WAN NORDIN WAN YAACOB
(Analisis)
Tanggal 27 April, Karangkraf telah berjaya mengadakan Wacana Rasuah Pemusnah Tamadun di Dewan Auditorium Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam.
Cukup baik penganjuran wacana sedemikian, dan yang lebih menarik wacana itu menghimpunkan tokoh-tokoh politik selain pihak yang cukup dekat dengan badan pencegahan rasuah.
Antara panelisnya ialah bekas Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaludin; bekas Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak), Senator Ezam Mohd Noor; Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato' Abu Kassim Mohammed serta Pengasas ESQ Leadership Centre, Ari Ginanjar Agustian.
Wacana ini sangat menarik dalam keadaan negara baru sahaja selesai berdepan dengan pilihan raya umum negeri Sarawak yang turut tidak terlepas daripada 'unsur rasuah'.
Walaupun Abu Kassim menyifatkan 'janji pembangunan' yang ditawarkan BN disetiap kali pilihan raya berlangsung bukan rasuah
Namun Abu Kassim sendiri pastinya tidak akan 'terlepas' dari maklumat 'taburan wang' yang diamalkan BN dalam setiap kali pilihan raya berlaku.
Berbicara dalam soal rasuah, negara tidak akan lupa bahawa Ezam adalah antara tokoh yang cukup kuat menentang amalan rasuah ini ketika beliau mengayuh perjuangan 'Api Reformasi' sejak tahun 1998 selepas Dato' Seri Anwar Ibrahim dipecat dari kerajaan Tun Dr Mahathir Mohammad.
Hebat telahan Ezam semasa berwacana di hadapan khalayak pelbagai latar termasuk aktivis anti rasuah, walaupun ramai yang melihat apa yang diperkatakan Ezam itu 'seperti Ezam ketika era reformasi'.
Dalam wacana anjuran Karangkraf itu, Ezam ada menyatakan "Bagi saya, satu-satunya cara paling berkesan melawan rasuah adalah dengan menolak ke tepi semua kepentingan politik dan peribadi, dan kembali kepada ajaran Islam".
Malah, Ezam melabelkan rasuah yang berlaku di Malaysia adalah masalah umat bukan sekadar masalah parti politik dan masalah negara.
Dengan membaca surah tertentu untuk merujuk bertapa penting amalan rasuah ini dibanteras, Ezam seolah-olah bercakap seperti beliau masih seorang 'pembangkang'.
Namun Ezam seakan lupa, kini beliau bergelar seorang Senator yang dilantik setelah menyertai Umno dan lantikan itu berlaku setelah Umno ditadbir oleh Dato' Seri Najib Tun Razak.
Suatu ketika dahulu, Ezam antara tokoh hebat yang pernah mendedahkan perlakuan rasuah dan penyelewengan membabitkan individu besar dalam Umno termasuk Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Selain itu Ezam juga dikatakan memiliki kononnya 'enam kotak' fail rasuah membabitkan pimpinan Umno era Tun Dr Mahathir, namun hingga kini enam kotak fail itu 'gagal' didedahkan setelah Ezam menyertai parti yang dihentam termasuk dalam 'sumpah keramat'nya.
Malangnya, sumpah keramat menentang kezaliman dan rasuah BN itu hanya tinggal sumpah, Ezam kini duduk dalam Umno yang sinonim dengan rasuah, dan paling menyedihkan, Ezam menjadi 'tok jogho' untuk menghentam Pakatan Rakyat terutamanya Anwar setelah menyertai Umno.
Berbanding hujah Mohammad Nizar yang lebih konsisten dengan mengajukan cadangan bahawa untuk menolak perlakuan rasuah hari ini hanya boleh dilakukan dengan menolak kerajaan pemerintah yang ada hari ini.
Bagi Nizar, amalan rasuah ini gagal diatasi oleh kerajaan, malah tokoh-tokoh pemimpin yang ada dalam kerajaan sendiri ramai yang terbabit dengan dakwaan rasuah.
Persoalan ini tidakpun disentuh oleh Ezam yang kini menjadi 'pemain utama' bagi pihak Umno dalam bercakap mengenai usaha menentang rasuah, walaupun dalam pemilihan parti nasionalis itu sah berlakunya rasuah.
Ia diakui oleh Tun Dr Mahathir selain keputusan kes ke atas Tan Sri Isa Samad dan Tan Sri Mohd Ali Rustam dalam kes politik wang semasa pemilihan beberapa tahun lalu hingga digantung.
Apakah perang rasuah yang dilaungkan Ezam layak untuk dibicarakan lagi, dan apakah laungan kononnya beliau berjuang kerana Islam 'relevan' dalam Umno yang mempunyai dasar sebaliknya, Ezam sendiri boleh menilainya...
Confidential Document
10 years ago
No comments:
Post a Comment