Monday, November 10, 2008

Mansuh ISA, kini harapan pada Pakatan Rakyat


Wan Nordin Wan Yaacob : Foto Wan Zahari Wan Salleh

KUALA LUMPUR : Bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Said Zahari menegaskan harapan untuk melakukan perubahan selepas negara dicengkam akta zalim ISA kini terletak pada bahu Pakatan Rakyat. Iklan

Bercakap semasa membuat ulasan buku 'Dua Wajah : Penahanan Tanpa Bicara' karya Dr syed Husin Ali pada 9 November lalu, Said Zahari berkata, akta tersebut perlu dimansuhkan segera.

Ujarnya, pengharapan itu diletakkan berasaskan kepada komitmen Pakatan Rakyat untuk memansuhkan akta tersebut jika berjaya memerintah negara.

"Jika tidak dalam masa sekarang, saya harap ia berlaku pada pilihan raya umum akan datang, ini hasrat rakyat yang kini mula menyatakan sokongan terhadap Pakatan Rakyat," katanya.

Baginya, rakyat kini melihat lime negeri yang ditadbir pakatan rakyat sebagai contoh 'kebebasan bersuara' dan ianya perlu berterusan sehingga pakatan berjaya memerintah negara.

Beliau menjelaskan, ISA dijadikan senjata oleh kerajaan Umno/BN sejak selepas merdeka bagi menyekat suara rakyat terutamanya pembangkang.

Malah akta tersebut jugalah yang menahan beliau selama 17 tahun, dan Dr Syed yang juga bekas Pensyarah Universiti Malaya selama enam tahun.

Kini rakyat menuntut akta itu dimansuhkan segera, walaupun kerajaan Umno/BN mahu ianya hanya dikaji semula, katanya.

Akta ini sebenarnya adalah senjata kerajaan dalam menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat, dan ianya telah diungkap dalam pengkisahan semula Dr Syed Husin dalam bukunya yang diberi nafas baru, ujar Said Zahari.

Beliau seterusnya menyeru kelompok muda dan generasi pejuang agar menghayati penulisan Dr Syed ini dalam mengenai erti sebenar perjuangan.

Dalam majlis yang sama, Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan empat buku tulisan Dr Syed Husin itu.

Empat buku tersebut diterbitkan salah satu daripadanya oleh Unit Buku Harakah dan tiga oleh The Strategic Information Research Developement Centre (SRID).

Buku-buku tersebut bertajuk, "Orang Melayu Masalah dan Masa Depannya' yang diulas oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sementara buku ' Ethnic Relations in Malaysia : Harmony and Conflict diulas oleh Dr Lim Teck Ghee.

Selain itu buku 'Dua Wajah : Tahanan Tanpa Bicara yang juga diterbitkan dalam versi bahasa Inggeris "Two Faces : Detention Without Trial diulas oleh bekas Pengarang Utusan Melayu dan tahanan ISA, Said Zahari.

Turut hadir dalam pelancaran tersebut, Presiden KeADILan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Adun Kajang, Dr Shafie Bakar; Adun Lembah Jaya, Ustaz Abu Kassim; Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali; Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali; Loh Gwo Burne (Kelana Jaya); dan kira-kira 200 tetamu.

Unit Buku Harakah pula diwakili oleh Editor, Syed Putra Syed Ahmad yang turut memberi ucapan aluan mewakili Pengarah Urusan Harakah, Dato' Kamarudin Jaffar yang tidak dapat hadir berikutan komitmen parti.

No comments: