Friday, February 6, 2009

Kisah 'katak', Zambry dan Tajol yang 'gigit jari'

WAN NORDIN WAN YAACOB (Analisa)

Bekas Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali terkena dengan permainan 'politik' Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak apabila akhirnya, Adun Bota, Dato' Nasharudin Hashim kembali semula ke dalam Umno.

Ketika Adun Bota itu bertindak keluar '11 hari bercuti' bersama Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Tajol dihukum bak pesalah hinggakan jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Perak diserahkan kepada Najib.

Tajol yang 'murung' ketika menyerahkan jawatan kepada Najib akhirnya 'terlopong' apabila Nasharudin yang menjadi penyebab kepada kejatuhan beliau di Perak kembali dengan senyuman ke dalam Umno.

Malah kehadiran Nasharudin kali ini dianggap seperti wira oleh Najib dan pimpinan lain yang memuji tindakan itu, walaupun sebelum ini dihentam habis-habisan.

Lompatan yang dibuat Nasharudin selama 11 hari sesungguhnya mengena apabila Tajol juga turut tersungkur tanpa perlu hukuman itu dihadapkan semula kepada Adun Bota yang membina angkara.

Kini Tajol sekali lagi 'kempunan' dan 'gigit jari' apabila di hadapan mata beliau, Adun Pangkor, Dato' Dr Zambry Abdul Kadir mengangkat sumpah selaku Menteri Besar yang baru.

Biarpun dalam politik di Perak, Tajol adalah senior berbanding Zambry, namun Tajol terpaksa akur dengan tuan-tuan katak yang merancang lompatan jarak dekat itu.

Tuan katak pastinya sudah ketahui rancangan ini bakal menjadi untuk menumbangkan Pakatan Rakyat, seterusnya menggantikan MB yang akan akur kepada kehendak tuan punya
rancangan.

Bijak sungguh Najib merencana semua permainan ini, hingga yang melompat mengalahkan katak kembali dilihat sebagai 'kancil' yang bijaksana.

Sementara Tajol yang pernah memberi amaran untuk menjatuhkan kerajaan pada Ogos lalu terus menjadi 'pak turut' yang terpaksa melihat juniornya menerajui kerajaan yang pernah ditadbirnya sebelum ini.

Langsung tidak terduga Tajol akan perihal katak, dan kumpulan katak yang menyokong antara satu sama lain yang akhirnya bernaung di bawah satu tuan katak untuk menjerat
beliau.

Apakah Tajol kini mula memikirkan akan perancangan lain bagi memulihkan kedudukan beliau dalam parti yang menjatuhkan beliau, sama-sama kita lihat.

1 comment:

Mujahidah Fie Sabilillah said...

Assalamualaikum Warahmatullah.

Syukran atas ziarahnya. Moga senantiasa dalam keredhaan Allah.

Terima kasih atas kata-kata yang diberikan.