Thursday, February 5, 2009

Najib berjaya lahirkan katak, wujudkan kerajaan rasuah?



WAN NORDIN WAN YAACOB (Analisa)

Sukar bagi rakyat khasnya pengundi di Perak menerima 'game' yang sedang diusahakan Timbalan Perdana Menteri, Dato'Seri Najib Tun Razak untuk mengambil alih kerajaan negeri dari tangan Pakatan Rakyat.

Pengumuman yang dibuat Najib pada 4 Februari sekaligus membawa rakyat memperkatakan semula karektor beliau yang bakal mengambil alih teraju kepimpinan Umno/BN selepas ini.

Hanya dalam masa 11 hari, Adun Bota, Dato' Nasharudin Hashim 'tidur' lena dalam kelambu Pakatan Rakyat, akhirnya pepijat dan lipas yang datang dari luar mengusik dan membungkam mimpi indahnya.

Persoalan setia atau amanah poengundi serta moral mula diletakkan ke tepi tatkala 'janji manis' dihidangkan pepijat yang datang dengan kemewahan, menjanjikan kuasa dan segalanya.

Maka kembalilah Nasharudin ke 'lubang' neraka yang pernah dihentam ketika mengumumkan kemasukan ke dalam Parti Keadilan Rakyat 24 Januari lalu.

Ketika itu Umno bagi Nasharudin sudah tidak relevan, hancur dan tidak boleh dipercayai, namun benar peringatan seorang Penganalisis Politik, Amin Iskandar beberapa hari selepas Nasharudin menyertai KeADILan bahawa Adun Bota itu akan teruji dengan tawaran lumayan BN.

Namun 4 Februari mengubah segala-galanya, perihal Umno sudah tidak relevan yang disebut Adun Bota itu kini sebaliknya.Kegilaan 'lompat' 11 hari yang dilakukan Adun Bota didukung penuh oleh seluruh kepimpinan BN termasuk tiga Adun Pakatan Rakyat yang menyokong pembentukan kerajaan BN.

Malah Naib Presiden Umno, Tan Sri Mohd Ali Rustam yang mengecam keras tindakan Adun Bota menyertai KeADILan 24 Januari lalu, memuji dan mengagungkan lompatan semula Nasharudin ke dalam Umno.

Seperti kata Ketua Pengarang Kumpulan Karangkraf, Jalil Ali dalam komentarnya, perihal lompat ini sebenarnya memperlihatkan sikap sebenar mereka-mereka yang tidak bermaruah yang mempermainkan keputusan rakyat.

Namun pastinya rakyat, seperti kata Jalil dapat menilai sikap 'katak' ini kerana rakyat kini sudah tidak boleh diperbodohkan lagi.

Namun provokasi yang dicipta, menumbangkan sebuah kerajaan pilihan rakyat dari sebuah Pakatan Rakyat kepada parti elit ala Fatah yang kini berpengkalan di PWTC. Umno/BN ditumbangkan secara gentleman oleh rakyat di siang hari di 5 buah negeri melalui sistem demokrasi.

Najib sedar, pembubaran Dun bukan pilihan terbaik sepertimana gusarnya Mahmood Abbas untuk berdepan dengan rakyat Palestin, justeru umpan diperbanyakkan untuk memastikan Pakatan Rakyat jatuh tergolek.

Kekalahan BN di dalam PRU ke 12 diikuti PRK Permatang Pauh dan PRK Kuala Terengganu benar-benar menggugat kredibiliti Najib yang dipertanggungjawabkan oleh partinya.

Justeru jalan terbaik cuma melalui kaedah yang sedang dilaksanakan iaitu mencari kelompok yang mampu melompat dengan tawaran yang lumayan.

Ia benar-benar ganas. Ia pastinya suatu konspirasi. Ia sukar diterjemahkan. Ia amat licik. Pastinya ia karektor yang berpengalaman. Yang biasa dengan kerja-kerja investigation. Bukan sahaja jasad manusia boleh diuruskan, bahkan sistem yang diimaninya turut dibunuh. Saya fikir tiada gelaran sesuai untuk dihamburkan kepadanya selain Najib Pembunuh Demokrasi...

Kesempatan 'masalah besar' yang dihadapi Adun Changkat Jering dan Behrang dimanipulasi baik oleh Najib melalui risikannya, dan nyata kehilangan enam hari Jamaluddin dan Othman nyata membawa 'bala' kepada Pakatan Rakyat.


Lalu Najib danmedia arusperdana mencetuskan drama dengan menggunakan dua orang 'badut politik', yang berpentingan dan bermasalah untu menjatuhkan kerajaan negeri.

Dua 'badut sarkas' ini didakwa 'dibeli' untuk memasuki Umno-BN, dengan janji 'melepaskan' mereka dari pertuduhan rasuah, dan janji dikekalkan kerusi exco oleh pihak terbabit, jika BN berjaya membentuk kerajaan.

Drama yang tercetus di Perak berlaku hasil lakonan dua pihak yang mempunyai kepentingan tertentu iaitu di antara BN dengan dua Adun terbabit.

Namun mungkin Pakatan Rakyat perak boleh juga dipersalahkan apabila tidak mampu menghidu taktik kotor BN ini yang akhirnya membuahkan hasil membentuk kerajaan 'rasuah' yang disokong oleh katak-katak yang bermasalah.

BN menjangka imejnya akan pulih di Perak dengan menguasai kembali kerajaan negeri dengan kaedah ini, namun percaturan mereka tersilap.

Imej Umno-BN yang sudah sedia hodoh, sebagai parti yang paling korup dengan pelbagai tuduhan politik wang dan rasuah tidak akan dapat dipulihkan dengan kemasukan dua 'badut sarkas' ini.

Pertama, kerana keduanya terbabit dengan pertuduhan rasuah berat dan kemasukan mereka akan mencetuskan persepsi 'hanya perasuah sahaja yang diterima masuk dalam parti rasuah seperti Umno.'

Kedua, jika keduanya diterima masuk Umno dengan janji kes rasuah mereka akan digugurkan, ini akan mendorong rakyat semakin membenci Umno, kerana Umno jelas mengamalkan 'double-standard'.

Ketiga, jika keduanya masuk Umno dengan pelbagai tawaran lumayan sebagaimana yang disebutkan dalam afidavit Fauzi Muda, maka jelas Umno-BN yang 'meroyan' akibat kehilangan kuasa di Perak, mengamalkan taktik yang paling kotor, melanggari prinsip-prinsip demokrasi.

Keempat, BN mencemarkan imej Sultan Perak kerana mereka mencetuskan krisis dalam kerajaan negeri, pada ketika sepatutnya kerajaan dan rakyat merayakan pemerintahan ke 25 tahun Sultan Azlan Shah menaiki tahta.

Harus diingat, ketika Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim, mengalu-alukan kemasukan Ahli Parlimen (MP) BN, yang mahu berhijrah, beliau menerima kecaman yang amat hebat dari kalangan BN.

Dalam kes ini rata-rata rakyat Perak tahu menilai, bagi mereka konflik politik yang wujud di negeri ini, hasil ciptaan Umno-BN sendiri.

Peringatan Tun Dr Mahathir Mohamad perlu dipandang serius, adalah silap mengambil mereka yang bermasalah untuk membentuk kerajaan.

Dan, Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah ada melaungkan kutukan tindakan pemimpin Umno-BN yang merayakan pembentukan kerajaan BN di Perak sebagai tidak bermoral dan tidak menghormati pelantikan yang telah dibuat oleh Sultan Perak.

Terserah kepada rakyat yang bijak sana untuk menilai 'pembunuhan demokrasi' yang dilakukan Najib di Perak ini.

2 comments:

pasnational_unity said...

Kerajaan di dunia tidak kekal selama-lamanya.Memang UMNO/BN sedang menunggu saat ajalnya.Teruskan usaha, berdoa dan bertawakkal kepadaNya.Hanya kerajaan Allah SWT kekal selamanya.Ada hikmah disebaliknya.

Politiksukusakat said...

Takbirr, Tunggulah pertolongan Allah yang akan datang, sabar kuncinya