Sunday, November 13, 2011

Futsal Media Alternatif: Harakah Naib Juara!

WAN NORDIN WAN YAACOB

Foto : FAZALLAH PIT

SUBANG JAYA : Buat pertama kalinya, pasukan Futsal Harakah menggondol gelaran Naib Juara dalam pertandingan Futsal Media Alternatif yang diadakan di Ferro Futsal, USJ 1Subang Jaya 12 November lalu.

Pasukan Harakah tewas kepada JKP Zon 6 pada perlawanan akhir melalui sepakan penalti setelah dalam masa permainan sebenar kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 6-6.





Harakah dibarisi oleh Mohd Nazri Abdullah, Wan Nordin Wan Yaacob, Mohd Faisal Tawang, Mohd Faizal Ezzany, Mohd Fauzi, Hafizi, Jimmie, Bard dan juga Mohd Shafri Shamsuddin.

Sementara JKP Zon 6 pula diwakili dua bekas pemain Kelantan dan skuad Malaysia tahun 90-an, Zami Mohd Noor dan Zambry Mohd Nor disamping beberapa tonggak utamanya.

Pada perlawanan peringkat kumpulan, Harakah berdepan laluan sukar diperingkat awal apabila tewas kepada Malaysianinsider pada perlawanan pertama.

Namun, berjaya bangkit pada perlawanan kedua bertemu Pilihan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dengan kemenangan 3-1.

Pada perlawanan peringkat seterusnya, Harakah berjaya menewaskan Free Malaysia Today-Malaysian Digest dan Suara Keadilan sebelum melangkah masuk ke separuh akhir bertemu semula Malaysianinsider.

Pada perlawanan separuh akhir, Harakah berjaya menewaskan Malaysianinsider dengan jaringan 3-1 untuk melangkah ke peringkat akhir bertemu JKP Zon 6.

Kejohanan Futsal Media Alternatif adalah kejohanan sulung media alternatif yang dianjurkan Harakahdaily dengan kerjasama JKP Zon 6.




Perasmian pembukaan kejohanan telah disempurnakan oleh bekas Presiden Kesatuan Sekerja Nasional (MTUC), Syed Shahrir Syed Mohamood.

Semasa merasmikan kejohanan itu, Syed Shahrir menyambut baik langkah Harakahdaily dan JKP Zon 6 menganjurkan kejohanan sedemikian sebagai usaha golongan media alternatif bersama orang ramai.

Sejumlah 10 pasukan menyertainya, namun pada saat akhir Malaysiakini menarik diri atas alasan kekurangan pemain.Sementara penyertaan TV Selangor pula dibatalkan berikutan insiden pergaduhan ketika menentang pasukan JKP Zon 6.

No comments: