Monday, January 3, 2011

Tahun 2010 diwarnai kebobrokan Umno/BN memerintah negara

WAN NORDIN WAN YAACOB

Sudah hampir seminggu tahun 2010 ditinggalkan dengan pelbagai kisah suka dan duka berlaku sepanjang tahun tersebut.

Tahun 2010 bermula dengan suasana ekonomi negara berada pada tahap yang sangat 'membimbangkan', walaupun kerajaan pimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak melaungkan kerajaan berjaya mengatasinya dengan mengumumkan kononnya .

Namun paling menyedihkan rakyat dihidangkan dengan isu perkauman seawal sambutan Januari 2010 dimana insiden menyerang gereja, serangan ke atas masjid dan isu kalimah Allah sengaja dipropagandakan untuk memecahbelahkan rakyat.

Sementara program ‘Umno Juara Rakyat’ dilaporkan telah menelan lebih RM2 juta bagi meyempurnakan hasrat kerajaan untuk memastikan Umno digelar sebagai juara di mata rakyat.

Program itu disifatkan ramai merupakan satu pembaziran yang besar dan merugikan ketika rakyat dibebani dengan pelbagai bebanan akibat kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Sementara itu kerajaan terus menerus memangsakan rakyat dengan peruntukan untuk institusi-institusi pendidikan Melayu dikurangkan dengan begitu ketara dalam belanjawan 2010.

Bagi Institut Kemahiran Mara (IKM), peruntukan untuk tahun 2010 hanya RM143 juta berbanding RM403 juta bagi tahun 2009. Giat MARA hanya mendapat RM16 juta bagi tahun 2010 berbanding RM28 juta bagi 2009.

Bagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Koleh Sains MARA, peruntukan hanya tinggal RM115 juta untuk tahun 2010 berbanding RM254 juta pada tahun 2009.

Peruntukan kepada MARA dipotong-potong sehingga berjumlah RM 374,537 juta sahaja bagi tahun 2010 berbanding RM883,785 juta untuk 2009.

Pada tahun 2010 juga rakyat Kelantan dinafikan hak mendapat royalti minyak melalui kerajaan negeri dengan kerajaan pusat mengumumkan pemberian wang ehsan.

Awal tahun 2010 juga menyaksikan satu lagi titik hitam dalam sejarah demokrasi negara berlaku apabila kerajaan Umno/BN Perak yang terbina melalui rampasan kuasa akhirnya diperakui di mahkamah sebagai kerajaan yang sah.

Sementara itu, pertengahan Februari 2010 negara digemparkan dengan dakwaan Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tan Sri Nor Yaakcob), Hasbie Satar memiliki harta RM2 juta dan kemudiannya meletakkan jawatan akibat dakwaan itu.

Pada Mei 2010, kerajaan pimpinan Najib mengumumkan meluluskan lesen perjudian sukan sempena pertandingan Bola Sepak Piala Dunia 2010 dengan alasan hendak meminimakan perjudian tanpa lesen.

Masyarakat membantah keputusan kerajaan itu, malah kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat membuat keputusan mengharamkan perjudian tersebut di negeri masing-masing.

Bagaimanapun, ulama-ulama Umno berdiam diri, termasuklah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Jamil Khir Baharom yang menjaga hal ehwal agama Islam.

Pada ketika kita sampai ke penghujung tahun kedua Najib sebagai Perdana Menteri, negara masih tersangkut dengan persoalan-persoalan dan isu-isu yang belum diselesaikan, antaranya Isu dua enjin jet yang hilang sampai ke Uruguay dan kapal selam Scorpion bernilai berbilion-bilion ringgit yang enggan menyelam.

Sementara kemelut perbicaraan dalam skandal PKFZ bernilai RM12.5 bilion yang belum nampak jalan penamatnya walaupun bekas Presiden MCA, Tan Sri Ling Liong Sik telah diheret ke mahkamah.

Tahun 2010 juga menyaksikan SPRM tidak memutuskan hubungan dengan tuan politiknya dan tidak berhenti menjadi alat dan agen agenda politik Umno/BN sehingga melancarkan perang terhadap Pakatan Rakyat dan bukannya rasuah.

Beberapa negeri termasuk Selangor dan Kelantan dijadikan 'specimen' untuk akhbar arus perdana mencalar imej kerajaan Pakatan Rakyat dengan pelbagai dakwaan membabitkan karektor penting yang mentadbir kerajaan negeri tersebut.

Namun akhirnya SPRM sendiri terpaksa mengakui Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat bebas rasuah dan bersih.

Tahun 2010 juga menyaksikan daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa yang terus menjunam serta kehilangan FDI dari pasaran tempatan, malah keyakinan pelabur hari ini semakin pudar akibat permainan politik perkauman yang sempit oleh Umno/BN.

Kegagalan Najib mengumumkan model ekonomi baru, tambah lagi dengan masalah 'brain drain' (penghijrahan tenaga pakar) yang semakin serius, menunjukkan bahawa pentadbiran Najib tidak berazam untuk mentransformasikan kerajaan untuk bersaing di peringkat antarabangsa untuk mendapat bakat yang sesuai demi membebaskan Malaysia dari jerat pendapatan menengah dan melonjak ke kelas pendapatan tinggi.

Penindasan dan perbicaraan Ketua Pembangkang Parlimen, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam isu liwat kedua membabitkan bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.

Rakyat yang dahagakan perubahan iklim ekonomi terus diasak dengan kenaikan harga petrol Ron 97 pada bulan November, dan kemudiannya janji kerajaan untuk tidak menaikkan kadar petrol Ron 95 akhirnya dikhianati dengan awal Muharram (Disember) harga Ron 95 dinaikkan menjadi RM1.85 sen seliter berbanding RM1.80 sen sebelumnya.

Kenaikan ini mengundang kepada kenaikan harga barangan yang melampau bersekali dengan kenaikan harga gula yang meningkat 20 sen setiap kilogram menjadikan harga kini RM2.10 sen sekilogram.

Penghujung persidangan Parlimen, Umno/BN menutup persidangan terakhir bagi tahun 2010dengan membawa sejarah hitam dalam demokrasi negara apabila kerajaan menghukum Anwar dengan penggantungan selama enam bulan dari Parlimen hanya kerana pendedahan perjanjian kontrak antara kerajaan Malaysia dnegan firma perunding berkepentingan Israel, Apco Worldwide.

Walhal kerajaan langsung tidak memberikan ruang kepada Anwar untuk membawa semua keterengan dan dokumen dalam prosiding Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen yang bersidang sebelum itu.

Dalam pada isu penggantungan Anwar masih dibicarakan, media pro Umno membawa satu lagi laporan yang jelas berniat jahat apabila mendedahkan pandangan peribadi bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew terhadap kes liwat Anwar yang dilaporkan laman sesawang Wikileaks.

Meskipun pada masa yang sama laman tersebut turut mendedahkan pendirian diplomat negara jiran itu terhadap skandal pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribu dengan mengaitkan Najib, namu akhbar hanya mempopularkan isu berkaitan Anwar.

Cabaran Anwar agar Najib menjawab atau menafikan pendedahan Wikileaks itu berlalu sepi dari mendapat perhatian media tempatan terutamanya yang cenderung kepada Umno/BN.

Pada 1 Disember 2010, Umno mengumumkan penangguhan pemilihan parti 2011 selama 18 bulan, yang menyaksikan Umno sendiri bimbang dengan perpecahan yang boleh berlaku kerana pemilihan. Kemudian MCA pula menangguh pemilihan parti yang dijadualkan pada 2011, dipercayai mengikut langkah Umno.

Penghujung tahun 2010 juga menyaksikan kerajaan Umno/BN membela syarikat kroni, Syabas dan Puncak Niaga yang mahu menaikkan tarif air sehingga lebih 30 peratus yang akhirnya dibantah keras kerajaan negeri Selangor yang diwakili Pakatan Rakyat.

Penghujung 2010, Umno/BN terus menjalankan konspirasi untuk memecah dan menjatuhkan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat selepas berjaya menjatuhkan kerajaan Perak pada tahun 2009.

Selangor menjadi umpan dengan bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Dato' Muhammad Khusrin Munawi dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru.Pelantikan itu disifatkan pelbagai pihak terutamanya kerajaan Selangor sebagai mengkhianati amanah rakyat.

Begitupun, Umno/BN terlupa akan pekung sendiri yang tidak mampu ditutupnya apabila menjelang sambutan tahun baru 2011, seorang menterinya didakwa terbabit dengan skandal rogol amah.

Biarpun isu itu didiamkan akhbar arus perdana, namun blog-blog mula memeriahkan isu tersebut untuk kepimpinan Umno/BN menjawab atau menafikan dakwaan serius itu.

Sepanjang 2010, negara telah menyaksikan pelbagai bentuk pencabulan terhadap sistem demokrasi berparlimen, kenaikan harga barangan keperluan, fahaman jumud yang berasaskan sentimen perkauman sempit serta penindasan ke atas hak rakyat terbanyak.

Semua ini menyedarkan kita untuk menilai dan merenung kembali betapa pincangnya pentadbiran kerajaan sedia ada.Tahun 2011 biarkah ia menjadi tahun perubahan, sejajar dengan azam yang telah disematkan di setiap minda dan sanubari rakyat Malaysia.

Perubahan amat penting bagi menjamin kelangsungan generasi akan datang yang tidak lagi akan berhadapan dengan 'kerakusan' sebuah kerajaan yang gagal mempertahankan hak dan membela nasib rakyat.

Resepinya mudah, kerajaan yang sudah tidak lagi bermaya harus digantikan dengan kerajaan baru yang lebih prihatin, berintegriti dan berjiwa rakyat.Tawaran 100 hari Pakatan Rakyat jika menerajui kerajaan selepas PRU-13 harus diteliti rakyat untuk memulakan perubahan.

No comments: