Thursday, January 29, 2009

Negeri Sembilan akan beralih pemerintahan, MB bakal buat kejutan?



Sekonyong selepas Adun Bota ({erak), Dato' Nasharudin Hashim menyertai Pakatan Rakyat secara mengejut, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Mohamad Hassan tanpa diprovokasi mengeluarkan kenyataan mendakwa Adun-adun BN di negeri ini pernah dipujuk sertai pakatan, namun tidak berjaya.Apa sebenarnya muslihat kenyataan ini hanya MB sahaja yang tahu kerana sebelum ini ada ura-ura kerajaan negeri akan tumbang kerana Adun BN terutamanya Umno akan menyertai pakatan.Mengupas isu ini, WAN NORDIN WAN YAACOB menemui Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifly Mohamed Omar pada 29 Januari di Ampangan.

Soalan : Assalamulaikum saudara!.Semalam (28 Januari 2009) MB Negeri Sembilan ada mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan yang dibinanya kukuh walaupun ada usaha menarika Adun BN menyertai Pakatan Rakyat, apa sebabnya MB menyatakan demikian, dan apa ulasan saudara?


Zulkifly : Waalaikumsalam, saya melihat dakwaan yang menyatakan kerajaan negeri ini kukuh adalah tidak benar kerana kalau kita lihat Pakatan Rakyat dah berjaya nafikan majoriti dua pertiga BN di sini dalam pilihan raya umum Mac 2008.Bagaimana MB boleh katakan bahawa kerajana negeri itu kukuh? Dalam keadaan hari ini di Dewan Undangan Negeri, BN tidak boleh membuat keputusan apa-apa jika tanpa sokongan kita kerana mereka hilang majoriti dua pertiga membentuk kerajaan negeri.Yang membezakan kita dengan kerajana BN hari ini ialah hanya empat kerusia sahaja dimana jika kita berjaya dalam masa terdekat memiliki tiga kerusi sahaja bermakna kita memiliki kerusi yang sama dnegan BN, jadi saya melihat kenyataan MB bahawa tidak ada perpindahan Adun BN ke Pakatan Rakyat hanyalah untuk menenangkan keadaan sahaja bahawa di negeri ini tak berlaku lompat melompat kononnya kerajaan ini stabil.

Namun perlu diingat 'air yang tenang jangan disangka tiada buaya' begitu juga politik di negeri ini yang mana sebarang kemungkinan yang luar biasa boleh berlaku.Perkara luar jangkaan boleh berlaku mutakhir ini, macam di Perak Umno/BN kata akan ada Adun Pakatan Rakyat akan menyertai BN Ogos 2008, namun akhirnya tanpa disangka Adun BN Bota pula yang menyertai KeADILan, ini satu yang tidak kita sangkakan.Di Negeri ini juga sedemikian, sebarang kemungkinan boleh berlaku lebih-lebih lagi kerajaan negeri yang dibina Umno/BN hanya lebih empat kerusi, satu keadaan yang tidak kukuh sebenarnya.Di negeri ini kita tidak menawarkan Adun-adun BN jawatan mahupun kedudukan jika bersama dengan kita, tetapi dalam ceramah-ceramah atau seminar PAS sering mengalukan pemimpin Umno/BN yang tidak rasuah, yang tidak suka kepada kronisme, yang jujur kepada rakyat dan yang bersih untuk berjuang dengan PAS/Pakatan Rakyat membela nasib rakyat.

Lebih baik mereka bersama dengan PAS berbanding BN yang bermasalah.Mereka ini sebenarnya berjiwa rakyat tetapi mereka duduk dalam Umno/BN yang sudah semakin parah keadaannya.Sebenarnya di negeri ini ada beberapa wakil rakyat Umno/BN yang saya kira mereka ini bersih dan tidak terlibat dengan skandal, mereka ini tidak sesuai duduk dalam Umno dan kita menawarkan mereka menyertai Pakatan Rakyat untuk berjuang.Agenda perubahan bukan tanggungjawab Pakatan Rakyat sahaja tetapi seluruh pemimpin politik, bagi saya jika pemimpin Umno sendiri mahu melihat adanya perubahan mereka juga perlu menggerakkan perubahan itu, tetapi bukan dalam Umno, sebaliknya menyertai PAS dan Pakatan Rakyat.



Soalan : Realiti pilihan raya lalu membuktikan Umno boleh jatuh.Usaha membentuk kerajaan negeri akan terus dilakukan, namun jika terbentuknya kerajaan negeri apakah perancangan Pakatan Rakyat itu sendiri termasuk siapa yang akan menerajui pentadbiran?



Zulkifly : Kalau tubuhnya kerajaan negeri, perlembagaan telah menetapkan Menteri Besar adalah Melayu Islam, itu tidak pernah dipertikaikan oleh komponen Pakatan Rakyat yang lain, kedudukan PAS di Negeri Sembilan sama macam Perak, kuasa Yang diPertuan Besar adalah mutlak untuk menentukan kedudukan MB ini, justeri tidak timbul masalah atau pertikaian.Yang jadi persoalan ialah kedudukan politik negeri ini baik untuk rakyat, dan kedudukan kerusi sebenarnya DAP bertanidng 11 menang 10 kerusi, ini satu pencapaian yang cukup baik kepada parti itu, dan kedudukan PAS sebenarnya kita kalah dibeberapa buah kerusi hanya sekitar tiga hingga empat peratus sahaja, iaitu empat kerusi antaranya Dun Lenggeng, Klawang, Johol dan Bagan Pinang.Jadi kerusi ini bergitu berpotensi kepada PAS.Jadi dengan perkembangan yang berlaku di Kuala Terengganu yang menyaksikan sokongan Melayu kepada PAS mula meningkat, saya yakin dengan 'mood' yang ada sokongan di kawasan Melayu yang kita kalah tipis akan mampu dimenangi.Jika dalam masa terdekat berlakunya perubahan, saya yakin perubahan itu akan menjurus kepada sokongan Umno kepada PAS, dan Pakatan Rakyat yang lain, sebab dalam kedudukan kerusi kita (PAS) yang banyak bertanding.Dalam Pru-12 kita bertanding di kawasan luar bandar yang menyebabkan banyak kerusi kita kalah, tetapi saya yakin sokongan mula diterjemah oleh mereka ini selepas melihat kemelut ekonomi, masalah harga barang dan isu dalaman Umno/BN berlaku.Di Felda sendiri, isu penurunan harga getah teruk, mereka ini mengalami kesempitan hidup yang akhirnya menyebabkan mereka mula datang mendengar ceramah kita dan sokongan sudah mula meningkat.

Di Negeri Sembilan PAS perkembangkan misi kita kepada masyarakat kampung atau luar bandar dengan program kebajikan dan ceramah umum kita.Kita juga melihat dengan berlakunya lompat parti di Perak (Adun Bota), ia merupakan tekanan kepada Umno/.BN kerana masa depan Umno terlalu kabur hingga pemimpinnya kini tidak yakin lagi dengan Umno.

Soalan : Namun Undi PAS di kawasan Melayu masih kurang, apa komen Saudara?

Zulkifly : Seperti yang saya sebut tadi, kita masih bersaing dengan Umno untuk dapat undi Melayu tetapi peningkatan dari semasa ke semasa agak baik, seperti di Klawang dan Lenggeng kita kalah pada PRU-12 lalu hanya sekitar 1000 atau 700 undi sahaja, ini satu jumlah yang kecil dan sokongan dari semasa ke semasa mula hadir di kalangan orang Melayu.Maknanya walaupun di luar bandar tetapi sokongan baik, kita yakin dengan mood yang ada dan agenda perubahan yang kita buat ini dan dengan kemenangan di lima buah negeri dan jika lima buah negeri ini berjaya tunjukkan contoh terbaik, tidak mustahil Negeri Sembilan boleh berlaku perubahan.

Lebih menarik negeri ini anak-anak mudanya banyak bekerja di Kuala Lumpur dan Selangor dan mereka ini terdedah kepada maklumat yang banyak dan mereka ini saya yakin akan menjadi agen kepada perubahan yang bakal berlaku.Lebih cepoat mungkin boleh berlajyu dinegeri ini.



Soalan : Apa mekanisme yang tercepat yang boleh menyebabkan kerajaan negeri Umno tumbang.Adakah dengan lompat parti?

Zulkifly : Selaku ahli politik saya ada analisa sendiri bagi saya dalam Umno itu sendiri tidak semua pemimpin yang benar-benar memegang prinsip perjuanganya.Seperti kata bekas MB Selangor,m Dr Khir Toyo dalam satu rancangan di Astro Awani, katanya ada yang masuk Umno hari ini untuk projek dan bina kekayaan.Dalam Umno prinsip perjuangan bangsa dan agama tidak boleh diharapkan lagi.Dalam perkembangan ini, ada kalangan pemimpin Umno di sini, mereka ini golongan yang berpendidikan, yang mahu perubahan berlaku dan mereka tidak selesa duduk dalam Umno.Mereka ini sebenarnya sedang mengambil masa untuk beralih berdasarkan situasi politik semasa.Apa yang berlaku di Perak tidak mustahil berlaku di sini.Akan dituruti negeri ini kerana beberapa Adun Umno di sini ada yang benar-benar berjiwa rakyat dan berintegiri, namun mereka ini semakin tidak tahan duduk dalam Umno kerana kemelut dalaman yang cukup parah yang mana rasuah yang semakin membarah termasuk di peringkat yang kecil seperti pemilihan Puteri Umno dan sebagainya.Mereka ini tak selesa dalam Umno, satu hari jika mereka ini lihat ramai yang berpindah kepada PAS dan Pakatan Rakyat, tidak mustahil mereka juga akan berpindah bersama kita.


Soalan : Ada 'figure' besar di negeri ini yang khabarnya akan sertai Pakatan Rakyat?

Zulkifli : Saya lihat dalam pemilihan Umno di bahagian ramai pemimpin di peringkat negeri dan wakil rakyat yang kalah, tidak mustahil mereka ini akan berpindah, yang masuk itu tak mustahil ada 'figure' yang besar kerana ada yang kini sedang menghitung samada berada dalam Umno tanpa sokongan di bahagian mereka ini boleh 'survive' selaku wakil rakyat, atau mereka boleh 'survive' dengan Pakatan Rakyat membawa agenda rakyat.Dalam politik Negeri Sembilan, situasi agak mencabar kerana ramai kalangan exco kerajaan negeri yang juga orang-orang kanan kepada Menteri Besar kalah dalam pemilihan di bahagian baru-baru ini.Antaranya di Jelebu, orang kuat MB iaitu Dato' Yunus Rahmat kalah kepada Dato' Seri Dr Rais Yatim.Di Seremban sendiri perbalahan kuat berlaku, ada pertembungan diantara MB dengan Dato' Ishak Ismail.Di Teluk Kemang sendiri, bekas MB, Tan Sri Isa Samad mula buat 'come back' dan beliau dicalonkan untuk jawatan Naib Presiden, pastinya perkembangan ini membuatkan MB sendiri tidak selesa kerana orang-orang kuatnya kalah di peringkat bahagian, bagaimana nak perkuatkan sokongan sedangkan di bahagian sudah hilang sokongan.

Kita semua tahu peruntukan pembangunan banyak disalurkan kerajaan kepada Umno Bahagian, ini akan menggugat kedudukan MB itu sendiri.Takkan Isa Samad cukup pencalonan untuk Naib Presiden dan jika menang bertanding, beliau tak dapat apa-apa kedudukan penting di negeri ini?Ini satu perkembangan yang menarik, maknanya pergolakan berlaku antara MB dengan kem-kem Umno yang lama, dan paling penting kemungkinan akan ada kejutan besar berlaku di negeri ini.

Soalan : Boleh namakan siapa figur itu?

Zulkifly : Saya tidak boleh kata siapa, tetapi perbalahan besar yang berlaku dalam Umno Negeri Sembilan akan menyebabkan mereka-mereka yang pegang jawatan besar di peringkat negeri seperti Exco dan sebagainya akan mula merasa resah, walaupun mereka wakil rakyat tetapi tidak duduk dalam jawatan parti ini menyebabkan mereka tidak selesa, ini keadaan yang menekan mereka selaku wakil rakyat dan situasi ini yang akan menyebabkan mereka bersama dengan kita akhirnya.Situasi di negeri ini terlalu mencengkam, kerana mereka mula bina kumpulan masing-masing, Isa Samad sudah kembali, dan kekalahan yang berhormat-yang berhormat ini menggusarkan.
Di tampin, jempol dan beberapa bahagian lain orang kuat MB semakin terhimpit.


Soalan : Kesimpulan saudara?

Zulkifly : BN mereka berpecah, seandainya MB ditukar, akan naik MB baru, MB yang baru akan membina kumpulannya sendiri.Sebaba Umno naik atas kroni, walaupun kumpulan dia tidak betul dia akan pertahankan kumpulan dia.Umno kini semakin parah, generai yang ambil alih juga sudah terbabit dnegan rasuah, jadi pada saya mereka yang bersih yang masih duduk dalam Umno hari ini mungkin mula merasakan mereka sudah tidak lagi selesa bersama parti ini, justeru langkah terbaik ialah bersama agenda Pakatan Rakyat melakukan perubahan total.Harapan rakyat mahu perubahan dan orang ,elayu mahu perubahan, imej Umno kini nampak sahaja Umno orang akan kaitkan dengan rasuah.Bagi saya PAS dan Pakatan Rakyat mengajak kepada perubahan.Perubahan yang paling penting ialah merubah segala kepincangan, kronisme, penyelewengan dan korupsi kepada ketelusan.Ini diperjuangkan PAS dan Pakatan Rakyat.

No comments: