Friday, March 18, 2011

Antara dua darjat, rakyat dan bumi Sarawak perlu diselamatkan!



Oleh : WAN NORDIN WAN YAACOB
Foto : WAN ZAHARI WAN SALLEH
(Catatan Perjalanan)

Pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Sarawak bersama rombongan Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dan AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman memberi pengalaman yang baru kepada penulis.

Semasa penerbangan Kuala Lumpur ke Kuching, penulis dan rakan jurugambar, Wan Zahari Wan Mohd Salleh tidak bersama dengan rombongan PAS yang terlebih dahulu ke Sabah pada 10 Mac.

Penulis perlu mengikuti program Himpunan Tanah Sarawak yang dianjurkan Lajnah Tanah dan Wilayah PAS Pusat dengan kerjasama PAS Sarawak yang diadakan pada 13 Mac di sebuah restoran dekat Simpang Tiga Kuching.

Namun misi yang lebih penting ialah, menelusuri kehidupan masyarakat di Sarawak, lebih-lebih lagi ketika ini hangat diperkatakan tentang kekayaan luar Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan sanak-saudaranya, serta kroninya.

Hari pertama berada di Sarawak, penulis mula mendekati beberapa peniaga berketurunan Cina di kawasan Simpang Tiga berdekatan dengan penginapan penulis yang rata-ratanya cukup benci dengan Taib Mahmud.

Tanggal 13 Mac, sebaik bersarapan dengan Wan Zahari, penulis menaiki teksi untuk ke lokasi program yang terletak kira-kira 10 minit dari penginapan kami.

Terkejut penulis dengan telahan pemandu teksi, sebaik penulis bertanyakan tentang apa pandangan beliau terhadap Taib Mahmud.

"Ini orang perlu dijatuhkan, kami tidak mahu lagi dia, kita kena sokong Pakatan Rakyat.Di sini kita semua tidak suka dengan Taib, dia kaya, rakyat miskin, anak dia kaya, anak kami melarat," pemandu teksi menunjukkan rasa geram terhadap Taib Mahmud.

Sebaik tiba dilokasi, penulis bertemu dengan beberapa orang pelajar Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) yang turut menghadiri program anjuran PAS itu sebagai satu kajian dalam pengajian mereka.

Penulis turut mendapatkan pandangan beberapa mahasiswa Unimas tentang pemerintahan Taib Mahmud, dan daripada lima yang ditanya, empat memberikan respon agar rakyat Sarawak segera menjatuhkan Taib Mahmud sementara seorang lagi 'tidak pasti'.

Penulis kemudiannya masuk ke program Himpunan Tanah Sarawak.Program tersebut turut dihadiri oleh Pesuruhjaya PAS Sarawak, Adam Ahid dan pimpinan PAS Pusat yang tiba pada jam 9.00 pagi.

Rintihan demi rintihan daripada penduduk tempatan mengenai rampasan tanah didengari, dan pimpinan PAS cuba memberikan solusi kepada mereka termasuk solusi politik dengan perubahan pada pilihan raya negeri.

Isu paling besar ialah isu rampasan tanah, ujar Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Sarawak, Baru Bian ketika ditemui penulis sebaik tamatnya program Himpunan Tanah Rakyat Sarawak.

Ramai dikalangan rakyat yang tanahnya dirampas tidak mengetahui hak mereka, termasuk Kanun Tanah Sarawak yang cukup mudah dimanipulasi untuk kepentingan pemerintah yang zalim.

Sebaik habis program, penulis bersama aktivis PAS Sarawak, Umar Junid bergegas membuat tinjauan di sekitar Bandar Kuching.Nyata sangkaan penulis tepat, apabila menjengah kehidupan rakyat terutamanya di kawasan Setinggan Kampung Gita Baru rumah-rumah mereka begitu dhaif.

Ada yang sudah mahu menyembah bumi, dan mereka ini hidup dalam kemelataran di bumi sendiri dengan pekerjaan yang hanya mampu melahirkan pendapatan sekitar RM300 ke RM500 sebulan.

Tidak jauh dari Kg Gita Baru, terdapat perumahan ekslusif yang menempatkan Ketua Menteri, beberapa orang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Sarawak, pegawai-pagawai khasnya, dan kawasan santai yang cukup mewah.

Rumah Ketua Menteri sendiri cukup luas, mewah dan dikelilingi tasik buatan serta di belakangnya jajaran sungai, sementara di bahagian kanannya terdapat rumah-rumah mewah umpama istana dipercayai menempatkan beberapa pegawai dan Adun BN.

Tinjauan kami menghala ke pinggir Bandar Kuching melewati jajaran jalan tidak sampai dua Kilometer yang bertol, bukan sahaja kereta yang perlu mambayar tol, tetapi motorsikal turut dikenakan 50 sen.

Misi tinjauan di Kuching tamat pada jam 5, dan kami perlu bergegas ke lapangan Terbang Kuching untuk bertolak ke Miri pada jam 7.35 malam bersama rombongan PAS yang diketuai Tuan Ibrahim.

Sebaik tiba di Miri, kami bergegas ke satu program ceramah bersama masyarakat setempat di Dun Senadin di Taman Permai.

Sebaik selesai ceramah, penulis dan rombongan PAS bersama-sama ke markas PAS Miri yang terletak tidak jauh daripada kawasan ceramah.

Keesokkan harinya, (14 Mac), penulis mengikuti rombongan PAS meninjau kehidupan masyarakat pelbagai latar belakang di Miri.

Mulanya rombongan kami ke sebuah kawasan ekslusif di Luak Exsplanade di tepi pantai yang menempatkan rumah-rumah kroni Taib Mahmud yang mewah umpama Istana Sultan.

Ada sebuah rumah umpama di Miami dan Hawaii yang dibina betul-betul di tepi pantai dengan sekuritinya cukup ketat dan sukar untuk kami mendekati kawasan rumah berkenaan.

Selepas menjengah Luak Exsplanade, kami ke Kampung Pujut 2 di pinggir bandar Miri untuk bertemu beberapa suku kaum termasuk kaum Kayan di Setinggan Kg Pujut 2.

Apa yang dapat dilihat, keadaan rumah yang didirikan di atas air cukup dhaif dengan bekalan elektrik yang tiada serta kebersihan air dan persekitaran yang cukup mengerikan.

Tidak terjangkau dek fikiran, masih ada lagi rakyat Malaysia yang juga penduduk asal Sarawak ini duduk dalam 'air' dengan rumah yang akan runtuh bila-bila masa, malah mereka juga diancam akan diusir dari kawasan itu akibat desakan pembangunan.

"Kita tidak lagi mahu Taib Mahmud.Wakil rakyat PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) hanya tahu datang ketika mengundi, selepas mengundi mereka tidak datang lagi, mereka banyak tabur janji, tetapi mereka tidak tepati, kami sudah tidak mahu undi mereka lagi," luah Wan Jak yang merupakan individu penting di Kg Pujut 2.

Langkah pulang kami disusuli dengan perbincangan penulis, Mazlan dan Tuan Ibrahim bagi mencetuskan isu-isu berhubung kemiskinan dan kemelataran di Sarawak.

Jelas terpancar di wajah Tuan Ibrahim dan Mazlan akan kekecewaannya terhadap apa yang berlaku ke atas rakyat Sarawak, dan mereka mengulangi azam untuk tekad membantu rakyat Sarawak keluar dari belenggu kezaliman pemerintah BN.

Tanggal 15 Mac, penulis pulang ke Semenanjung dengan penerbangan AirAsia pada jam 9.55 pagi.Hati penulis sayu meninggalkan Bumi Kenyalang, bukan kerana keindahan buminya, tetapi mengenangkan nasib rakyatnya yang sangat tidak terbela oleh pemerintahnya yang kaya raya.

Bila-bila masa sahaja, rumah milik Wan Jak, Ngau Jok, Paya Daeng, Pricilia Emang, Petrus Ngau, Puyang Emang dan ramai lagi akan dirampas atas nama pembangunan, yang disebaliknya untuk kekayaan kroni.

Penulis sendiri akan datang lagi ke Sarawak, (itupun jika tidak ada sekatan di Imigresen Sarawak hanya kerana mengkisahkan kekayaan Taib Mahmud) sebelum pilihan raya negeri untuk lagi menerokai isu-isu membabitkan rakyat Sarawak.

Taib Mahmud dan kerajaannya harus menerima tekanan rakyat, dan tekanan itu boleh bermula dengan pemugaran isu-isu membabitkan pentadbiran beliau.

1 comment:

Hamdan Rukun said...

KEADAAN SAMA MACAM DALAM PAS. PEMIMPIN KAYA RAYA. ISTERI 2/3. RAKYAT DAN PENYOKONG HIDUP SUSAH.

DAHLAH SUSAH, DIPAKSA PULAK BUAT TABUNG BULUH UNTUK PAS.

TUAN IBRAHIM PULUHAN RIBU CASH, SENANG JER..