Thursday, February 19, 2009

Anwar dedah siapa punca derhaka dalam perbahasan titah ucapan YDPT AGONG di Dewan Rakyat

TEKS UCAPAN MENJUNJUNG KASIH KEPADA DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI PERTUAN AGONG OLEH: YANG BERHORMAT DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM AHLI PARLIMEN PERMATANG PAUH

Tan Sri Yang Di- Pertua,

Dengan penuh tanggungjawab saya Ahli Parlimen Permatang Pauh merangkap Ketua

Pembangkang, berdiri di sini untuk membahaskan titah ucapan Duli Yang Maha Mulia

Seri Paduka Baginda YDPA.

Tan Sri Yang Di Pertua,

Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen

dan sistem raja berperlembagaan, seharusnya memandang serius jika terdapat

kecurangan serta pelanggaran ke atas prinsip-prinsip demokratik.


Sukacita saya kerana DYMM Sri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong sewaktu

membacakan titah, Baginda ada menyatakan bahawa keluhuran Perlembagaan semestinya

dipelihara.(Perenggan ke 21 Titah YDPA)

Sesuai dengan gesaan Seri Paduka Baginda YDPA (Perenggan 22 Titah YDPA)

Perlembagaan selaku dokumen penting yang menjadi sendi kepada negara seharusnya

dihormati. Ianya menggariskan perimeter serta tanggungjawab sebuah negara kepada

rakyatnya, dan tanggungjawab rakyat kepada negaranya.

Membicarakan demokrasi berparlimen dan sistem raja berperlembagaan di negara ini,

kita pasti tidak terlepas dari membicarakan permahsyuran kemerdekaan yang dibaca

oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj:

“Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada

disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang

Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk

memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai

sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan

demokrasi cara Parlimen.”

Tan Sri Yang Di Pertua,

Ada 3 perkara utama yang menjadi asas kepada permahsyuran tersebut:
1) Keutamaan Raja-Raja Melayu
2) Hak Asasi dan Kebebasan Rakyat Malaysia
3) Sebuah negara aman makmur, yang mengamalkan sistem demokrasi dan raja

berperlembagaan serta kedaulatan undang-undang nya terjaga dan tidak diceroboh.

Permahsyuran ini merupakan satu aspirasi yang ucapkan dari seorang pejuang

kemerdekaan, yang ingin kan negara nya tetap berdiri teguh walau untuk seribu

tahun lagi. Namun janganlah kita lupa apa yang dizahirkan dari permahsyuran ini

bukannya kehendak dari seorang sahaja, akan tetapi ia adalah penzahiran dan

manifestasi iltizam rakyat keseluruhannya walau apapun latar etnik dan agamanya.

Mutakhir ini sering sekali perkataan “derhaka” dilaung-laungkan, dan digunakan

demi kepentingan politik segelintir. Muflis etika dalam berpolitik lalu mendorong

Umno menggunakan sentimen kaum demi merencatkan arus Perubahan yang melanda.

Lebih parah lagi media yang sanggup untuk ditunggangi oleh politik sebegini,

siang malam memintal propaganda sedemikian rupa demi melaga-lagakan institusi

Raja dengan Pakatan Rakyat.

Saya menyeru Dewan Yang Mulia ini marilah kita menghimbau kisah Si Kitul dengan

rakan konspirasinya Raja Mendeliar, yang tercatat dalam teks klasik; Sejarah

Melayu. Akibat hasutan dan fitnah Si Kitul dan dikuatkan pula dengan kekayaan

Raja Mendeliar, laksamana akhirnya termakan umpan lalu menyampaikan kepada sultan

bahawa bendahara cuba untuk menderhaka.

Apabila dipersembahkan oleh laksamana bahawa bendahara akan menderhaka, Sultan

terus membuat keputusan tanpa usul periksa dengan membunuh bendahara dan seisi

keluarganya kecuali Tun Fatimah.

Betapa bahayanya dakyah serta fitnah yang direkayasa oleh si kitul dan raja

mendeliar ini. Mengadu domba lalu bertindak memporak-perandakan kesultanan dan

pemerintahan ketika itu.

Sekarang muncul kembali si kitul dan raja mendeliar moden; iaitu media yang tidak

bertanggungjawab dan rakan konspirasinya; kerajaan Umno-Bn. Tetap setia bersama

dalam meneruskan agenda mengadu domba dan merosakkan sistem dengan rasuah dan

politik konspirasi demi kepentingan segelintir. Retorik sama masih diulang-ulang,

“derhaka,derhaka,derhaka.”

Sekonyong-konyong mereka lah pejuang hak umat Melayu yang sejati dan murni.

Sentiasa siap kononnya mempertahankan hak Melayu. Hak untuk terus

bermaharajalela, memastikan rasuah tetap berleluasa dan khazanah dirampok atas

nama komisen?

Lupakah mereka akan pindaan Perlembagaan 1993? Angkara siapakah ini? Sewaktu PM

di kala itu memburuk-burukkan imej Institusi Raja-Raja Melayu, apakah media

seperti Utusan Malaysia mempertahankan kemuliaan Raja-Raja Melayu? Bahkan mereka

yang lebih sudu dari kuah. Kononnya semua mendakap semangat Hang Jebat. Apabila

martabat Bahasa Melayu dinjak-injak semuanya menikus.

Pada 18 Januari 1993 ketika membentangkan Rang Undang-Undang Akta

Perlembagaan(Pindaan) dalam Dewan Yang Mulia ini, Perdana Menteri di saat itu ada

menyebut:

Oleh itu lahirlah pendapat bahawa Raja perlu diletak di bawah suatu Perlembagaan

yang menentukan kedudukan dan peranan Raja. Dengan cara ini Raja tidak lagi boleh

bertindak dengan sewenang-wenangnya. Kuasa Raja akan ditentukan oleh

Perlembagaan, iaitu undang-undang asas negara. Namun ada Raja yang sanggup

menyerahkan negeri sendiri kepada kuasa asing tanpa menghiraukan Perlembagaan.

Ini adalah perkataan YAB Perdana Menteri ketika itu. Ayat terakhir ternyata

bernada menghina Institusi Raja. Yang pasti tidak ada siapa yang berani

menghunjam tangan ke langit sambil meneriakkan derhaka!

Kesan dari pindaan Perlembagaan tahun 1993 itu, kita lihat kekebalan Raja-Raja

Melayu telah ditarik oleh kekuasaan politik Umno. Perkara 181(2) misalnya

mengalami pindaan drastik dengan wujudnya mahkamah khas untuk mendengar kes-kes

yang membabitkan Raja-Raja Melayu sekalian.
Mungkin ada dalam Dewan ini menuding jari ke arah saya bahawa saya juga

sebahagian dari pentadbiran pada waktu itu, namun ingin saya tegaskan di sini

sepanjang kempen penerangan tahun 1993, yang sering saya ulangi ialah kembalikan

kekuasaan kepada rakyat.

Malah saya giat berunding dengan Raja-Raja Melayu untuk mencapai persepakatan

terutamanya dengan Sultan Azlan Shah, Seri Paduka Baginda YDPA ketika itu.

Gesaan segelintir yang meminta-minta agar sesiapa yang memperkatakan berkenaan

peruntukan-peruntukan yang ada dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak serta

Perlembagaan Persekutuan ditahan di bawah ISA sungguh tidak bertanggungjawab.

Apa yang saya utarakan tidak bercanggah bahkan selari dengan aspirasi yang

tertuang dalam Perlembagaan Persekutuan serta Sistem Raja Berperlembagaan negara

ini. Malah laungan derhaka yang ditujukan kepada Pakatan Rakyat( contoh: YB

Karpal Singh) itulah yang membelakangkan semangat Sistem Raja Berperlembagaan.

Mereka itulah yang sebenarnya menderhaka, bukan sahaja kepada Institusi Raja yang

bertanggungjawab melindungi Perlembagaan, akan tetapi juga kepada Rakyat.

Tan Sri Yang Di Pertua,

Tindakan Umno yang berpolitik sehingga sanggup membelakangkan Undang-Undang Tubuh

Negeri Perak sebenarnya mencemar kemuliaan Institusi Raja-Raja Melayu.

Sayugia diingatkan demi dicatatkan secara rasmi dalam Dewan Yang Mulia ini,

ketika berucap di konvensyen Parti Keadilan Rakyat ke 5 tempoh hari saya bahkan

mencadangkan agar imuniti/kekebalan Raja-Raja Melayu dikembalikan sejajar dengan

Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

Kita berpegang pada prinsip rex non potest peccare iaitu raja tidak melakukan

kesalahan selagi mana dia berada dalam perimeter/sempadan undang-undang. But

Kings, that could not wrong, because Their Power was circumscrib’d by Laws( Raja

tidak melakukan kesalahan kerana kuasa mereka terikat dengan undang-undang) kata

Bernard Mandeville dalam The Grumbling Hive (1705).

Umum mengetahui Perlembagaan kita mengambil model perlembagaan Westminster. Tidak

terelakkan wacana perlembagaan sebegini pastinya terkesan dengan debat di antara

pemikir Inggeris John Locke dan Thomas Hobbes. Karya mereka; Two Treatises of

Government dan Leviathan menjadi rujukan akan apakah konsepsi asas akan sesuatu

Perlembagaan sesebuah negara itu.

Oleh kerana itu kebebasan, demokrasi dan semangat perlembagaan sering dicemuh

kononnya meniru acuan barat. Saya mengambil kesempatan untuk membawa ahli

parlimen sekalian merenung karya Bukhari al-Jauhari, ditulis di Acheh dan terbit

sekitar tahun 1603 yang berjudul Taj-us Salatin (Mahkota Segala Raja):

“Sesungguhnya Allah Taala menitahkan akan adil dan ihsan…dan barang siapa

daripada raja-raja yang tiada dua peri ini padanya tiada dapat dibilang raja

adanya.”

M.B Hooker di dalam Islam in South-East Asia mungkin sahaja tidak bersetuju

dengan pendekatan Bukhari al Jauhari, yang menurut beliau berhujah dengan

mengambil asas-asas agama Islam, lalu menggunakannya bagi membentuk satu faham

politik tinggi demi kesejahteraan rakyat dan negara. Namun Hooker lupa John Locke

juga mengambil pendekatan yang sama apabila menulis Two Treatises of Government

yang mulai beredar pada tahun 1689 dengan nama De Morbo Gallico( Penyakit

Peranchis), 86 tahun selepas Taj-us Salatin ditulis.

Perhatikan bahawa pada abad ke 17 sudah ada pemikir Melayu yang mengutarakan

betapa sang pemerintah memiliki sempadannya. Batasan inilah dalam sistem

perundangan moden sekarang, kita kenal sebagai Perlembagaan. Ianya bukan

semata-semata acuan barat. Kita orang Melayu sudah lama berakar beradat dengan

fahaman politik yang menjunjung tinggi keadilan dan menentang kezaliman.

Marilah kita bersama-sama merenungi Hikayat Hang Tuah, Bab 15, apabila Bendahara

Paduka Raja bertindak menyalahi keputusan Sultan Melaka ketika itu. Sang

Bendahara memutuskan untuk tidak membunuh Tun Tuah dan disembunyikan di Hulu

Melaka.

Derhaka Bendahara Paduka Raja bukannya derhaka Jebat. Malah sikap memanda menteri

itu mempunyai persamaan dengan sikap Edmund Burke yang berselisih pendapat dengan

Thomas Paine, penulis Rights of Man itu. Pemikiran Burke tercurah dalam dalam

karya Reflections on French Revolutiuon (Permenungan Ke atas Revolusi Peranchis).

Kita perlu mendalami apakah sebenarnya imajinasi Hikayat Hang Tuah itu, karya

klasik Melayu, yang berupaya membentuk peribadi serta kebudayaan kita.

Membaca Karya tersebut bahkan menerbitkan kekaguman betapa sesungguhnya ada

penulis di alam Melayu ini setanding dengan Edmund Burke dan pemikiran politik

yang setara dengan Reflections on French Revolution.

Sikap Bendahara Paduka Raja itulah hendak kita garap dan hayati. Kita seharusnya

mengambil iktibar dari sikap serta tindak Bendahara Paduka Raja yang berani untuk

menegakkan keadilan. Bayangkan pada abad ke 16 seorang memanda menteri sanggup

untuk tidak melaksanakan perintah Sultan Melaka, dan pada masa yang sama yakin

kedaulatan undang-undang tidak boleh diceroboh, kerana ianya hanya membawa

kehancuran kepada negara.

Bukannya derhaka kepada sultan yang terpancar dari kisah tersebut, bukan

perderhakaan Jebat yang harus kita war warkan. Bahkan karya tersebut menjadi

wahana bagi membentuk pemikiran politik moden, bahawa pemerintah sesungguhnya

mempunyai garis sempadan. Pemerintahan serta kekuasaan mutlak hanya mencetus

ketidakadilan.

Wajar menjadi satu peringatan dalam Dewan Yang Mulia ini, sesebuah negara yang

tidak mampu mencetuskan perubahan, pastinya tidak mampu untuk terus gemilang

apatah lagi menjaga adat serta tradisi.

Maka apabila MB Perak yang sah, YAB Dato Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memilih

untuk terus kekal sebagai MB Perak, beliau hanya menuruti semangat dan peruntukan

Perlembagaan yang tersedia. Semangat Bendahara Paduka Raja terserlah pada sikap

YAB Dato’ Seri Mohammad Nizar.

Baik sekali menurut pandangan saya dan demi kemuliaan Dewan Yang Mulia ini untuk

menukilkan apa yang ditulis oleh KDYMM Sultan Perak dalam karya baginda yang

berjudul Constitutional Monarchy, Rule Of law and Good Governance:

“Under normal circumstances, it is taken for granted that the Yang di-Pertuan

Agong would not withhold his consent to a request for dissolution of parliament.

His role is purely formal.”

PENCABULAN DEMOKRASI

1. Pilihanraya umum 8 Mac 2008 yang lalu telah memberi kejutan besar kepada UMNO

dan BN berikutan kemenangan 82 kerusi parlimen pembangkang dan kegagalan BN

berkuasa di lima buah negeri. Hasil keputusan pilihanraya tersebut, Pakatan

Rakyat mendapat mandat untuk membentuk kerajaan di negeri-negeri Pulau Pinang,

Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor.

2. Namun, dari awal lagi, rentetan peristiwa menunjukkan BN tidak bersedia

menerima kehilangan kuasa dengan semangat demokrasi khasnya di Perak, Kedah dan

Selangor. Percubaan demi percubaan dilakukan untuk menggagalkan pembentukan

kerajaan Pakatan Rakyat di beberapa buah negeri melalui perlakuan jenayah seperti

penculikan, ugutan dan rasuah. Ini berbeza dengan pendirian Pakatan Rakyat. Kita

menganjurkan pertukaran kerajaan melalui sokongan terbuka terhadap agenda

reformasi dalam menghadapi kemelut kepimpinan politik yang bergelumang dengan

rasuah, menangani krisis ekonomi yang kian parah, menangani krisis sosial dan

jenayah yang membimbangkan rakyat. Bukannya dengan cara menculik, mengugut dan

merasuah!

PERAK DARUL RIDZUAN

3. Percubaan awal dilakukan sejurus selepas selesainya pilihanraya. Saya

mempunyai bukti pengakuan bersumpah mengenai penglibatan langsung Timbalan

Perdana Menteri sendiri dalam percubaan untuk menggagalkan pembentukan Kerajaan

Pakatan Rakyat di Perak.

4. Dalam Surat Akuan bersumpah oleh Fauzi Muda [Ketua Bahagian PKR Ipoh Barat],

beliau mengaku bahawa pada 11 Mac 2008, beliau telah dibawa bertemu untuk

berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri di kediaman resminya di Putrajaya.

Beliau mendedahkan, “Dalam perbincangan tersebut, Dato’ Seri Najib telah merayu

kepada saya agar dapat membantu bagi memujuk sekurang-kurangnya dua orang ADUN

Negeri Perak dari PKR agar lompat kepada UMNO atau menjadi sebagai wakil Bebas.

Beliau sanggup menawarkan kepada saya sebanyak RM 50 juta bagi tujuan tersebut

dan terpulang kepada saya berapa jumlah yang saya hendak bayar kepada mana-mana

ADUN PR yang mahu lompat.”

5. Namun demikian, percubaan tersebut gagal untuk menghalang pembentukan Kerajaan

Pakatan Rakyat Perak di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Mohammad Nizar

Jamaluddin. Kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Nizar berupaya mentadbir negeri

sekalipun terpaksa menghadapi diskriminasi dan tekanan BN yang memperalatkan

pelbagai agensi di bawah kementerian-kementerian Kerajaan Persekutuan.

6. Setelah percubaan awal BN gagal, ianya disusuli dengan tindakan mendakwa dua

exco Perak atas tuduhan rasuah pada 25 Ogos 2008 dengan tujuan menjerumuskan

kerajaan Pakatan Rakyat Perak dalam kancah krisis. Percubaan ini juga gagal

apabila dua exco tersebut mengemukakan pembelaan di mahkamah dan memfailkan saman

terhadap Badan Pencegah Rasuah.

7. Dalam akuan bersumpah Fauzi Muda, beliau mendedahkan lagi, “Usaha mereka

memujuk saya bagi tujuan tersebut semakin kerap semenjak kes dua Exco PKR yang

didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah. Mereka mensasarkan kedua-dua Exco

tersebut agar dapat dipujuk dan kali terakhir ialah sebelum hari Tahun Baru Cina

dimana mereka telah berjumpa saya dan menawarkan jika kedua-dua Exco tersebut

bersetuju untuk melompat dari PKR, Dato’ Seri Najib bersedia membayar sebanyak RM

5 juta bagi setiap orang termasuk habuan untuk saya RM 5 juta.”

8. Percubaan menggugat Kerajaan Pakatan Rakyat Perak memuncak sejurus Timbalan

Perdana Menteri mengambil alih jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO dan BN Negeri

Perak berikutan perletakan jawatan Datuk Seri Mohd Tajul Rosli selepas ADUN Bota

Datuk Nasarudin Hashim bertindak keluar UMNO dan dengan rela hati menyertai PKR

pada 25 Januari 2008.

9. Secara mendadak, Negeri Perak dikejutkan pula dengan kehilangan dua exco

Kerajaan Negeri yang juga ADUN Changkat Jering dan ADUN Behrang. Begitu juga

dengan kehilangan ADUN Jelapang dan ADUN Bota sehinggalah mereka muncul dalam

sidang media bersama Timbalan Perdana Menteri pada 4 Februari 2009. Dalam sidang

media itu, Timbalan Perdana Menteri sendiri mengumumkan Kerajaan Pakatan Rakyat

Perak pimpinan Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tumbang dengan dakwaan BN

kini mempunyai majoriti. Kesemua sandiwara ini berlaku dengan latarbelakang

insiden ADUN-ADUN diculik, disembunyikan, diugut atau dirasuah.

KEDAH DARUL AMAN

1. Saya mempunyai bukti dan keterangan bahawa seawal April 2008, percubaan

dilakukan oleh ejen-ejen BN untuk merasuah atau mengugut ADUN-ADUN PR khasnya

lima ADUN dari PKR dengan tujuan menumbangkan Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah di

bawah kepimpinan Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

2. Saya mendapat laporan bahawa pada 11 April 2008 ADUN Kulim, YB Lim Soo Nee

dari PKR, telah dihubungi untuk oleh seorang ejen BN yang mewakili Datuk Seri

Mahazir Khalid (Pengerusi BN Kedah dan bekas MB) untuk memujuk supaya YB Lim

lompat parti daripada PKR ke BN dengan tawaran RM 4 juta. Tawaran itu kemudiannya

dinaikkan kepada RM 5 juta. Perjumpaan juga boleh diatur untuk menemukan YB Lim

dengan Datuk Seri Mahazir Khalid dan Timbalan Perdana Menteri. ADUN Kulim ini

diganggu dengan tawaran dan pujukan melompat parti sepanjang bulan April, Mei,

Jun dan Julai 2008.

3. Apa yang mengejutkan saya, ADUN Lunas YB Lim telah membuat aduan kepada Badan

Pencegah Rasuah berhubung hal percubaan ejen-ejen BN untuk membeli beliau. BPR

bersetuju mengatur strategi dan menjadikan YB Lim sebagai “umpan”. Pertemuan demi

pertemuan diatur oleh ejen-ejen BN dengan YB Lim dan kesemuanya ada dalam

makluman dan pemantauan BPR.

4. Kemuncak pemantauan ini ialah pertemuan di antara bekas MB Kedah dengan YB Lim

di sebuah botel di Seberang Jaya pada akhir 2008. Pertemuan ini dirakam melalui

CCTV yang diatur dengan pengetahuan BPR. Tiada tindakan susulan diambil,

sebaliknya saya difahamkan pegawai BPR yang bertanggungjawab dalam operasi ini

kemudiannya ditukar.

5. Dalam kes bekas Exco Kedah Arumugam A/L Vengatarakoo yang meletak jawatan

baru-baru ini, saya telah diberitahu pelbagai ancaman dan ugutan telah dilakukan

terhadap beliau. Tiga repot polis telah dibuat mengenai ancaman tersebut.

6. Pada 1 April 2008, pembantu khas kepada Arumugam membuat aduan polis [No.

Repot: SG PETANI/005907/08] bahawa beliau menerima panggilan telefon yang

mengancam beliau dan Arumugam supaya jangan terlalu aktif dalam politik dan

sekiranya ingkar akan berlaku perkara yang tidak baik seperti mendiang Joe

Fernandez [ADUN Lunas yang mati ditembak beberapa tahun lalu].

7. Pada 18 Oktober 2008, YB Arumugam membuat aduan polis [No. Repot: SG

PETANI/020426/08] bahawa beliau bimbangkan keselamatan diri dan keluarganya

apabila didatangi oleh dua lelaki yang mempunyai niat serong terhadap Arumugam.

8. Pada 17 Disember 2008, YB Arumugam membuat aduan polis [No. Repot: SG

PETANI/025421/08] bahawa cermin belakang kereta rasmi Exco Kerajaan yang

dipakainya telah dipecahkan oleh orang yang tidak dikenali.

SALAHLAKU SPR

1. Saya amat sangsi dengan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)

berhubung dengan keengganannya menjalankan pilihanraya kecil bagi DUN Changkat

Jering dan Behrang.

2. Pada 1hb Febuari 2009 Speaker DUN Perak telah mengeluarkan surat perletakan

jawatan ADUN Changkat Jering dan Behrang yang ditandatangani oleh kedua-dua ADUN.

Pada 2 Februari 2009 Speaker DUN telah mengemukakan surat pemberitahuan mengenai

kekosongan kerusi Changkat Jering dan Behrang kepada SPR.

3. Pada 3hb Februari 2009 SPR umumkan bahawa kerusi Changkat Jering dan Behrang

tidak dikosongkan. Keputusan mengejut SPR ini ternyata membelakangkan notis

kekosongan yang dimaklumkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak. Alasan SPR

bahawa ia mempunyai kuasa di bawah Seksyen 12(3) Akta Pilihanraya 1958 untuk

menentukan keabsahan kekosongan kerusi tersebut setelah menerima notis kekosongan

dari Speaker DUN Perak amat memeranjatkan, tidak munasabah dan tidak pernah

berlaku sebelum ini (unprecedented).

4. Saya mempersoalkan keputusan SPR ini atas dua alasan. Pertamanya sebagai

sebuah badan yang dibentuk menurut Perlembagaan, SPR harus berfungsi dan

bertindak mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Menurut Perkara 113

Perlembagaan Persekutuan, fungsi SPR disebutkan dengan jelas, iaitu menjalankan

pilihanraya, menyediakan daftar pemilih dan menjalan ulangkaji pensempadanan

bahagian pilihanraya.

5. Yang kedua, tugas sebenar SPR apabila menerima surat kekosongan kerusi dari

Speaker Dewan hanyalah untuk menetapkan tarikh kekosongan kerusi itu berlaku bagi

tujuan mengeluarkan writ pilihanraya. Ini dinyatakan dengan jelas dalam Seksyen

12(3) Akta Pilihanraya 1958, iaitu “Berkenaan dengan sesuatu kekosongan yang akan

dipenuhi dengan sesuatu pilihanraya kecil, writ hendaklah dikeluarkan tidak

dahulu daripada sepuluh hari dan tidak lewat daripada tiga puluh hari dari tarikh

kekosongan itu disahkan berlaku oleh Suruhanjaya Pilihan Raya”. Pendirian yang

sama turut dinyatakan secara terbuka oleh bekas Pengerusi SPR Tan Sri Ab. Rashid

Ab. Rahman ketika diwawancara oleh media tempatan.

No comments: