Mahkamah julang Nizar, tolak rampasan kuasa!
WAN NORDIN WAN YAACOB
Tanggal 11 Mei, hari yang sama Umno sepatutnya merayakan hari ulang tahunnya yang ke 63, memberi satu sejarah hitam kepada parti nasionalis itu apabbila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin sah sebagai Menteri Besar Perak.
Suasana di luar kamar mahkamah sebelum Hakim Abdul Aziz Abd Rahim mengumumkan kemenangan cukup berdebar, pimpinan dan ahli Pakatan Rakyat yang menunggu diluar saling meneka sebarang kemungkinan keputusan.
Jam 2.30, kelibat Nizar kelihatan bersama isteri, Datin Seri Fatimah Taat dengan ditemani pimpinan Pakatan Rakyat lain, Dato' Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub; Dr Hatta Ramli; Dr Syed Azman Syed Ahmad; Ustazah Nuridah Salleh; Mumtaz Mat Nawi; Azmin Ali; Lim Kit Siang; Ngeh Ko Ham; Shamsul Iskandar Mat Akin; Nga Kor Ming dan sebagainya.
Mereka melangkah masuk ke mahkamah dengan iringan launagan takbir serta doa yang dibacakan para penyokong yang setia menanti sejak jam 1.00 petang lagi.
Suasana dalam mahkamah seperti sebuah pawagam tatkala filem box office ditayangkan, penuh sesak dengan wartawan dan penyokong serta pemerhati.
Tak kurang juga pegawai cawangan khas (SB) yang sejak dari awal lagi mencatat, mengambil gambar dan memerhati gerak geri setiap batang tubuh yang hadir di mahkamah untuk memberi sokongan kepada Nizar.
Pada awalnya, untuk melangkah naik ke tingkat 4 amatlah sukar memandangkan polis mengetatkan kawalan, dan beberapa wartawan akhbar berbahasa Cina tidak berjaya melepasi kawalan polis.
Penulis dan rakan-rakan dari webtvPAS menyusup masuk mengikut tangga untuk naik ke atas, dan sesampainya ketika itu Nizar baharu sahaja masuk ke mahkamah.
Ketika menanti di luar mahkamah, suasana penuh dengan tanda tanya, banyak spekulasi dan formula mula dibicarakan antaranya oleh Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin bersama beberapa pimpinan lain.
Akjkhirnya antara jam 3.00 petang, satu sms diterima Senator Mumtaz yang menyatakan bahawa 'Nizar menang' dan akhirnya layangan sms diperolehi mengesahkan kemenangan itu.
Beberapa minit kemudian, Ketua Penerangan KeADILan bersama beberapa pimpinan PAS keluar dari kamar mahkamah dan mengumumkan bahawa 'Nizar menang'.
Seluruh mahkamah gegak gempita dengan laungan takbir, dan semasa Nizar turun menuju ke bahagian lobi mahkamah, seluruh lensa dan perakam gambar serta perakam suara wartawan menghala kepadanya.
Sekali lagi laungan takbir bergema, suasana agak kalut kerana ketika itu juga penyokong mula mendekati Nizar untuk bersalaman mengucapkan tahniah.
Nizar bingkas dibawa ke sudut kiri tangga utama bangunan mahkamah untuk diberi peluang memberikan ucapan kepada seluruh penyokong dan media.
Buah mulut Nizar mudah, sejarah hari ini menunjukkan ia satu kemenangan rakyat, dan ia adalah tamparan kepada rampasan kuasa yang dilakukan BN sebelum ini.
Laungan takbir terus menerus bergema, Nizar tersenyum puas, perjuangannya yang dimeterai doa rakyat akhirnya berjaya, dan beliau kembali menjadi Menteri Besar yang sah dengan keputusan ini.
Confidential Document
10 years ago
1 comment:
Alhamdulillah...itulah hasil dari berkat kesabaran serta semangat yang kental.AllahhuAkbar....
Post a Comment