Thursday, January 19, 2012

Taktik 'Bom' londehkan kegiatan rasuah Umno-BN

WAN NORDIN WAN YAACOB

KUALA LUMPUR : Tindakan Umno-BN menggunakan wang untuk membeli undi semasa pilihan raya terbongkar dengan pendedahan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir baru-baru ini.

Dengan menggelarkan pembelian undi itu sebagai 'taktik bom', kenyataan Kadir dilihat melondeh taktik Umno-BN yang sering mereka nafikan apabila pembangkang membuat dakwaan.

Mengulas isu tersebut, Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar menyatakan, kenyataan Kadir itu membuka pekung yang selama ini dinafikan Umno.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu, Mahfuz mahu pendedahan itu disiasat oleh pihak berkuasa terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Ia mendedahkan kegiatan rasuah Umno ketika Pilihan raya yang lalu," katanya lagi.

Bagi Mahfuz, Umno-BN tidak pernah menginsafi perbuatan mereka menyogok pengundi semasa pilihan raya, malah menjadikannya amalan.

Mahfuz berkata, selama ini Umno menggunakan jabatan kerajaan seperti Jabatan Penerangan, Jabatan Pembangunan Persekutuan, Kemas, Felda, Cawangan Khas dan sebagainya untuk menjalankan dakyah mereka.

"Kenyataan Abd Kadir ini jelas menyokong pendedahan bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid, sebelum ini yang mendedahkan bahawa ada pihak berkepentingan yang menghalang mereka melaksanakan penggunaan dakwat dalam PRU-12 yang lalu bagi memastikan kemenangan Umno-BN," ujarnya.

Campur tangan Umno

Campur tangan Umno dalam urusan pentadbiran kerajaan begitu kuat, katanya.

Berikutan itu ujar Mahfuz, Pakatan Rakyat sebelum ini mencadangkan supaya ada 'caretaker goverment' selepas Parlimen dibubarkan yang bukan kalangan ahli politik yang bertanding dalam pilihan raya.

Kelicikan Umno-Bn dalam menggunakan wang, jentera kerajaan dan media massa untuk mengaburi mata rakyat seperti didedah Kadir harus menjadi bukti kepada rakyat untuk menghukum BN dalam pilihan raya umum ke-13, katanya.

"Rakyat tidak harus ditipu lagi demi meneruskan kelangsungan Umno-BN," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohammad pula berpandangan, kenyataan Kadir itu memberi isyarat bahawa rasuah benar-benar diamalkan Umno-BN semasa pilihan raya.

Namun kata Kamaruzzaman, Umno-BN tidak pernah insaf dengan apa yang berlaku dan meneruskannya dengan 'bom' semasa bantuan RM100 dan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) baru-baru ini yang diedarkan mereka dan bukannya agensi kerajaan.

Tindakan Umno-BN cukup licik, namun pendedahan Kadir itu memberi gambaran baharu kepada rakyat tentang amalan rasuah Umno-BN, katanya.

Kadir dedah semasa wawancara Harakah


Dalam satu wawancara Ekslusif bersama Harakah/Harakahdaily sebelum ini, Abdul Kadir ada mendedahkan mengenai taktik 'bom' iaitu rasuah pengundi semasa pilihan raya.

Beliau menyebut, jutaan ringgit pernah disaksikan oleh beliau untuk diedarkan kepada pengundi dua tiga hari sebelum pembuangan undi berjalan.

Taktik 'jahat' ini bagi Kadir adalah suatu perbuatan yang sangat tidak disetujuinya sejak dahulu, dan jika Umno-BN masih mengamalkannya, ia amatlah tidak demokratik.

Kadir menasihatkan agar amalan ini dihentikan, dan jika Umno-BN ikhlas kepada rakyat, ia adalah jauh lebih baik.

No comments: