Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR : Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim menyambut baik kemenangan Barrack Obama dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat pada 4 November lalu.
Ujar Anwar, bermula dengan satu harapan yang hampir mustahil akan tetapi berani, kini ianya sudah menjadi kenyataan.
"Kemenangan Barack Obama membuka satu lembaran baru dalam sejarah Amerika. Hasrat beliau untuk memulakan halatuju baru hubungan di antara Amerika dan seluruh dunia amat dialu-alukan," katanya dalam satu kenyataannya.
Sokongan yang diterima bakal Presiden Amerika ini merentasi batas kaum, agama dan generasi, katanya.
Malah mempunyai persamaan dengan apa yang berlaku pada bulan Mac lalu apabila rakyat Malaysia memilih untuk menolak rejim Barisan Nasional yang masih terikat dengan polisi usang dan gagal, katanya.
Keintiman Obama dengan rantau ini serta keprihatinan terhadap dunia membangun terutamanya benua Asia dan Afrika ketika prospek ekonomi tidak menggalakkan, memberi harapan baru kepada kerjasama yang lebih erat, katanya.
Negara-negara yang sebelum ini mempunyai pertikaian dengan Amerika melihat adanya peluang untuk meneruskan kerjasama berhubung isu dasar luar, pembangunan dan alam sekitar, ujarnya.
Di bawah pentadbiran beliau, hubungan dan dialog di antara negara-negara Muslim dan Amerika Syarikat mempunyai harapan yang lebih cerah.
"Isu-isu di Timur Tengah sememangnya memerlukan komitmen terhadap diplomasi yang konsisten, bersedia untuk menyertai dialog yang lebih bermakna dan tidak bertindak sendirian tanpa menghiraukan suara-suara serta pendapat lainnya.
"Kami berharap bakal Presiden Amerika ini akan memperlihatkan kepimpinannya berhubung isu-isu ini berbanding pentadbiran lepas yang gagal untuk berbuat demikian," ujarnya.
Pemimpin diukur bukan melalui retorik kempen semata-mata, akan tetapi melalui dasar yang digarap serta pelaksanaannya, tegas Anwar.
"Kami mengucapkan tahniah kepada bakal Presiden; Barack Obama dan Naib Presiden; Joe Biden dan semoga mereka berjaya untuk membawa perubahan," katanya.
No comments:
Post a Comment