktu ini, maka kejayaan akan pasti datang daripada Allah. Allah swt akan tunjukkan jalannya kepada kita. “Dan sesiapa yang berjuang di jalan KAMI, maka KAMI akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan KAMI.” Allah membimbing, membantu dan juga merealisasikan impian-impian manusia dengan syarat kita sentiasa hadir di medan perjuangan tersebut.


Apa yang telah berlaku sehingga hari ini adalah sangat menakjubkan. Barat telah mendominasi umat-umat Islam selama dua ratus tahun melalui kemajuan saintifik mereka, mereka menjajah negara-negara Islam, samada secara jelas atau melalui diktator tempatan. Britain dan Peranchis dan juga sudah pasti Amerika Syarikat, yang merupakan syaitan besar, telah mendominasi umat-umat Islam. Mereka melakukan segala yang termampu untuk mengaibkan masyarakat Islam, mereka menanam sebuah ketumbuhan kanser Zionisme di tengah-tengah rantau Timur Tengah, sebuah rantau yang amat sensitif, dan memberikan bantuan sepenuhnya demi memastikan segala matlamat dan polisi mereka akan tercapai di bahagian dunia yang amat penting ini. Walaubagaimanapun, aspirasi yang berteraskan kepada agama dan kepada Islam dan kehadiran masyarakat manusia di medan perjuangan telah merentap segala matlamat durjana tersebut, mereka telah berjaya menyekat kemaraannya.


Hari ini, kuasa global yang bongkak merasa tertekan di hadapan kebangkitan Islam ini. Anda telah berjaya, anda telah menang, masa depan bakal menjadi milik anda. Apa yang telah dilakukan setakat ini adalah sangat baik, namun ia masih belum sampai ke penghujungnya, dan ini adalah amat penting, ini adalah hanya permulaannya, ia baru sahaja bermula.Masyarakat Islam perlu meneruskan perjuangan mereka agar mereka akan mampu memusnahkan pihak musuh di arena yang berbeza.

Perjuangan ini adalah berlandaskan kepada aspirasi, kesungguhan dan kemahuan. Mana-mana pihak yang punya kesungguhan yang lebih teguh , akan menang. Pihak itu, yang hati-hati mereka bersandar sepenuhnya kepada Yang Maha Esa, akan mencapai kemenangan. “Jika Allah membantu kamu, maka tiada sesiapa yang mampu menewaskan kamu.” Jika kamu mendapat anugerah bantuan daripada Allah, tiada siapa yang akan menang ke atas kamu dan kamu akan terus mara. Kami mahukan negara-negara Islam yang membentuk masyarakat Islam yang besar untuk menjadi bebas, merdeka, dihormati dan tidak diaibkan, kami mahu agar mereka dapat menguruskan kehidupan mereka berasaskan kepada hukum-hakam Islam yang mulia dan juga progresif, dan Islam mampu membantu mereka. Mereka telah membantutkan pencapaian kita di bidang sains begitu lama sekali, mereka mencemar budaya kita dan merampas kebebasan kita. Namun, hari ini kita telah trersedar dari lena yang panjang. Kita akan merajai arena-arena saintifik satu demi satu.


Sewaktu Republik Islam ini ditubuhkan 30 tahun yang lalu, pihak musuh dengan yakin menyatakan bahawa Revolusi Islam telah menang, namun ia tidak akan mampu menguruskan bidang-bidang kehidupan yang asas dan akan runtuh dengan sendirinya.Namun begitu, hari ini para belia kami, terima kasih kepada Islam, telah berjaya mencapai kejayaan yang besar di dalam bidang sains yang mereka sendiri tidak pernah jangkakannya di suatu masa dahulu. Hari ini, hasil daripada kebergantungan mereka kepada Allah, para belia Iran telah berjaya mencapai kejayaan yang menakjubkan di dalam bidang sains. Mereka mengayakan uranium, menghasilkan dan membiakkan sel stem (stem cells), terus berkembang di dalam bidang bioteknologi, telah sampai ke angkasa lepas, semuanya dilakukan dengan bergantung sepenuhnya kepada Allah dan dengan slogan ‘ALLAH MAHA BESAR.”


Kita tidak seharusnya merendahkan keupayaan sendiri. Antara tribulasi terbesar yang telah ditimpakan oleh kebudayaan barat ke atas negara-negara Islam adalah dua ilusi yang palsu dan menyimpang. Salah satunya adalah menanam kepercayaan akan ke tidakmampuan umat-umat Islam, menjadikan mereka percaya bahawa mereka tidak mampu melakukan apa-apapun, samada di bidang politik, ekonomi dan sains. Mereka mengatakan, “anda amat lemah.” Kita di dalam negara-negara Islam telah kekal dengan pandangan yang salah ini selama puluhan tahun dan sentiasa ketinggalan. Kepercayaan kedua yang telah mereka tanam ke dalam diri kita adalah kekuatan dan kegagahan luar biasa yang diperolehi oleh pihak musuh. Oleh itu mereka menjadikan kita yakin bahawa Amerika tidak mampu ditewaskan, pihak barat tidak mampu diundurkan, dan kita terpaksa mengalah dan menerima apa jua nasib yang menimpa dalam konfrontasi dengan mereka.


Namun hari ini telah jelas kepada masyarakat Islam bahawa kedua-dua kepercayaan ini adalah tidak benar sama sekali. Negara-negara Islam mampu bergerak jauh ke hadapan, mereka mampu mengembalikan keagungan dan kehebatan umat Islam yang pernah berada di kemuncak kejayaan bidang sains, politik dan sosial sehingga pihak musuh terpaksa mengalah di dalam bidang-bidang ini.


Zaman ini adalah zamannya Islam. Zaman ini adalah zaman spiritual. Islam mengurniakan kepada umatnya rasional dan juga spiritual, Islam yang penuh dengan sifat rasional, Islam yang dinaungi dengan unsur renungan dan pemikiran, Islam yang diselubungi dengan sifat spiritual, Islam yang bergantung sepenuhnya kepada Allah, Islam yang punya nilai jihad, Islam yang penuh dengan daya usaha, Islam yang disertai dengan tindakan, kesemuanya adalah ajaran-ajaran yang diterapkan di dalam Islam.


Apa yang jelas hari ini adalah pihak musuh, yang sedang kalah di Mesir, Tunisia, Libya dan negara-negara lain di rantau ini, sedang berusaha merancang konspirasi-konspirasi baru. Setiap kita harus peka dengan perancangan mereka. Kita harus berwaspada agar mereka tidak mampu menceroboh revolusi rakyat ini dan meyimpangkan hala tujunya. Belajarlah dari pengalaman orang lain. Pihak musuh sentiasa berusaha untuk mensasarkan setiap revolusi itu dari hala tujunya yang sebenar, untuk meredakan semangat sebuah pergerakan, untuk menggagalkan cita-cita dan memperkecilkan darah-darah yang telah ditumpahkan, kita harus berwaspada, kita harus peka. Kamu para belia adalah nadi kepada gerakan-gerakan sebegini, berhati-hatilah.


Kami telah punya pengalaman yang banyak sepanjang 32 tahun yang lepas. Kami telah bertempur dengan pihak musuh selama 32 tahun, kami sentiasa menentang dan kami telah berjaya menewaskan mereka.Mereka tidak pernah gagal untuk melaksanakan apa jua bentuk perancangan ke atas kami. Namun mereka tetap gagal melakukan apa-apa, kerana mereka sebenarnya tidak mampu melakukaknnya. Mereka melakukan segala yang termampu namun setiap kali itulah mereka akan ditampar pada mulut dan ditewaskan. Selepas ini juga mereka akan tetap gagal berhadapan dengan Republik Islam ini. Ini adalah janji Allah kepada kami dan kami tidak sedikitpun meraguinya.


Kami tidak pernah ragu dengan kebenaran janji-janji Allah. Tidak pernah wujud rasa syak kami terhadap Allah, dan Allah tidak menyukai sesiapa sahaja yang meragui janji-janjinya, dan “Dia akan menghukum orang-orang munafik, lelaki dan wanita, dan lelaki dan wanita yang mempercayai leboh dari satu Tuhan, yang bersangka buruk terhadap Allah. Ke atas mereka adalah unsur kejahatan, siksaan Allah akan ditimpakan ke atas mereka. Allah telah melaknat mereka dan menyediakan buat mereka api neraka, dan sebuah perjalanan yang penuh dengan kesengsaraan.”


Janji-janji Allah adalah janji yang benar. Kami sudahpun terjun ke medan perjuangan, warga Iran telah menampilkan segala kemampuan mereka di pentas ini, oleh itu, janji-janji Allah ini adalah sesuatu yang pasti. Ia adalah sama di kesemua negara. Namun kita harus berhati-hati. Kita semua harus berhati-hati dengan tipu-daya musuh. Pihak musuh akan sentiasa mematikan pergerakan dan memarakkan api perpecahan.


Dewasa ini, pergerakan Islam tidak mengenal samada Syiah atau Sunnah, tidak membezakan antara Shafiee dengan Hanafi atau Jaa’fari atau Maliki atau Hambali atau Zaidi, tidak mengenal bangsa Arab, Parsi atau bangsa-bangsa yang lain.Dalam perjuangan ini, kesemua kita hadir bersama.Kita harus berusaha agar musuh gagal memecah-belahkan kita. Kita harus pupuk semangat persaudaraan dan menetapkan matlamat yang jelas. Matlamatnya adalah Islam. Matlamatnya adalah kerajaan Islam yang berasaskan kepada Al-Quran. Sudah tentu terdapat banyak persamaan dikalangan negara-negara Islam, dan wujud juga perbezaan. Tidak pernah wujud satu corak kehidupan yang sama di antara negara-negara Islam. Di negara yang berbeza, keadaan geografi, sejarah dan juga sosial adalah amat berbeza, namun di dalamnya tetap wujud prinsip yang sama, kita semua adalah musuh kepada kuasa bongkak dunia, kita membantah dominasi dan pemerintahan jahat pihak barat dan kesemua kita membantah kewujudan negara kanser Israel.


Di mana sahaja kita dapat merasakan bahawa apa yang dilakukan memberikan manfaat kepada Israel dan Amerika Syarikat, di situlah kita perlu lebih peka, kita perlu sedar bahawa tindakan sebegitu adalah tindakan pihak luar, pihak asing, yang tidak bermanfaat. Apabila sahaja terdapat tindakan yang bersifat Islam dan anti Zionis, anti kebongkakan, anti penindasan dan anti rasuah, di situlah kita perlu tahu tindakan tersebut adalah tindakan yang benar, di situlah letaknya sahabat-sahabat kita, kita adalah Syiah, kita adalah Sunni, kita berasal daripada negara itu dan ini. Tidak wujud perbezaan besar di situ, kita harus punya fokus pemikiran yang sama.


Contohnya apa yang boleh kita lihat pada hari ini, hampir kesemua pihak media di dunia cuba untuk mengasingkan para penduduk Bahrain dan kebangkitan di Bahrain. Apakah dakwaan mereka dalam isu ini ? Ini adalah sebuah isu Sunnah dan Syiah. Mereka mahu mencipta perpecahan, perbezaan dan garis sempadan. Tidak wujud banyak perbezaan antara umat Islam yang menganut mazhab yang berbeza.


Persamaan yang jelas antara mereka adalah Islam itu sendiri. Fokus utamanya adalah kepada kesatuan umat Islam. Kunci utama kepada penerusan dan kemenangan kebangkitan ini adalah dengan berseah sepenuhnya kepada Allah, keyakinan kepada Allah, kepercayaan kepada Allah serta mengekalkan perpaduan dan integriti.


Wahai para belia yang amat dikasihi, anak-anakku, berwaspadalah agar pihak musuh tidak akan menyekat kebangkitan kamu. Allah telah berfirman kepada Rasulullah saw sebanyak dua kali, “Oleh itu, berdiri dengan teguh (atas jalan kebenaran) sebagaimana yang diperintahkan kepada kamu.” Berdiri dengan teguh bermakna kita harus sentiasa menentang, berusaha, terus berjuang dan tidak akan sesekali berhenti. Itulah kunci utamanya.


Kita perlu terus mara. Kebangkitan ini adalah suatu pergerakan yang berjaya kerana ia punya masa depan yang cerah. Masa depannya adalah amat cerah. Akan tiba harinya di mana umat Islam, berbekalkan kuasa dan kekuatan Allah swt, akan dijulang ke puncak kekuasaan dan kebebasan. Umat Islam, dalam pada mereka mengekalkan nilai-nilai dan keistimewaan mereka serta berdiri di bawah sebuah panji yang akan membawa mereka ke arah Allah dan juga Islam, harus sentiasa bersatu. Melalui kesatuan inilah hanya akan umat Islam mencapai kegemilangannya.


Negara-negara kita mengandungi banyak sumber-sumber semulajadi, terletak di kawasan strategik, punya banyak kemudahan semulajadi, figur-figur yang luarbiasa, berbakat serta sumber tenaga manusia yang berdaya maju, kita perlu berusaha dengan kurniaan-kurniaan yang ada ini. Allah akan merahmati segala usaha ini, Insya Allah.


Saya perlu khabarkan kepada kamu bahawa masa depan bakal menjadi milik kamu, Dengan kuasa Allah swt dan dengan izinNYA, anda akan mampu mewariskan kejayaan ini ke generasi yang akan datang.


Salam sejahtera ke atas kamu beserta dengan rahmat dan keberkatan Allah swt.

Monday, February 20, 2012

Skandal NFC, mengapa Muhyiddin tutup mulut?!- Mahfuz


Oleh : WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR, 21 Feb : PAS melahirkan kebimbangan dengan pihak berkuasa yang hingga kini tidak menyiasat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan turut terbabit dalam meluluskan penganugerahan projek Pusat Feedlot Negara (NFC) kepada syarikat milik keluarga Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Naib Presidennya, Dato' Mahfuz Omar berkata, sejak isu ini dibongkar, siasatan oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya berlegar sekitar 'kandang lembu' sahaja.

Sedangkan, Muhyiddin adalah Pengerusi Jawatankuasa Pemantau Projek berkenaan yang pastinya tahu bahawa projek NFC gagal, kata Mahfuz kepada Harakah 21 Februari lalu ketika diminta mengulas isu hubungan Muhyiddin dalam skandal NFC.

PAS juga hairan mengapa Muhyiddin dilihat 'sangat kebal' dan seolah-olah langsung tidak mahu menjawab beberapa persoalan yang diutarakan oleh pelbagai pihak mengenai skandal NFC, kata Mahfuz.

Lebih mengecewakan, sebelum Perhimpunan Agung Umno 2011 lalu, polis menyatakan dalam siasatan mereka kes ini tidak ada kena-mengena dengan kes pecah amanah, katanya.

"Saya amat pasti, SPRM tidak akan berani memanggil Muhyiddin untuk disiasat.Jika mereka panggil Muhyiddin, maka saya rasa banyak lagi kes dalam skandal ini akan terbongkar," katanya lagi.

Selain itu, beliau juga melahirkan kecurigaan samada Muhyiddin sendiri akan 'kepentingan' semasa meluluskan syarikat milik keluarga Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno itu untuk menjalankan projek NFC.

Bagi Mahfuz, ia bukan suatu yang mustahil memandangkan Muhyiddin dilihat mengambil sikap 'tutup mulut' hingga kini dalam kes NFC.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi mengulangi gesaan agar kerajaan pimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak menubuhkan segera Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat skandal NFC ini.

"Dengan Suruhanjaya DiRaja sahaja saya yakin kemelut sebenar mengenai kegagalan projek itu boleh terungkai, dan pihak-pihak yang bersembunyi dalam kes ini akan terdedah," tegasnya.

Sunday, February 12, 2012

Husam dedah strategi Hassan Ali!!!

Hasan diminta telus sebab jumpa Umno pada 2008

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menggesa bekas pemimpin parti itu, Datuk Dr Hasan Ali untuk membersihkan dirinya daripada dakwaan bercita-cita untuk menjadi menteri besar Selangor.

Hasan yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Selangor dan bekas exco kerajaan negeri itu, dipecat daripada parti itu baru-baru ini kerana menimbulkan masalah kepada parti.

Husam berkata Hasan harus telus mengenai peranannya dan sebab-sebab beliau bertemu dengan pemimpin Umno sejurus selepas pilihan raya umum 2008, dan bukan sebaliknya mencaci PAS dalam program jelajahnya.

Beliau mendedahkan bahawa Hasan telah menemui pemimpin Umno di Selangor pada 10 Mac - dua hari selepas Pakatan Rakyat memenangi lima negeri dalam pilihan raya umum tersebut, dalam percubaan untuk membentuk kerajaan perpaduan antara PAS dan Umno.

"Tetapi pemimpin PAS telah menolak terus idea tersebut, maka beliau tidak berjaya dalam percubaannya untuk menjalin hubungan antara parti kita dan Umno," kata Husam ketika ditemui di Pulau Pinang.

Husam, yang juga ADUN Salor berkata, beliau berada di Kedah pada 9 Mac 2008 untuk membantu Kedah Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menubuhkan kerajaan negeri yang baru.

Pada 10 Mac beliau berada di Perak, untuk membantu menubuhkan "kerajaan rakyat" sebelum negeri itu dirampas oleh BN pada bulan April, selepas tiga ADUN meninggalkan Pakatan.

"Saya telah dimaklumkan mengenai rancangan Hasan kerana pada hari yang sama, beliau telah mengatur mesyuarat dengan (pemimpin) Umno dan topik perbincangan ialah untuk menggabungkan PAS dan Umno.

"Jika rancangan itu berjaya, Hasan sepatutnya menjadi menteri besar Selangor.

"Tetapi kerana prinsip dan komitmen kami kepada Pakatan Rakyat, maka pemimpin PAS menolak cadangan tersebut," tegas Husam yang juga exco kerajaan negeri Kelantan.

Hasan, ADUN Gombak Setia, telah menafikan pernah mahu menyertai Umno, dan menegaskan beliau disingkir daripada PAS kerana pendirian tegasnya mempertahankan Islam dan kempen menentang kes murtad yang "berleluasa" di kalangan umat Islam.

Tetapi, tegas Husam lagi, Hasan masih bercita-cita untuk menjadi MB, dan ini, tambah naib presiden PAS itu, terbukti melalui kecaman berterusan (Hasan) terhadap pentadbiran Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. -mk

APA KATA KHALID SAMAD MENGENAI HASSAN ALI

Ada yang berpandangan saya tidak perlu melayan segala dakwaan Hassan Ali terhadap diri saya. Mereka kata biarlah dia meroyan seorang diri, semakin dia meroyan, semakin terserlah keperibadiannya yang sebenar. Saya akui, ada kebenaran nasihat dari kalangan sahabat saya itu. Pada masa yang sama, saya dapati kali ini dakwaan beliau terlalu melampau, jauh melepasi batas ‘adaabul ikhtilaf’ yang perlu dihayati oleh mereka yang takut kepada azab Allah. Walaubagaimanapun, bagi yang mempunyai maklumat, walaupun sedikit, dakwaannya pasti akan ditertawakan sahaja.

Namun, bagi yang tiada maklumat langsung dan mungkin ramai juga yang begini, mereka mungkin termakan dengan tuduhan liar yang dibuat olehnya. Oleh itu, pada pendapat saya, jawapan terhadap tuduhan liar tersebut, khususnya tuduhan beliau terhadap diri saya, perlu dikemukakan. Oleh yang demikian, bagi memahami dengan jelas persoalan ini, maka perlu disingkap sedikit sejarah saya bersama Hassan Ali.

Sebelum itu, ingin saya sebut bahawa saya pernah fikirkan kesesuaian perkataan dalam beberapa istilah bahasa Melayu, termasuk istilah ‘gila talaq’. Saya hairan mengapa nenek moyang kita memilih perkataan ‘gila’ dalam istilah berkenaan sedangkan beberapa perceraian pasangan suami isteri yang saya lihat sebelum ini tiada yang menzahirkan kelakuan yang boleh disifatkan sebagai ‘gila’. Namun dalam kes Hassan Ali ianya menjadi jelas dan adalah terbukti bahawa perkataan gila amat tepat untuk diguna-pakai. Memang ada yang apabila ‘ditalaq’ menjadi gila. Pendekata, Hassan Ali sudah ‘gila talaq’ dan dalam kegilaannya, meroyan dan meracau tidak ketentuan.

SEJARAH RINGKAS

Saya dan Hassan Ali bukan baru berkenalan. Sebenarnya saya diantara yang paling gembira dengan kemasukan beliau dalam PAS pada tahun 1998. Sebagai orang yang menyertai PAS lebih awal dari beliau, iaitu pada tahun 1983, saya telah sambut kemasukan beliau dan membantu beliau setakat mana yang saya mampu. Sebagai seorang ‘baru’ dalam PAS, penerimaan beliau oleh orang ‘lama’ seperti saya pasti memudahkan pergerakan beliau di kalangan ahli lama yang lain.

Saya sering berceramah bersama beliau dan pada tahun 2003, apabila beliau dilantik Pesuruh Jaya PAS Selangor buat kali pertamanya, saya dilantik beliau sebagai Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor. Hubungan dan kerjasama kita menjadi semakin rapat dan pada tahun 2005, apabila beliau dilantik kembali sebagai Pesuruh Jaya untuk sesi kedua, saya diminta untuk mengambil alih jawatan Bendahari yang dikosongkan oleh Tuan Haji Nasir. Pada tahun 2007, beliau dilantik sebagai Pesuruh Jaya untuk sesi ketiga, saya dilantiknya sebagai Timbalan Pesuruh Jaya 2.

Jelas sekali bahawa pada ketika itu saya tidak dianggap beliau sebagai parasit tetapi sebaliknya sebagai orang kanan beliau.

DUGAAN JAWATAN MB SELANGOR

Pada tahun 2008 hubungan kita mula berubah. Perubahan bermula apabila setelah menang saya menolak usaha kerjasama dengan UMNO yang dikemukakan. Sekiranya kerjasama itu menjadi, Hassan Ali akan dilantik sebagai Menteri Besar dan itu adalah apa yang ditawarkan oleh UMNO.

Ketika usaha kerjasama dengan UMNO dijalankan, Hassan Ali pernah bertanya pada saya, “siapa patut menjadi MB Selangor?” Saya jawab sambil memandang terus ke muka beliau, “Tan Sri Abdul Khalid”. Beliau terdiam, perasaan kecewa jelas kelihatan terbayang di mukanya. Mungkin beliau merasakan saya mengkhianati dirinya. Mungkin beliau inginkan saya, sebagai orang kanannya memperjuangkan ‘haknya’ untuk menjadi MB. Mungkin bagi dirinya, itulah peranan seorang kanan. Saya tidak tahu, mungkin itulah yang difikirkannya. Beliau diam dan terus berpaling.

Pasti ada yang masih ingat bagaimana saya telah menggantinya dalam pertemuan dengan Pak Lah dan Khir Toyo. Kami berjaya menggagalkan usaha kerjasama bersama UMNO dan dengan itu cita-cita Hassan Ali untuk menjadi MB hancur berkecai.

Bermula dari saat itu saya merasakan hubungan kami sudah mula berubah dan Hassan Ali mula membawa agenda tersendiri.

MELAGA PAS DENGAN DAP & PK

Selepas Menteri Besar dilantik dan isu itu saya anggap telah selesai, saya melihat Hassan Ali berusaha untuk menimbulkan ketidak-stabilan dalam pentadbiran kerajaan PR Selangor. Beliau berusaha untuk mencari peluang untuk menunjukkan perbezaan di antara PAS dan DAP khususnya dan menimbulkan pergeseran di antara parti komponen PR. Saya beranggapan niatnya adalah untuk membuktikan kerjasama dengan DAP adalah sesuatu yang mustahil.

Saya sering menegurnya dan meminta supaya ditumpukan pada persamaan yang banyak di dalam PR. Saya ingatkan beliau akan keputusan muktamar PAS yang diadakan di Ipoh supaya PR dikukuhkan. Malangnya beliau terus dengan usahanya dengan mengatakan beliau mempunyai agenda tertentu tanpa menjelaskan apa agendanya itu.

SAYA DIPECAT SEBAGAI TPJ

Akhirnya, oleh kerana saya sering menegurnya, saya dipecat dari jawatan Timbalan Pesuruh Jaya 2 PAS Selangor pada pertengahan tahun 2008. YB Iskandar dinaikkan pangkat menjadi TPJ 2 dari TPJ 3 dan YB Dr Che Rosli dilantik menjadi TPJ 3. Itu semua saya tidak hairan, itu hak Hassan Ali sebagai PJ. Oleh itu saya tidak menjadikan pemecatan saya sebagai satu isu sepertinya sekarang. Tetapi saya telah sempat berpesan sambil saya keluar mesyuarat setelah dipecat, “ingat keputusan muktamar adalah untuk kukuhkan PR, bukan merosakkannya”.

Walaupun saya bukan lagi TPJ 2, saya tetap YDP PAS Kawasan Shah Alam. Saya tetap merupakan ahli mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor. Oleh itu saya hadir di mesyuarat Negeri dan setiap kali Hassan Ali menimbulkan isu melalui media untuk melaga-lagakan PAS dengan parti komponen PR yang lain, saya membantah dalam mesyuarat tersebut dan juga melalui media. Ini saya lakukan kerana saya sudah dapat membaca agenda dirinya. Pada masa yang sama, hubungan beliau dengan OKU UMNO semakin kukuh, termasuklah dengan Tan Sri Rozali Puncak Niaga (SYABAS).

TUDUHAN GOLONGAN ERDOGAN

Kumpulan yang menyokong beliau mula mempopularkan istilah ‘golongan Erdogan’. Istilah ini digunakan terhadap diri saya dan beberapa pimpinan Negeri dan Pusat yang lain dan kami dituduh tidak wala’ pada pimpinan dan terlalu kuat menyokong DSAI. Oleh itu, penggunaan istilah yang bertujuan untuk menghina dan menjadikan orang prejudis terhadap saya bukan perkara baru. Dulu Erdogan dan sekarang parasit. Penggunaan nama untuk tujuan menghina merupakan senjata kegemaran golongan seperti ini rupanya.

Kaedah ini membuktikan kerapuhan hujjah pihak yang cuba memburuk saya. Oleh kerana mereka tidak ada hujjah dan tidak mampu berhujjah, maka mereka menggunakan kaedah melabelkan orang atau ‘name calling’.

SAYA DAN HASSAN ALI DIKENAKAN TINDAKAN DISIPLIN

Akhirnya perbalahan kami dirujuk kepada PAS Pusat pada tahun 2009. Saya digantung semua jawatan parti selama 6 bulan. Hassan Ali didapati bersalah dan diberi amaran keras supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan dasar kerajaan PR melalui media massa. Kalau ada yang tidak dipersetujui, maka hendaklah dibawa berbincang bukan diheboh melalui media.

Berbeza dengan saya, hukumannya tiada tempoh masa. Ianya berkuat-kuasa selagimana PAS bersama PR.

SOKONGAN HASSAN MERUDUM

Walaupun saya yang dikenakan tindakan yang lebih keras oleh jawatan kuasa disiplin, ahli PAS melihat dan menilai apa yang sedang berlaku. Ramai beranggapan bahawa tindakan Hassan Ali menjejas kestabilan PR dan menguntungkan pihak lawan. Maka pada tahun 2011, semasa pemilihan AJK PAS Pusat dijalankan, sokongan Hassan Ali di kalangan ahli PAS terbukti merudum.

Pada 2009 Hassan Ali mendapat undi yang ke-empat tertinggi semasa pemilihan AJK PAS Pusat. Pada 2011, beliau mendapat undi yang ke 16 tertinggi.

Dalam kes saya pula adalah sebaliknya. Pada 2009 saya tidak terpilih apabila menduduki tempat ke 23 tertinggi sedangkan hanya 18 yang tertinggi akan dipilih. Pada tahun 2011, saya mendapat undi ke 8 tertinggi.

Peribahasa menyatakan sudah jatuh ditimpa tangga. Inilah apa yang berlaku ke atas diri Hassan Ali pada tahun 2011. Setelah melihat popularitinya jatuh sedemikian rupa, beliau tidak pula dilantik untuk menjawat jawatan PJ Selangor oleh DS Presiden. Pemilihan PJ dilakukan semasa mesyuarat pertama selepas muktamar diadakan. Dalam mesyuarat itu Hassan Ali hadir dan selepas pemilihan dimuktamadkan, beliau terus keluar.

Sokongan beliau terjejas bukan sekadar di kalangan ahli, tetapi jelas, ianya juga terjejas di kalangan pimpinan.

Untuk melengkapkan kekecewaan beliau, pada penghujung tahun 2011, semasa senarai nama dikemukakan oleh cawangan untuk diturunkan sebagai calon dalam PRU ke 13, nama beliau tidak dinaikkan untuk DUN Gombak Setia. Walaupun telah dinyatakan bahawa keputusan belum muktamad dan sekiranya Gombak Setia tidak mahu, maka tempat lain bersedia, Hassan Ali tidak peduli.

Pada ketika itu, mungkin Hassan Ali melihat bahawa masa depannya bersama PAS tidak secerah dahulu. Oleh itu beliau terpaksa menyusun ‘exit strategy’ atau ‘strategi untuk keluar PAS’. Inilah apa yang dapat saya rumuskan berhubung tindakan beliau semenjak peristiwa mutakhir tahun 2011 yang saya ceritakan di atas.

PEMECATAN HASSAN ALI

Bacaan saya berhubung Hassan Ali, persoalan yang paling utama baginya adalah untuk menjadi MB Selangor. Persoalan ini sering beliau sebutkan walaupun sudah bertahun-tahun selepas perlantikan Tan Sri Abdul Khalid sebagai MB Selangor.

Apabila beliau tidak lagi menjadi Pesuruh Jaya, beliau menganggap bahawa peluang beliau untuk menjadi MB melalui PAS sudah lenyap dengan begitu sahaja. Lebih-lebih lagi apabila tidak menjadi calon di kerusi yang sekuat Gombak Setia. Mungkin beliau menganggap beliau akan diletakkan di kerusi yang sukar untuk dimenangi kerana beliau bukan lagi pimpinan di Negeri Selangor.

Dengan dibekal sangkaan buruk sebegini, Hassan Ali memikirkan cara terbaik untuk beliau melepaskan diri dari berada bersama PAS tetapi dengan cara ‘terhormat’. Tiada cara lain melainkan dengan menyatakan bahawa PAS sudah tersasar dari matlamat asalnya. Ini bermakna bukan beliau yang terpesong tetapi sebaliknya PAS. Bukan beliau yang salah tetapi PAS.

Beliau terus melemparkan tuduhan bahawa PAS telah tersasar dari landasannya berkali-kali melalui media perdana dan walaupun dinasihati untuk berhenti oleh pimpinan tertinggi, beliau terus melakukannya. Oleh itu, tidaklah hairanlah apabila beliau dipecat. Beliau bukan sekadar melanggar amaran keras yang pernah diberi kepada beliau sebelum ini, beliau melampauinya.

Apabila dipecat, pada mulanya Hassan Ali mengatakan beliau tidak kisah. Selepas itu beliau kata mungkin beliau akan merayu. Selepas itu dikatakan tidak akan merayu. Begitu juga dengan pemecatan beliau sebagai exco. Pada mulanya dikatakan tidak mengapa. Kemudian ditulis surat kepada MB menyatakan tempoh rayuan belum habis. Selepas itu dikatakan tiada yang mampu melainkan dirinya. Akhirnya berkata tidak mengapa juga.

KENAPA SAYA YANG DISASARKAN

Dalam kemelut yang terhasil, Hassan Ali melihat saya sebagai punca kejatuhannya. Oleh itu saya disasarkan beliau. Dalam serangan beliau terhadap diri saya, Hassan Ali tidak kisah samada apa yang dikatakan adalah benar atau sebaliknya. Namanya roadshow untuk mempertahankan aqeedah tetapi saya dan pimpinan PAS menjadi sasaran. Mungkin beliau tidak tahu maksud perkataan ‘aqeedah’ itu dan dianggap apa sahaja yang keluar dari mulutnya adalah aqeedah. Itu saya tidak pasti.

Yang pasti beliau telah menunjukkan akhlak yang paling tercela dengan membuat tuduhan dan fitnah terhadap diri saya bahawa saya di antara yang merosakkan aqeedah ummat Islam. Dituduhnya juga saya sebagai orang yang menghalang pengharaman jualan arak, penutupan kedai judi dan rumah urut (pelacur) di Shah Alam. Amat jelas bagi saya Hassan Ali sudah gila talaq.

Bagaimanakah boleh saya menghalangnya? Kuasa apa yang ada pada saya? Saya PJ atau dia? Saya exco atau dia? Kalau benar saya ada kuasa untuk menghalang, kenapa tidak saya menghalang diri saya dari didakwa JAIS atas tuduhan mengajar tanpa tauliah?

Dalam soal pengharaman penjualan arak di kawasan ummat Islam dominan seperti di kawsan Shah Alam asal, ianya telahpun dilaksanakan tanpa kekecohan, dengan persetujuan pihak peniaga. Sebenarnya yang merampasnya dulu pun adalah pihak penguat-kuasa MBSA, bukan JAIS. MBSA bukan dibawah Hassan Ali tetapi beliau tumpang sekaki untuk dijadikannya isu.

Pada masa itu semua Ahli Majlis, termasuk yang dari DAP, telah bersetuju supaya penjualan minuman keras akan diharamkan di kawasan tersebut. Mereka hanya menunggu untuk menguatkuasakannya apabila lessen diperbaharui. Rancangannya ialah supaya disebut secara khusus larangan berkenaan dalam lessen baru. Tidak sempat lessen mati, pihak penguat-kuasa bertindak tanpa arahan dari pihak MBSA. Hanya atas arahan seorang ahli Majlis lama.

Hakikatnya kita berbeza dari segi pendekatan. Hassan Ali suka gunakan kuasanya dan suka memaksa sedangkan saya lebih cenderung kepada kaedah dakwah dan mendidik. Terhadap yang Islam dan yang bukan Islam.

KESIMPULAN

Melalui tulisan ringkas ini saya ingin memberitahu semua bahawa Hassan Ali sudah gila talaq. Maka jangan percaya apa yang dinyatakan beliau. Beliau sanggup berbohong dan memutar-belit semua perkara. Lagi beliau cakap lagi jelas kegilaannya.

Hadis Rasulullah (SAW);
Dari Abi Umaamah yang berkata, telah bersabda Rasulullah (SAW),
“Terdapat pada orang beriman semua jenis kekurangan, kecuali khianat dan berdusta” (Dari Ahmad, Baihaqi dari Saad Bin Abi Waqas).

Hadis ini diketengahkan bukan untuk menafikan keimanan mana-mana pihak. Tetapi ianya adalah untuk menjelaskan betapa kejinya sifat khianat dan berdusta.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Wednesday, February 8, 2012

Khalid dedah tembelang Hassan Ali

KUALA LUMPUR, 9 Feb : Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad, mendakwa hubungan bersama bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dingin setelah enggan membantu Hasan menjadi Menteri Besar Selangor pada 2008.

Beliau berkata, hubungan­ bersama Hasan sebelum itu baik sehingga beliau dilantik menjadi Timbalan Pesuruhjaya II oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia.

Menurutnya, pelantikan tersebut jelas menunjukkan, Hasan tidak menganggap beliau sebagai parasit, tetapi sebaliknya sebagai orang kanan dalam Pas Selangor.

“Pada 2008 hubungan mula berubah, apabila saya menolak berkerjasama dengan Umno yang dikemukakan (Hasan).

“Sekiranya kerjasama itu menjadi, Hasan Ali akan dilantik sebagai menteri besar dan itu adalah apa yang ditawarkan Umno,” katanya dalam blog, semalam.

Khalid berkata, hubungan menjadi lebih rapuh setelah beliau menamakan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.

“Beliau terdiam, kecewa, mungkin beliau merasakan saya mengkhianati nya.

“Mungkin beliau inginkan saya, sebagai orang kanan memperjuangkan ‘haknya’ untuk menjadi menteri besar,” katanya.

Khalid mendakwa, setelah pelantikan menteri besar selesai, Hasan berusaha menimbulkan ketidakstabilan dalam pentadbiran kerajaan PR Selangor.

Menurutnya, Hasan berusaha mencari peluang menunjukkan perbezaan antara Pas dan DAP khususnya dan menimbulkan pergeseran antara parti komponen PR.

“Saya sering mengingatkan beliau tentang keputusan muktamar Pas yang diadakan di Ipoh supaya PR diperkukuhkan.

“Malangnya beliau terus dengan usahanya dengan mengatakan beliau mempunyai agenda tertentu tanpa menjelaskan apa agendanya itu,” katanya

Sunday, February 5, 2012

PAS dalam landasan terbaik capai kemenangan di Negeri Sembilan!




Gendang pilihan raya umum ke-13 semakin hampir.Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak sendiri tidak senang duduk dengan hampur setiap minggu turun padang bertemu dengan jentera BN di setiap negeri.Begitu juga persediaan di peringkat Pakatan Rakyat, pelbagai program gempur pilihan raya telah diadakan sebagai suatu persediaan untuk menghadapi saat-saat genting pilihan raya.Di Negeri Sembilan, PAS dan Pakatan Rakyat negeri ini juga telah memulakan gerak kerja pilihan rayanya, dan terbaharu, mereka telah melancarkan Manifesto Pakatan Rakyat pada 15 Januari lalu.Ia dilihat sebagai mendahului dan mungkin ada strateginya.Bagi membicarakan soal persiapan pilihan raya dan beberapa isu mengenai manifesto, Wartawan Kanan Harakah, WAN NORDIN WAN YAACOB bersama Wartawan Negeri, FAIZ ABDULLAH menemui Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani yang juga merupakan Adun Paroi di Pusat Khidmat Dun Paroi dekat Taman Tasek Jaya pada 4 Februari lalu.Ikuti butiran wawancara berikut.

HARAKAH : Assalamualaikum Yang Berhormat Mohd Taufek, boleh YB ceritakan serba lengkap bagaimana perkembangan gerak kerja pilihan raya PAS Negeri Sembilan dan kerjasama dengan parti dalam Pakatan Rakyat di sini terutamanya selepas Manifesto Tonggak Nan Sembilan dilancarkan 15 Januari lalu?

MOHD TAUFEK : Saya kira persiapan PAS dan PR Negeri Sembilan bagi berdepan dengan pilihan raya umum ke-13 ini dan dikhabarkan dalam masa terdekat ini, bagi saya persiapan ini sepanjang penglibatan saya dalam PRU sejak menjadi Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan dahulu lagi, saya kira kali ini adalah antara yang terbaik termasuk dalam soal kerjasama dengan parti dalam PR itu sendiri. Jentera PAS di peringkat negeri ini sendiri saya telah gerakkan terutamanya Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN) sebaik sahaja saya diamanahkan menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri selepas Muktamar, Jun tahun 2011 yang lalu.Menggerakan JPN ini menjadi agenda pertama saya kerana saya mengambil perhatian struktur JPN negeri ini sangat penting untuk kita berdepan dengan situasi pilihan raya.saya telah merombak struktur JPN itu sendiri dan melantik Pengarah dan timbalan yang baharu yang tidak akan terbabit menjadi calon atau bakal calon supaya nanti semasa sebelum dan selepas pilihan raya, mereka ini boleh mengawasi dan menjalankan tugasan mereka dengan baik tanpa gangguan.Kita tidak mahu lagi, mereka ini menjadi calon dan menyebabkan banyak kerja terganggu sewaktu pilihan raya. pengalaman kita yang lalu membuatkan saya bertindak demikian, kita tidak mahu pengarah dan timbalan hilang semasa pilihan raya kerana mereka menjadi calon yang bertanding.Saya juga memilih mereka ini (JPN) dikalangan orang muda dan mampu menjalankan tugas mereka sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.Kita mahu mereka ini menumpukan sepenuhnya perhatian kepada kerja-kerja pilihan raya untuk kita mencapai kemenangan.Bagi saya JPN kita ini berada pada landasan tepat dan betuliaitu landasan ke arah kemenangan.Saya boleh berkongsi maklumat ini dengan Harakah bahawa JPN Negeri Sembilan ini telah membuat lawatan ke setiap Dun tumpuan yang kita sasarkan akan menang.Kita sekarang ini bukan sekadar turun ke Majlis Tindakan Dun (MTD) sebaliknya telah mengkerahkan hingga Unit Peti Undi (UPU) untuk bergerak dan mempastikan operasi berjalan dengan lancar.Saya yakin dengan maklumat yang kita ada bahawa banyak UPU yang telah memulakan operasi mereka sejak kebelakangan ini.Inilah usaha yang kita buat, dan motto yang kita pegang ialah jika gerak kerja kita mantap, tersusun dan berada pada tahao terbaik, tidak sama seperti gerak kerja semasa PRU-12, saya yakin kita akan dapat keputusan yang jauh lebih baik (PRU-13) berbanding PRU-12, sebaliknya jika gerak kerja kita setakat sama seperti PRU-12, saya kira samada keputusannya sama atau semakin teruk.Sehubungan itu, saya menekankan soal pentingnya menggerakkan jentera dengan lebih awal dan mempastikan JPN ini benar-benar mampu melakukan tugasan mereka sejak daripada sebelum hingga tamat pilihan raya.Kita sekarang ini sedang dalam pecutan terakhir, kita dah buat persiapan yang mantap.Calon-calon juga saya dah buat pemeriksaan, mereka ini telah turun ke padang seperti hari ini (4 Februari), Dr Rosli Yaakob telah turun padang ke kawasannya bagi bertemu dengan pengundi, mengintai armalah dan turun ke pasar sehari.Ini telah dilakukan sejak beberapa bulan lalu dengan mereka memperuntukkan hari Jumaat, Sabtu dan Ahad untuk turun padang.Bakal calon bertemu dengan pengundi, ini kita gerakkan awal, di Senaling dan beberapa tempat lain.Saya sendiri akan turun walaupun saya tidak terlibat dengan JPN, sebab ini arahan kita agar jumpa rakyat, edar risalah dan program memperkenalkan calon kepada rakyat.

Bagaimana gerak kerja bersama di peringkat Pakatan Rakyat?

MOHD TAUFEK : Di peringkat PR pula kita ada Majlis Pimpinan PR Negeri Sembilan sejak zaman Pesuruhjaya yang sebelum ini iaitu saudara Zulkefly Mohammed Omar lagi, cuma saya teruskan kelangsungannya.PR Negeri Sembilan yang menariknya kita menjadi negeri paling awal memperkenalkan manifesto pilihan raya untuk pilihan raya umum ke-13.Kita telah melancarkannya pada 15 Januari lalu di Dataran Gemas dan disambut baik oleh rakyat Negeri Sembilan.Kita juga telah mencetak dan mengedarkan manifesto ini untuk dihadamkan oleh rakyat lebih awal lagi.Untuk manifesto kita telah bersiap sejak bulan Ogos tahun lalu dengan memanggil semua pihak termasuk tokoh akademik pakar ekonomi, tokoh adat dan sebagainya untuk menghasilkan manifesto sedemikian rupa.Menariknya impak kepada rakyat mereka yakini manifesto ini lebih praktikal kerana mereka boleh bandingkan dengan neheri yang telah kita menang,Ini bukti jelas manifesto ini bukan sekadar tarik undi tetapi benda yang lebih berjaya kita lakukan di negeri PR.Kita buat dalam pelbagai bahasa Inggeris, Melayu, India dan Cina.Kita ada program turun padang terangkan kepada rakyat mengenai manifesto ini secara terus kepada rakyat.

Mengapa umum awal?

MOHD TAUFEK : Diantara perkara yang kita pelajari dalam beberapa pilihan raya umum yang lalu ialah masalah menerangkan manifesto jika ianya dilancarkan semasa pilihan raya kerana biasanya rakyat sukar untuk menghadam dan memahami apa yang kita persembahkan, ditambah lagi dengan provokasi dan propaganda media massa yang memihak kepada Umno-BN, kita tidak sempat untuk memberikan rakyat masa yang cukup untuk mempertimbangkan manifesto kita.Sebab itulah, kami di Negeri Sembilan mengambil keputusan untuk melancarkannya lebih awal berbanding negeri-negeri lain.Kajian yang kita dapat ada baiknya manifesto ini dikeluar awal dan kesannya kepada kerajaan memerintah, termasuk apa yang kita gariskan dalam manifesto kita iaitu gaji Guru Kafa yang sekarang ini kerajaan Negeri Sembilan bayar sekitar RM800 sebulan, dan jika ditolak KWSP guru hanya memperolehi sekitar RM750 sahaja, jadi kita tawarkan RM1000, dan kita dengar kerajaan negeri akan naikkan semasa pilihan raya ini, jadi ini menguntungkan rakyat, kita mendesak dengan cara membentang manifesto, dan kemudiannya kerajaan negeri yang ada hari ini terpaksa bertindak dengan mengekori apa yang kita bentangkan.Yang penting rakyat dapat hak mereka, guru Kafa mendapat pembelaan.Bila rakyat baca dan nilai manifesto ini lebih awal, mereka akan dapat mengetahui apa yang mahu kita lalukan sekiranya kita menerajui kerajaan Negeri Sembilan.Kita juga boleh sebar luaskan manifesto ini sebelum pilihan raya, manifesto ini adalah senjata utama tawan hati rakyat disamping isu-isu kepincangan kerajaan Umno-BN yang kita dedahkan melalui media kita.

Bagaimana dengan gerak kerja turun padang bersama dengan komponen PR yang lain?

MOHD TAUFEK : Sebenarnya apa yang kita telah buktikan dalam pelancaran manifesto ini program PR secara bersama tiga parti (PAS, DAP dan KeADILan),Kita lihat pertamanya ia disusun rapi hingga berjaya tarik perhatian semua lapisan masyarakat.Keduanya kosnya kita dapat tanggung bersama dan berlaku apa sahaja kita dapat atasi bersama.saya kira itu langkah pertama, dalam program turun padang pula nanti wakil ketiga-tiga parti akan bersama dalam turun padang, ceramah dalam tiga bahasa Melayu, Cina dan India, target kita adalah untuk semua rakyat.Dalam tangani isu semasa yang dibangkit rakyat, seperti isu Dato' Dr Ng Yen Yen yang membangkitkan isu sokongan kaum Cina kepada pas bersifat sementara, tetapi yang jawab dalam Sinar Harian hari ini (4 Februari) ialah YB Loke Siew Fook (Pengerusi DAP Negeri Sembilan), maknanya ini suatu kerjasama dalam menjawab isu, sedangkan isu itu dihadapkan kepada PAS.Kaedah kita menangani isu dengan cara ini, begitu juga dalam isu manfiesto ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Utama Mohammad Hassan menuduh bahawa Pakatan Rakyat menceduk idea BN, tetapiu kita arahkan Pemuda PR ajak Mohammad Hassan berdebat, dan hari ini nampaknya Mohammad Hassan tidak berani untuk berdebat.Ini kaedah kita menangani serangan musuh secara bersama. Kita tangani bersama semua isu, dan dalam bebeapa program kita semua bersama dengan masyarakat agar pengundi nampak kita benar-benar bersedia jadi kerajaan.

Apa faktor besar yang meyakinkan YB bahawa PR boleh menjadi kerajaan dalam PRU-13 ini di Negeri Sembilan?

MOHD TAUFEK : kelenbihan negeri ini ialah kedudukan komposisi kaum yang agak kepelbagaian, banyak kawasan pengundi campuran yang agak besar seperti di Dun Paroi, di Klawang, Gemencheh dan Chembong yang mana majoriti Melayunya sekitar 60 ke 70 peratus dan bukan Melau antara 30 ke 40 peratus.Kelebiuhan kerusi ini diketahui masyarakat bahawa kaum Cina banyak menyokong PAS dan Pakatan Rakyat, dan kita yakin sokongan yang mereka berikan pakad pilihan raya umum yang lalu akan meningkat dan membawa kelebihan kepada kita.Namun dalam masa yang sama, kita terus menumpukan undi Melayu dengan menekankan beberapa aspek penting membabitkan masyarakat Melayu termasuklah dalam kita merencanan Manifesto Tonggak Nan Sembilan.Dalam manifesto itu, kita telah tekankan soal orang Melayu, soal adat dan juga masalah tanah adat yang membelenggu rakyat di Negeri Sembilan ini dimana kerajaan membuat pembangunan tanpa memikirkan soal hak tanah adat.Semuanya kita sebutkan dalam manifesto. Selain itu, kita juga nampak peluang sokongan yang besar di kawasan Felda dengan peranan yang dimainkan Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (ANAK) pimpinan Mazlan Aliman.Anak sendiri telah mengambil dua Dun angkat iaitu Dun Serting dan Gemencheh untuk menjana kemenangan dengan isu-isu Felda.Saya nampak peluang menang sebenarnya cerah kerana kita hanya dipisahkan dengan empat kerusi sahaja dalam pilihan raya umum yang lalu untuk menerajui Negeri Sembilan, justeru dengan gerak kerja yang jauh lebih terarur, saya yakin kita berada dilandasan yang sangat baik untuk menerajui negeri ini.


Berapa banyak kerusi yang menjadi sasaran PAS untuk menang dalam PRU-13?

MOHD TAUFEK : Sejak selepas PRU-12, PAS Negeri Sembilan telah mengadakan post mortem membedah kegagalan kita menang dalam pilihan raya tersebut, dan kita telah berjaya mengenal pasti beberapa kawasan yang kita sebenarnya mampu mencapai kemenangan dengan usaha yang lebih.Justeru saya merasakan ada 8 kerusi yang kita tumpukan untuk kita menang disamping menggerakkan jugga kerusi-kerusi lain agar ianya menjadi kemenangan luar jangkaan.Setakat ini, semua kawasan sasaran kita ini telah digerakkan jenteranya semaksima mungkin dan kita yakin, jika semuanya lancar, kemenangan akan menyebelahi kita.

Macam mana pula dengan calon yang bakal ditampilkan, trend hari ini, rakyat mahukan orang muda, dan Umno sendiri katanya akan membariskan calon muda?

MOHD TAUFEK : Saya boleh sebutkan majoriti calon kita bukan sahaja calon yang baharu tetapi juga yang muda, umurnya antara 40-an untuk kita kemukakan kepada rakyat Negeri Sembilan untuk kita tarik sokongan pengundi muda.Saya kira faktior calon ini juga agak penting dalam menjana kemenangan, disamping gerak kerja.Kita ada calon yang sangat dikenali masyarakat, bekas imam, bekas pegawai kerajaan, pengurus bank dan sebagainya, kita sangat kritikal dalam memilih calon.

Pesanan YB kepada petugas kita disetiap UPU, MTD dan Parlimen?

MOHD TAUFEK : Saya menyeru agar semua petugas PAS Negeri Sembilan, saya rayu supaya sudah sampai masanya setiap kita melaporkan diri ke markas dan MTD atau UPU untuk turut serta membantu dalam gerak kerja.Jangan tunggu saat selepas pembubaran Dun atau Parlimen untuk bertindak.Saya juga merayu sumbangan kewangan dan logistik yang boleh diberikan, untuk gerakkan jentera kita,.Saya yakin semua pihak banyak turun padang untuk bertemu rakyat, sampaikan mesej kita kerana kita tiada medium media massa yang luas seperti Umno-BN.Ingat juga pesanan Tok Guru Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat agar kita semua membanyakkan doa dan munajat sebab itulah senjata orang beriman.Kita perlu ingat bahawa musuh tidak akan duduk diam untuk mereka kekalkan kuasa lebih-lebih lagi mungkin ada strategi mereka yang di luar kotak pemikiran kita, sebab itulah kita kena berdoa, sebab saya yakin kita merancang, mereka merancang, tetapi perancangan Allah itu maha hebat.

Wednesday, February 1, 2012

Mat Sabu ziarah balu Allahyarham Safri

KUALA LUMPUR, 2 Feb 2012 : Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu telah menziarahi balu wartawan Harakah, Allahyarham Mohd Shafri Shamsudin di rumahnya dekat Taman Bolton, Gombak hari ini.

Dalam kesempatan menziarahi balu Mohd Shafri, Syarifah Norhayati Al-Yahya, Mat Sabu sempat bertanyakan mengenai penyakit yang dihidapi Allahyarham Shafri, dan sejak bila menghidapinya.

Beliau juga bertanyakan mengenai persekolah lima anak allahyarham, dan segala perancangan Syarifah selepas ini.

Dikesempatan itu juga, Mat Sabu turut menghulurkan sumbangan peribadinya kepada Syarifah untuk meringankan beban beliau.

Shafri meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) pada 31 Januari lalu berikutan kanser hati.Beliau dimasukkan ke wad pada 24 Januari, dan disahkan mengidap kanser hati pada 29 Januari.

Beliau meninggalkan lima anak yang masih bersekolah, antaranya Sajaratul Umairah 16; Muhammad Danish Haikal 14; Muhammad Diniy Fikret 13; Sajaratul Norshuhada 11; dan Sajaratul Nordalili Batrisya 8.

Selepas menziarahi balu Mohd Shafri, Mat Sabu sempat menziarahi adinya, Kassim Sabu yang sedang sakit di Taman Samudera Selatan.

Beliau sempat bertanyakan mengenai perubatan dan kebajikan Kassim yang pernah menjawat Pengarah Unit Amal Pusat.