Thursday, December 22, 2011

Jalan agenda Umno, Hassan Ali perlu tutup mulut!

WAN NORDIN WAN YAACOB dan MOHD SHAFRI SHAMSUDDIN

KUALA LUMPUR : PAS menggesa bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hassan Mohd Ali tutup mulut dan berhenti menggunakan media pro-Umno untuk menghentam parti.

Demikian tegas Setiausaha Agungnya, Dato' Mustafa Ali semasa mengadakan sidang media di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut 22 Disember lalu.

Sebagai Setiausaha Agung, Mustaffa berkata pihaknya bertanggungjawab untuk menjelaskan isu sebenar membabitkan serangan Hassan Ali terhadap PAS.

"Sebab itu nasihat saya kepada Dr Hassan perkara ini amat mudah untuk diselesaikan.Dr Hassan berhenti bercakap, saya pun tak payah komen lagi. Selesai masalah," katanya.

Menurut Mustaffa, tindakan Hassan yang berterusan menyerang PAS dengan menggunakan media pro-Umno termasuk yang terbaharu di TV3 menggambarkan bahawa beliau terperangkap dengan agenda Umno.

"Respon kepada kenyataan saya adalah berkait dengan perangkat. Perangkap adalah keyword. Terperangkap dengan agenda Umno.
Ini adalah perangkap politik dan ia adalh lain dengan perangkap monyet. Perangkap monyet orang boleh nampak tetapi perangkat politik orang tak boleh nampak," katanya sinis.

Bagi Mustaffa, apabila Hassan meneruskan dengan mengkritik PAS di akhbar Umno, ia mengesahkan bahawa bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu berada di dalam 'perangkap'.

Mustaffa menegaskan, tindakan Hassan yang terperangkap dengan dengan agenda Umno itu boleh disamakan dengan melaksanakan agenda Umno.

Ini kerana tindakan itu adalah suatu perkara yang boleh menyebabkan PAS ini resah, katanya.

"Umno dapat manfaat daripada itu. Itu maknanya melaksanakan agenda Umno. Sebab itu Umno tak kata apa-apa sekarang ini. Umno tak kata, tak komen," ujarnya sinis.

Ujar Mustaffa, selalunya apa sahaja isu yang berlaku membabitkan dalaman PAS, pastinya mengundang respons Umno.

Namun, dalam kes Hassan Ali ini, tiada pimpinan Umno yang memberi kenyataan balas, katanya.

"Sebab dari segi Umno, Dr Hassan telah melaksanakan kerja yang sepatutnya mereka buat. Jadi tak payah dia (Umno) buatlah.
Kata (Hassan) PAS lari daripada dasar (Islam), itu dia (Umno) pernah kata dulu. Jadi alat DAP dan macam-macam lagi Umno selalu kata.

"Umno senyap langsung tak ada komen sebab kerja ini sedang dilaksanakan orang lain. Sebab itu ini benda-benda yang perlu di fahami," katanya.

Mustaffa berkata, kenyataan Hassan yang mendakwa PAS lari daripada dasar Islam sangatlah tidak benar.

Tegas Mustaffa, PAS tidak pernah lari daripada dasar Islam meskipun kini membawa pendekatan Negara Kebajikan yang merupakan suatu strategi sahaja.

"Dia dasar satu, pendekatan satu hal yang lain. Ini selalu saya terangkan. Kepada orang PAS dia faham perbezaan antara strategi dengan dasar parti.Islam adalah dasar PAS sejak daripada dahulu sampai sekarang tidak pernah berubah. Tetapi pendekatan berubah," katanya.

Ujar Mustaffa, pendekatan PAS pastinya berubah, namun perubahan itu tidak menjejaskan dasar PAS.

Beliau hairan dengan tindakan Hassan Ali yang mempertikai konsep Negara Berkebajikan, sedangkan ianya adalah suatu strategi dan telahpun diputusan dalam Muktamar PAS.

Mustaffa juga menyifatkan kenyataan Hassan yang kononnya memperjuangkan Melayu, Islam dan Raja suatu yang tidak lengkap kerana PAS dan Pakatan Rakyat bukan sekadar memperjuangkan tiga elemen itu.

Malah Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) turut memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Tiga itu tidak cukup. Dia kena tambah lagi sebab di dalam Buku Jingga yang disepakati oleh tiga parti politik, PAS DAP, Keadilan kta memperhankan empat perkara utama di dalam perlembagaan negara.Iaitu kedudukan institusi Raja, Islam sebagai agama Persekutuan tanpa menafikan hak penganut agama lain, hak keistimewaan orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan," katanya.

Sambil menyifatkan kenyataan Dr Hassan adalah semata-mata untuk mengelirukan sesetengah masyarakat, namun beliau yakin ahli PAS tidak akan terperangkap dengan kenyataan itu.

Mengulas sebarang kemungkinan Hassan menyertai Umno, beliau berkata, pihaknya yakin Hassan tidak akan menyertai parti nasionalis itu.

"Tak mungkin Dr Hassan akan masuk Umno dan saya tak fikir Umno akan terima Hassan.Kalau you (awak) berada di dalam PAS sebagai pimpinan apa you (awak) cakap boleh mengelirukan orang," katanya.

No comments: